Siaran Radio CMK FM Boleh Di Dengar AUTOMATIK Dalam Masa 3-10 Saat
Jika Bermasalah, SILA REFRESH BLOG INI, Atau Klik Pada LINK Di Bawah



Wednesday, August 26, 2009

Pilihanraya Kecil DUN Permatang Pasir, Maka Akhirnya Calon PAS Menang Majoriti 4,551 !!


BUKIT MERTAJAM, 25 Ogos [8.00 pm] - Setelah berjuang dan berkempen selama lapan hari, maka akhirnya calon Pakatan rakyat dari parti PAS berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, selepas, Mohd Salleh Man, 52, menang dengan majoriti 4,551 undi. Mohd Salleh memperoleh 9,618 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Rohaizat Othman, 38, yang mendapat 5,067 undi. Keputusan pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Roslan Yahaya di pusat penjumlahan undi di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam malam tadi. Dengan keputusan ini, maka sudah pasti ia dapat menghilangkan keegoaan dan keangkuhan UMNO dan BN yang "membazirkan masa dan wang ringgit" untuk bertanding di situ. Walhal sepatutnya, BN tidak meletakkan calonnya seperti yang berlaku di DUN Penanti sebelum ini. Dengan bala tentera dan berbagai tawaran serta ganjaran kemewahan yang melimpah ruah akhirnya BN tengelam dalam "lubuk pasir" di Permatang Pasir. Kasihan benar melihat jentera pilihanraya dan pemimpin UMNO yang kelihatan bermuram durja dan sedih melihat keputusan ini. Malah ada dikalangan mereka yang sudah awal-awal telah mengangkat kaki "takut malu" meninggalkan Permatang Pasir. Semua ini berlaku kerana mereka masih tidak belajar daripada sejarah yang lalu, bahawa rakyat akan menolak segala "gula-gula" yang ditawarkan oleh mereka. Malah kerakusan BN menggunakan media arus perdana untuk menghentam dan mengadakan propaganda bagi menjatuhkan PAS menyebabkan mereka akhirnya "tenggelam bersama labu-labunya". Kini UMNOperlu menerima hakikat bahawa masa depan dan riwayat mereka bertambah suram dan bakal karam dipukul gelombang Tsunami kedua.

Dengan kemenangan ini juga, ia telah melengkapkan pukulan TKO buat kerajaan UMNO dan BN kepada 7-1. Mereka hanya menang dengan undi "helikopter" di Batang Ai Sarawak, yang lainnya mereka kalah dengan majoriti besar selain Manek Urai. Jika dilihat kepada keputusan di Manek Urai ternyata pemimpin UMNO terutamannya Muhyiddin Yassin dengan lantang menyatakan bahawa rakyat sudah mula berubah menyokong BN semula. Walhal rakyat seluruh Malaysia tahu bahawa majoriti undi yang dikurangkan oleh BN itu kerana "Undi Jambatan" yang dijanjikan oleh Muhyiddin beberapa hari menjelang pilihanraya kecil kawasan itu dulu. Kini sejarah membuktikan bahawa UMNO dan BN sudah tidak relevan lagi untuk rakyat Malaysia. Ternyata mereka sudah mula nampak dan mahukan perubahan besar berlaku dalam pilihanraya umum akan datang. Hanya orang-orang yang "tidak sedar diri" sahaja yang masih terkinja-kinja mempertahankan kononnya UMNO masih diterima rakyat. Walhal, hakikat sebenar jauh panggang dari api. Oleh itu, puak-puak UMNO kini boleh bermuhasabah diri demi mencari sokongan semula rakyat Malaysia. Jika tidak sudah pasti parti karat itu akan dikapankan bersama dengan dacing-dacingnya satu hari nanti. Hanya takdir yang menentukan, bahawa suara rakyat adalah suara keramat. Pemimpin UMNO boleh lakukan apa sahaja untuk menipu dan menzalimi rakyat. Namun selagi hayat dikandung badan, rakyat akan terus pastikan bahawa UMNO dan BN bakal tinggal sejarah dan disimpan di Arkib Negara satu hari nanti. Oleh itu, kepada rakan-rakan dalam UMNO dan BN bolehlah mula bersiap sedia untuk berpindah kapal. Jika tidak, mereka akan turut sama terkena tempias itu.

[Salam perjuangan buat semua petugas Pakatan Rakyat di Permatang Pasir. Tahniah atas segala usaha dan istiqamah dalam menjalankan tugas hingga membawa kemenangan kepada Parti PAS. Biarpun terpaksa berhadapan dengan berbagai peraturan baru yang dikuatkuasa oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), namun akhirnya kejayaan jua tercipta. Kejayaan paling manis yang dikecapi menjelang setahun kemenangan manis kejayaan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan kerusi parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos 2008 yang lalu. Lebih manis lagi kejayaan yang dikecapi itu diperolehi pada bulan Ramadan Al-Mubarak yang mulia ini. Semoga kejayaan ini bakal menyemarakan semangat rakyat untuk memastikan kemenangan yang lebih besar dalam pilihanraya umum akan datang. Kami di PDO senantiasa akan bersama rakyat untuk mempertahankan kemenangan ini].

Read more »

Tuesday, August 25, 2009

Amanat Khas: Pilihanraya Kecil DUN Permatang Pasir, Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abd Aziz Nik Mat Seru Pengundi Pilih Saleh Man

Menjelang 1 Ramadhan 1430, genaplah lapan warkah rayuan pengundi yang telah saya tulis dan tandatangani. Entah apalah rahsia yang tersimpan dalam lipatan perbendaharaan ilmu Allah yang Maha Luas itu sehingga berlaku lapan pilihan raya kecil sejak Pilihan Raya Umum Ke-12, tiada siapa jua yang mampu menekanya. Apa yang hanya boleh kita baca dari tujuh pilihan raya kecil yang telah berlalu, parti yang bertanding dari Pakatan Rakyat telah menang sebanyak enam kali berturut-turut. BN cuma menang sekali; itupun di Batang Ai, Sarawak. Ini realiti dan ini kenyataan. Pada kali ini Kerusi Permatang Pasir menjemput kita sekali lagi untuk turun ke gelanggang. Walaupun dengan penuh berat, kita terpaksa melepaskan Allahyarham Dato’ Hamdan kita untuk kembali menemuiNya. Bagi kita yang hidup, tuntutan sambungan jihad demi sebuah tanggungjawab wajib diteruskan. Sudah tiga penggal calon kita bersusah payah untuk mengangkat Islam dan sudah lima belas tahun rakyat di Permatang Pasir memperbaharui kepercayaan agar PAS terus menerajui kerusi DUN Permatang Pasir ini. Jika dibaca nilai istiqamah pengundi di sini di masa-masa lalu, ia jelas menunjukkan betapa tingginya iltizam, kenyakinan dan komitmen mereka. Walaupun mereka tentu boleh faham bahawa apalah sangat memberi kemenangan kepada PAS di kerusi ini dari segi memerintah negeri, namun pada saya, majoriti yang diraih Allahyarham pada 8 Mac 2008, melebihi 5,000 undi teramat mahal.

Bagi pengundi Islam tanpa mengira bangsa, mereka tentu ingin merakamkan sokongan mereka kepada sebuah gerakan Islam yang membawa perjuangan Islam syamil yang sebenar.
Mereka tidak sanggup memangkah parti UMNO yang mengamalkan Islam dari klon sekular; agama suku dan politik suku. Mana boleh diasingkan iman dengan Islam dan Islam dengan politik? Islam jenis sekular yang diperjuangkan oleh UMNO inilah yang saya namakan sebagai Islam palsu. Sebagaimana adanya wang palsu, rambut palsu atau kad pengenalan palsu; begitu jugalah dengan Islam palsu. Benda palsu; nampak macam sebenar tetapi ia tetap tidak asli. Bagi yang ahli, dia akan tetap tahu membezakan antara bunga hidup dengan bunga plastik. Dengan keadaan tidak tulen itulah timbulnya keraguan. Soalnya bolehkah yang diragu-ragu (syak) itu dibawa untuk mendapatkan anugerah Syurga Allah di akhirat kelak? Saya bercakap dari sudut aqidah dan kaedah. Jika buat begini ia boleh jadi begini. Jika tidak sempurna wudhu’, amalan sembahyang tidak diterima. Jika tolak Islam dari Allah, maka dengan apa nak digantikan? Ini bukan soal saya mendahului Tuhan atau lebih tahu dari Tuhan. Ini soal kaedah. Saya percaya, para pengundi Islam di Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir boleh dengan mudah memahami persoalan ini.

Manakala bagi pengundi bukan Islam pula pada umumnya, saya seakan boleh menyelami keresahan yang sedang bergolak di hati saudara saudari sekelian. Di sana ada tuduhan rasuah berjumlah RM10 juta yang katanya melibatkan pemimpin MCA. Di sana juga ada kes kematian misteri seorang anak muda bernama Teoh Beng Hock sewaktu berada di dalam siasatan (custody) SPRM. Di sana juga ada kes kematian Kugan sewaktu berada di dalam tahanan polis. Dengan insiden stadium runtuh dan gelanggang akuatik yang tidak selamat di Terengganu, keretakan yang berlaku di lebuh raya MRR2 serta LDP dan skandal di PKFZ Pelabuhan Klang yang bernilai berbilion ringgit, ramai pemimpin Umno yang kena gantung dan disabitkan kesalahan mengamalkan politik wang termasuklah Ketua Menteri Melaka yang masih ada sekarang, buruknya layanan ke atas rakyat yang berhimpun secara aman untuk mengangkat nota bantahan ISA kepada DYMM Yang Dipertuan Agung, cederanya Sdr. Wong dan Gobalakrishnan di tangan SPRM dan Polis – pengamal undang-undang, para pencinta demokrasi dan pejuang hak asasi tidak mempunyai lain-lain harapan pemulihan untuk negara kita. Apa yang ada hanya satu sahaja iaitu mengekalkan kerusi yang sudah dikuasai oleh PR dan dapatkan sebanyak mungkin kerusi-kerusi tambahan dari UMNO dan BN jika berlaku lagi pilihan raya kecil. Ini adalah langkah persiapan untuk mengambil alih kerusi, kemudi di Putrajaya tidak lama lagi. Hanya melalui cara ini sahaja Malaysia akan memperkukuhkan sistem dua parti yang boleh menyemak Institusi Kehakiman, pelaksanaan “rule of law” dan perjalanan demokrasi. Melalui laluan baru inilah, Malaysia akan menjalani proses tajdid, transformasi dan reformasinya.


InsyaAllah, ini akan berlaku tidak lama lagi. Melihatkan trend sokongan non-muslim kepada calon Parti Islam SeMalaysia dan PR, khususnya di Parlimen Permatang Pauh yang telah memenangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan di Parlimen Bukit Gantang yang telah memenangkan Datuk’ Seri Nizar Jamaludin baru empat lima bulan yang lalu, saya cukup mempunyai keyakinan. Mari kita sama-sama perbesarkan majoriti kita di DUN N11 ini agar menjadi kekal, tidak kurang dari 5,000 undi, sekurang-kurangnya untuk ujian pada 25 Ogos 2009. Tinggalkan UMNO dengan syurga politik wangnya. Mari kita terus istiqamah untuk tetap berada di tengah-tengah gelora kesedaran rakyat demi menafikan Umno/BN yang sudah laih dan kehilangan stamina mulai sekarang. Jangan tertipu lagi untuk percayakan slogan-slogan baru yang dikitar semula. Dulu Islam Hadhari. Kini One Malaysia pula. Esok entah apa pulalah. UMNO ni nak jadi apa, entahlah. Nak kata udang pun tidak. Ikan pun bukan. Ingatlah pesan pepatah Melayu: Jika sudah kepalanya ular, mustahil ekornya belut. Akhir kata, gunakanlah kesempatan membuang undi pada kali ini dengan penuh cermat. Walaupun kita berpuasa dan kemungkinan kita boleh jadi letih tetapi tidakkah Peperangan Badar yang berlaku dalam bulan Ramadhan itu pernah membawa kemenangan yang besar? Tiada perbuatan yang lebih mulia pada hari mengundi di bulan Ramadhan pada kali ini melainkan memangkah parti yang boleh membela maaruf dan kebaikan; sekaligus menolak kemungkaran, rasuah, kezaliman dan ketidakadilan. Undilah Saudara Saleh bin Man. Undilah PAS dan PR demi keadilan Islam.


Hanya mereka yang mempunyai otak dan fikiran yang waras sahaja akan mengerti apakah yang diperkatakan oleh Tuan Guru Nik Aziz ini. Bagi puak-puak UMNO dan BN yang sememangnya tidak mahu menerima kebenaran, sudah pasti mereka akan terus menolak segalanya. Malah mereka lebih selesa untuk mengutuk serta menghina MB Kelantan itu dengan berbagai cemuhan, walhal sebagai orang ugama yang telah banyak mendidik pelajarnya maka menjadi kewajipan bagi beliau untuk berkata benar biar pun pahit. Oleh itu, para pengundi di DUN Permatang Pasir yang akan menunaikan tanggungjawab hari ini diseru agar mengambil kata-kata daripada Tuan Guru Nik Aziz untuk dijadikan panduan dan pedoman mereka selepas ini. Apa yang penting kemenangan PAS itu pasti akan menghilangkan keegoaan puak-puak UMNO dan BN selepas berjaya mengurangkan undi di pilihanraya kecil DUN Manek Urai baru-baru ini].

Read more »

Saturday, August 22, 2009

Salam Ramadhan Al-Mubarak Buat Semua

Sempena dengan keberkatan bulan Ramadhan yang mulia ini, Cucu mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat berpuasa buat muslimin dan muslimat dari seluruh dunia. Semoga bulan ini akan dapat mengajar kita erti perjuangan yang sebenar, dalam memartabatkan Islam dan keadilan di bumi Malaysia yang tercinta ini. Cucu menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf kerana agak lambat untuk mengemaskini blog ini, lantaran begitu sibuk dengan tugasan seharian. Walau bagaimana pun Cucu amatlah berterima kasih atas sokongan semua pihak untuk terus singgah ke laman blog ini. Banyak peristiwa yang berlaku sepanjang sebulan yang lalu, semuanya memberi cukup erti untuk kita memantapkan perjuangan ini. Apa yang penting ialah kerjasama erat yang berlaku antara ketiga-tiga parti utama dalam Pakatan Rakyat akan terus dikekalkan. Cucu menjangkakan jika tiada aral melintang, sudah pasti negeri Pahang ini bakal jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum akan datang. Biarpun kini Cucu tidak aktif seperti rakan-rakan yang lain dalam parti, namun dari kejauhan misi dan visinya adalah tetap sama iaitu membentuk kerajaan baru yang lebih prihatin, adil dan saksama di negeri Pahang Darul Makmur ini. Kekuatan Pakatan Rakyat semakin terserlah dengan gandingan Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS) dan Dato' Fauzi Abd Rahman (PKR) serta disokong pula oleh rakan-rakan dari DAP seperti YB Leong Ngah Ngah (Triang) dan lain-lainnya. Harapan besar untuk melihat negeri Pahang ini ditakluki oleh Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum ke-13 nanti semakin terserlah. Justeru itu, Cucu berharap semua pihak dapat mengandakan usaha dan memperbanyakkan doa di bulan Ramadhan yang mulia ini agar segalanya akan tercapai jua akhirnya nanti.

Buat rakan-rakan yang kini sedang berhempas pulas berjuang di Pilihanraya Kecil DUN Permatang Pasir, Pulau Pinang Cucu doakan semuanya akan berjaya membawa pulang kemenangan yang cukup manis untuk dihadiahkan kepada rakyat. Keegoan UMNO dan Barisan Nasional kian terserlah tatkala mereka berjaya mengurangkan undi majoriti PAS dalam pilihanraya kecil di Manek Urai baru-baru ini. Mereka mula berkokok kononnya rakyat sudah boleh menerima kepimpinan PM Najib Razak. Walhal, rakyat di sana sebenarnya ditipu oleh janji manis yang mereka bawa. Itu tidak termasuk lagi dengan ganjaran wang ringgit yang mereka tabur. Harus diingat Permatang Pasir terletak dalam Parlimen Permatang Pauh yang diwakili oleh Ketua Umum PKR dan Ketua Pembangkang di parlimen iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jika BN menang di sini, bermakna mereka akan berkokok sepanjang tahun untuk mengatakan yang UMNO dan BN sudah diterima semula oleh rakyat. Maka itulah usaha perlu dilakukan untuk memastikan calon PAS, Ustaz Salleh Man menang dengan majoriti yang lebih besar kali ini. Jika ini berlaku, maka sudah pasti harapan besar untuk kita melihat kerajaan pusat bertukar pada pilihanraya umum akan datang bakal terlaksana.

Read more »