SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI, MAAF ZAHIR BATIN DARI CMK SEISI KELUARGA | SEBARANG ADUAN DAN PERTANYAAN BOLEH PM 0 1 2 - 3 8 5 4 4 0 0 (CMK)

Kes Mangsa Hanyut Di Telemong: Penafian Pihak Berkuasa Mengelirukan, Apakah Pembalakan Berleluasa Jadi Punca?

Susulan kejadian insiden 16 mangsa hanyut akibat arus deras di Telemong, Bentong semalam maka saya  menggesa Kerajaan Negeri Pahang menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk  menyiasat secara telus isu ini. 

Saya melihat bagai ada sesuatu yang tidak kena dalam kes ini apabila ada dua kenyataan berbeza oleh pihak berkuasa dan ahli keluarga mangsa yang terbabit hari ini. Semalam, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar menafikan isu yang tular menerusi media sosial semalam. 

Beliau juga menggesa orang ramai  berhenti menyebarkan mesej berkenaan bagi mengelak kegusaran terutamanya dalam situasi genting yang sedang berlaku kini.

Sementara itu Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani  juga pada satu kenyataan mengesahkan tiada kejadian itu berlaku dan tidak menolak kemungkinan ia dilakukan pihak tidak bertanggungjawab dengan menggunakan gambar lama yang tidak berkaitan dengan banjir yang sedang berlaku.

Saya merasa musykil dengan "sindrom penafian" oleh pihak berkuasa ini. Tambahan pula, selepas penafian itu salah seorang ahli keluarga mangsa pula mendedahkan kisah sebenar kejadian tersebut siap dengan gambar dan video yang berkenaan.

Amat musykil keluarga mangsa sengaja mahu mereka cerita bab kematian. Sebagai orang Islam, tidak ada sesiapa mahu memaklumkan kepada dunia bahawa ahli keluarga mereka mati. Malah saya lihat ada majlis solat hajat yang diadakan oleh pihak keluarga mangsa agar mereka yang masih hilang ditemui.

Kenapa perlu berselindung jika ia adalah kebenaran. Apa motif menafikan sekiranya perkara itu ada bukti dan asasnya. Sepatutnya pihak berkuasa memanggil ahli keluarga mangsa dan saksi-saksi yang mengetahui kejadian ini.

Ini zaman media sosial, bukan zaman TV hitam putih. Makanya, buatlah kenyataan dan tindakan yang telus tanpa didesak oleh mana-mana pihak. Banjir yang berlaku di kawasan Telemong ini mungkin ada kaitannya dengan aktiviti pencemaran alam yang ditentang oleh penduduk selama ini.

Pada tahun lepas, penduduk berkali-kali membantah aktiviti pembalakan sama ada secara berlesen apatah lagi secara haram di kawasan hutan berhampiran kawasan terbabit. Malah, penduduk mengadakan demontrasi membantah aktiviti pembalakan di Sungai Gapoi hingga menyebabkan pencemaran kepada Sungai Telemong.

Namun, bantahan itu dinafikan oleh  Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP). JPNP dalam satu kenyataan berkata, kawasan pembalakan di atas tanah seluas 674.9 hektar itu diluluskan kerajaan negeri sejak 2015 kepada Syarikat Sri Jengka Sdn Bhd untuk projek pertanian kelapa sawit. Kelulusan itu dibuat berdasarkan Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) pada 25 Februari 2015.

JPNP turut mendakwa aktiviti pembalakan diluluskan oleh JPNP melalui kelulusan secara dasar pada 2013, dan MMK pada 2015 membabitkan empat lesen berkeluasan 257.5 hektar yang dilaksana secara berperingkat bermula 1 Disember 2019 sehingga kini. Keempat-empat kawasan lesen ini terletak berhampiran antara satu sama lain, dan berkongsi balai pemeriksaan hutan sementara, matau serta penempatan pekerja.

Tinjauan JPNP ke kawasan tersebut pada pada 1 September 2020 juga mendapati dakwaan aktiviti pembalakan itu menyebabkan pencemaran kepada Sungai Telemong adalah kurang tepat kerana air sungai terbabit masih jernih.

Laporan aduan awam yang diterima JPNP ketika itu didakwa telah disemak dan mendapati tiada aduan mahupun bantahan terutama oleh masyarakat Orang Asli Kampung Gapoi iaitu penempatan paling hampir dengan kawasan pembalakan ini. Walaupun kawasan ini membabitkan aktiviti pembalakan secara tebang habis, tetapi JPNP menetapkan syarat supaya kawasan zon penampan alur air untuk sungai masih tidak dibenarkan aktiviti penebangan pokok. JPNP juga mendapati pelesen masih mematuhi syarat, cuma sebahagian kecil kawasan sungai terdapat sisa pembalakan di dalamnya.

JPNP turut  mendakwa tinjauan juga dibuat di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Gapoi dan mendapati air sungai masih jernih dan dalam khususnya di bahagian muka sauknya. Malah mereka turut menemubual pekerja Pengurusan Air Pahang Bhd (PAIP) di situ dan turut mengesahkan tiada kes penutupan operasi loji akibat pencemaran sungai.

Hutan yang telah digondolkan di kawasan Telemong

Itulah senarionya setahun yang lalu, namun hari ini Disember 2021 kisahnya lain pula.  Saya melihat, mungkin ada kaitan aktiviti pembalakan ini dengan kejadian banjir lumpur dasyat yang berlaku di kawasan tersebut.

Berdasarkan video yang diviralkan oleh ahli keluarga mangsa terbabit mungkin ada kaitan isu pembalakan secara berleluasa dengan banjir yang berlaku di kawasan Bentong termasuk di Janda Baik dan Lebuhraya KL-Karak sebenarnya. 

Malah lebih parah lagi, jika benar dakwaan ada kematian dan kehilangan nyawa ia sesuatu yang mendukacitakan. Rakyat berjuang habis-habisan menetang aktiviti salah guna tanah kerana takut berlaku banjir besar akibat tadahan hujan dan bukit bukau yang sudah digondolkan. Kini, apa yang ditakuti itu akhirnya berlaku. Maka itu, saya mengesyaki ada usaha pihak-pihak tertentu untuk menutup kes kehilangan mangsa dengan aktiviti pembalakan di kawasan terbabit sebenarnya.

Kerajaan Negeri Pahang perlu siasat insiden inidengan telus. Rakyat keliru antara dua fakta berbeza yang dipertontonkan kepada mereka sekarng ini. Justeru, berpijaklah di bumi yang nyata. 

Malah media hari ini turut melaporkan empat mangsa meninggal dunia, dua hilang dan 10 lagi selamat selepas lima kereta dihanyutkan arus deras di Jambatan Telemong, di Bentong, Sabtu lalu. Ini bermakna semua mangsa yang terlibat dalam insiden itu sah seramai 16 orang. 

Persoalannya kenapa Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, orang ramai diminta berhenti menyebarkan mesej berkenaan bagi mengelak kegusaran terutamanya dalam situasi genting yang sedang berlaku kini. Apakah yang berlaku sebenarnya?. Kenapa perlu menafikan sesuatu yang benar-benar berlaku?.  

Malah kenyataan  terkini Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) (Pahang), Ismail Abdul Ghani, yang mendakwa lima mangsa maut telah ditemui juga mengelirukan. 

Sebelum ini beliau luga mengesahkan tiada kejadian itu berlaku dan tidak menolak kemungkinan ia dilakukan pihak tidak bertanggungjawab dengan menggunakan gambar lama yang tidak berkaitan dengan banjir yang sedang berlaku.

Kenapa harus ada maklumat yang berbeza? Usahlah lari dari tanggungjawab dan masih lagi terus menggunakan sindrom penafian pada zaman teknologi maklumat yang semakin canggih hari ini. Takutkan Allah jangan takut kepada manusia. Maka itulah isu ini harus dibongkar dengan lebih mendalam lagi. Dua kenyataan berbeza membuktikan ada sesuatu yang tidak kena sebenarnya disebalik tabir kejadian ini. 

Suara Rakyat Marhaen. Blogger Cucumatkilau (CMK)

0 Komen Artikel Ini: