SELAMAT DATANG KE BLOG CUCUMATKILAU OFFICIAL | SEBARANG ADUAN DAN PERTANYAAN BOLEH PM 0 1 2 3 8 5 4 4 0 0 (CMK)

Selamat Hari Raya Aidil Fitri Dan Maaf Zahir Batin Kepada Semua Yang Kenali Blogger Cucumatkilau

CMK menyusun sepuluh jari, untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir Batin kepada muslimin dan muslimat sekali di seluruh dunia. Seperti biasa, di musim perayaan ini CMK akan habiskan banyak masa untuk menziarahi saudara mara dan sahabat handai di Pahang, Johor, Trengganu, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur. Hari Raya tahun ini adalah giliran balik ke Pahang. Maka, kami adik beradik seramai 7 orang berkampung di Taman Gau Indah, Temerloh iaitu rumah adik CMK yang bertugas sebagai guru di sana. CMK tidak terus balik rumah pusaka orang tua di Felda Jengka 7 kerana ia didiami oleh penyewa sekarang ini berikutan kedua orang tua CMK telah kembali ke rahmatullah beberapa tahun yang lalu.. Lagi pun rumah adik CMK itu agak besar dan sesuai untuk kami berkampung. Selepas bersolat sunat Aidil Fitri, kami bersarapan pagi bersama. Antara adik beradik yang balik ialah Along (Ampang), Kak Ta (Ampang), Zurai (Gombak), Yusri (Ampang) dan CMK (Kuantan). Hanya abang CMK yang tinggal di Taman Impian Ku terus balik ke rumah mertuanya di Felda Jengka 3. Kami bertolak dengan lima buah kenderaan iaitu Toyota Unser, Toyota Wish, Proton Wira Special Edition, Proton Wira dan juga Perodua Viva. Bertolak ke Sg.Tekam Getah melalui jalan Simpang Awah ke Bandar Tun Razak Jengka dan melalui Felda Jengka 10 (jalan dalam). Sampai dirumah Mak Long Zarah, sekitar jam 11.30 pagi. Anak-anak Mak Long yang kelihatan ada ialah Abang Atan (Indera Mahkota), Aspalela (Indera Mahkota) dan Azlan (Tekam). Makanan agak special iaitu lemang dan ketupat. Sambil makan sempat berborak dengan Mak Long pasal Mat Kilau. Macam-macam cerita dan yang paling menarik ialah keturunan CMK memang mempunyai hubungan rapat dengan pahlawan Melayu Pahang itu sebenarnya. Kami luangkan masa hampir sejam disitu. Dalam keluarga sebelah arwah abah CMK, hanya beliau sahaja yang tinggal dan menjadi tempat untuk kami menumpang kasih. Beliau kelihatan agak uzur tetapi masih lagi ceria, terutamanya apabila mendapat kunjungan daripada CMK dan adik beradik yang lainnya.

Read more »

CMK Sokong Sepenuhnya Hasrat Kerajaan Negeri Pahang Dirikan Galeri Pahlawan Di Pulau Tawar !

CMK amat terkejut dan terharu dengan kesediaan Kerajaan Negeri Pahang untuk mengeluarkan dana bagi membangunkan sebuah galeri pahlawan Melayu Pahang di Pulau Tawar. itulah yang diimpikan selama ini oleh anak cucu dan keturunan Mat Kilau dan Tok Gajah sebenarnya. Mereka mahukann satu tempat yang sesuai digunakan untuk menyimpan segala khazanah peninggalan pejuang tersohor di bumi Pahang itu. Malah, CMK telah banyak kali memainkan isu ini sama-ada di dalam media arus perdana atau pun internet. Baru-baru ini Kerajaan negeri mengumumkan peruntukkan RM540,000 untuk mewujudkan sebuah galeri di Kampung Bukit Rang, Pulau Tawar bagi mempamerkan artifak sejarah pahlawan Melayu Pahang, Tok Gajah dan Mat Kilau bagi tujuan pelancongan. Galeri itu akan dijadikan sebagai pusat dokumentasi, rujukan serta pameran mengenai pelbagai artifak tokoh pahlawan Melayu negeri ini yang berjuang menentang penjajahan British. Projek itu akan dilaksanakan di bawah peruntukan Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ), manakala penyenggaraan pula dilakukan oleh Majlis Daerah Jerantut (MDJ) di kawasan seluas 1.2 hektar berdekatan dengan Pejabat Pertanian Bukit Rang di Pulau Tawar.


Kenangan, Mat Kilau ketika diusung untuk di bawa balik ke Pulau Tawar bagi
mengisytiharkan dirinya adalah Pahlawan Melayu Pahang tershor itu


Sehubungan dengan itu kerajaan negeri memohon kerjasama mereka yang pakar dalam pelbagai disiplin sejarah dan tokoh negeri ini untuk mencari lebih banyak dokumen, termasuk gambar atau sumber lain mengenai tokoh berkenaan bagi tujuan dokumentasi. Pemilihan Bukit Rang yang juga pusat pertumbuhan bandar ini amat sesuai dan strategik kerana kawasan Pulau Tawar sudah mempunyai rangkaian produk pelancongan iaitu projek inap desa Felda Jengka 25 dan Tekam Plantations Resort. Ia sekali gus akan menjadi tarikan baru serta persinggahan pelawat domestik dan antarabangsa yang mengunjungi Taman Negara Kuala Tahan. Tapak galeri berkenaan juga berdekatan dengan makam Mat Kilau di Kg Kedondong, masjid lama Pulau Tawar yang jadi tempat pengisytiharan kemunculan beliau pada tahun 1969, Lubuk Pelang dan Gua Prasejarah Kota Gelanggi.

Read more »

CMK Mengambil Kesempatan Ini Untuk Ucapkan Selamat Berpuasa Kepada Seluruh Umat Islam !!

CMK mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan selamat berpuasa kepada muslimin dan muslimat terutamanya sahabat-sahabat seperjuangan semua. Semoga semua beroleh keberkatan di bulan yang penuh dengan keberkatan ini. Sesungguhnya, setiap manusia pasti melakukan kesalahan dalam hidup ini, tidak terkecuali dengan diri ini. Mungkin ada apa jua perkataan dan perbuatan yang telah mengguriskan hati pihak-pihak tertentu sejak CMK berkecimpung dalam dunia blogger bermula tahun 1998 dulu. Justeru itu, CMK memohon ribuan ampun dan kemaafan kepada semua pihak. Insya Allah di bulan Ramadhan yang mulia ini CMK lebih banyak bertarawih di Surau Al-Amin, Taman Atabara Perdana Indera Mahkota Kuantan. Jika ada kesempatan CMK juga akan meninjau ke lokasi-lokasi lain. Petang semalam CMk sempat meninjau ke dua buah Bazar Ramadhan di bandar Kuantan. Satunya di tapak biasa berhampiran Padang MPK2 depan Stadium Darul Makmur. Nampaknya, hari pertama berpuasa begitu sesak sekali bazar terbabit dengan manusia. Terkadang agak rimas juga melihat keadaan yang begitu ramai. Orang ramai berpusu-pusu mendapatkan juadah berbuka puasa. Bukan sahaja orang Islam malah orang bukan Islam juga dilihat ramai yang mencari kesempatan. Di Bazar Ramadan Pasdec Makmur Indera Mahkota, keadaannya agak terkawal dan tidak berapa sesak seperti di bandar. Namun begitu, banyak juadah yang dicari sudah habis. Mungkin hari pertama masing-masing mencari jalan untuk berbuka dengan membeli di luar. Apapun, suasana puasa pada kali ini agak meriah juga di bandar Kuantan. Seperti biasa, expo jualan Aidil Fitri telah dibuka di depan Terminal Makmur Kuantan. Kali ini kelihatan exponya lebih besar dari biasa. Selamat Berpuasa buat semua Umat Islam.

Read more »