SELAMAT DATANG KE BLOG PERIBADI BLOGGER CUCUMATKILAU (CMK)

Selamat Datang Buat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kehadiran Yang Pasti Menyemarakkan Semangat Perjuangan Rakyat Negeri Pahang Darul Makmur

Datuk Seri Anwar Ibrahim khabarnya akan datang ke Kuantan tanggal 17 Januari ini. Disamping membuat ucaptama di Majlis Penutupan Konvensyen PKR Pahang pada hari itu, beliau dijangka mengadakan cerama perdana di Pejabat Perhubungan PKR Pahang dekat jalan Beserah Kuantan. Jika tiada aral melintang Cucu akan hadir di majlis berkenaan, itupun jika mendapat undangan khas daripada pihak penganjur. Maklumlah, Cucu kini tidak mempunyai apa-apa jawatan lagi dalam PKR dan hanya menjadi permerhati bebas politik di negeri Pahang. Ramai yang bertanya kenapakah Cucu tidak mahu aktif berpolitik dalam parti, tambahan pula Cucu pernah menjadi calon atas tiket PKR dalam pilihanraya umum ke-12 yang lalu. Namun, terus terang Cucu ingin maklumkan sememangnya Cucu sudah ditakdirkan hidup begini. Berparti menyebabkan Cucu akan bermusuh dengan pihak-pihak tertentu, dek kerana Cucu gemar memberi pandangan dan teguran. Cucu dibenci oleh semua pihak kerana kelantangan mengeluarkan hujjah tatkala ada apa jua program yang dijalankan oleh parti. Maka itu adalah lebih elok Cucu berada diluar, kerana ia lebih mudah untuk menegur dan melihat apa yang berlaku di dalam. Jika berada di dalam, maka Cucu terpaksa menerima apa jua ketentuan dan takdir biarpun bukan dengan keihlasan hati sendiri. Untuk makluman, Cucu sebenarnya nama Cucu masih lagi aktif dalam UMNO. Entah siapa yang membayar yuran tahunan, Cucu sendiri pun tiidak mengetahuinya. Sedangkan sudah lebih 10 tahun Cucu berada diluar dari UMNO itu sendiri. Namun begitu pada masa ini persabahatan dan hubungan dengan rakan-rakan dalam UMNO masih rapat seperti biasa. Malah, Cucu juga pernah mengadakan beberapa pertemuan dengan pemimpin UMNO sendiri untuk membincangakan beberapa isu semasa politik tanahair. Memang Cucu pernah dipelawa untuk kembali kepada UMNO. Entahlah, hati ini terasa berat untuk menerima tawaran tersebut kerana Cucu melihat sendiri UMNO memang sudah ditolak oleh rakyat sebenarnya. Hanya pucuk pimpinan dan pemimpin atasan sahaja yang masih merasakan UMNO itu masih relevan, walhal sebaliknya ia sudah tidak bertakhta lagi dihati rakyat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Maka itulah, perjuangan membela rakyat yang masih bersemadi dalam hati sanubari Cucu akan diteruskan biarpun Cucu tidak berparti. Bagi Cucu, jika Pakatan Rakyat menawarkan ruang untuk Cucu bertanding lagi dalam pilihanraya umum akan datang, Insya Allah Cucu akan pertimbangkan. Namun, melihat kepada senario politik semasa hari ini sudah pasti perkara itu adlaah amat mustahil kerana kini ramai pemimpin mereka sendiri yang sudah menunjukkan minat dan mula membuat percaturan untuk bertanding. Apakah dek kerana gelombang Tsunami politik 2008 dulu, maka pemimpin terbabit ingin mencuba. Manalah tahu jika menang, maka ada harapan untuk bergelar YB (Yang Berhormat). Ramai rakan-rakan yang terkejut kerana nama Cucu tercalon atas tiket PKR di Kerusi DUN Kemayan, Parlimen Bera dulu. Namun, segalanya itu adalah takdir semata-mata dan Cucu tidak pernah langsung mengimpikan semua itu. Bagi Cucu perjuangan itu lebih enak jika dapat berada dalam Dewan Undangan Negeri Pahang itu sendiri. Namun, apa boleh buat Cucu tertewas ditangan Fadhil Osman calon BN yang merupakan kroni rapat Menteri Besar Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakob (Anak Saudara). Kini Cucu lebih selesa bergerak bebas tanpa kekangan daripada mana-mana pihak. Ramai yang bertanya kenapa Cucu langsung tidak menjengok kawasan Cucu di Kemanyan, kononnya lepas habis pilihanraya Cucu terus menghilangkan diri. Terus terang Cucu ingin maklumkan, bahawa Cucu tidak pernah mendapat jemputan daripada PKR Cabang Bera selepas pilihanraya umum yang lalu. Baik majlis ceramah, jamuan raya atau pun lain-lain program yang diadakan. Cuma sesekali Cucu hadir ke Bera atas jemputan parti PAS,. Terkadang sedih juga melihat nama Cucu dilupakan oleh kepimpinan PKR di sana. Imej parti PKR itu yang pasti tercemar di mata rakyat sebenarnya dek kerana senario ini.

Kemungkinan besar dalam masa terdekat ini Cucu akan menerbitkan beberapa buah buku hasil tulisan Cucu semenjak 11 tahun bergiat dalam bidang "blogger" ini. Masa yang agak lama Cucu curahkan untuk memberi pendapat dan pandangan tentang politik tanahair terutamanya di bumi Pahang. Namun, masih ada pihak yang tidak menggunakan kelebihan ini sepenuhnya. Bebebrapa kali Cucu menawarkan untuk mengadakan Bengkel Blogger dan lain-lain kepakaran yang Cucu ada, namun sehingga ke hari ini ia nampak lesu. Malah, hanya parti PAS sahaja yang sesekali mengundang Cucu memberikan ceramah dan taklimat pasal blogger. Bagi parti lain nampaknya masih belum membuat tindakan. Cucu sedia berkerjasama dengan semua pihak untuk menyampaikan ilmu ini hatta jemputan daripada pihak kerajaan sendiri. Namun, mungkin mereka agak takut dengan nama Cucumatkilau lantaran itu Cucu tidak langsung diberi ruang untuk menyampaikan ilmu pengetahuan yang Cucu ada selama ini. Entahlah sampai bila senario ini akan berlarutan. Sedangkan semua pihak tahu bahawa Blog memainkan peranan yang cukup penting dalam merubah iklim politik negara ketika pilihanraya umum ke-12 lalu. Namun di Pahang hanya parti PAS sahaja yang dilihat agak "advanced" dalam dunia ICT ini sebenarnya. Bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR), UMNO dan DAP masih agak ketinggalan jauh kebelakang. Syabas dan tahniah diucapkan kepada PAS Pahang atas iniseatif ini. Ternyata PAS bukan sahaja maju di zahirnya, malah juga di alam maya. Tidakk hairanlah setiap kali musim pilihanraya petugas PAS yang lebih banyak digunakan oleh Pakatan Rakyat untuk membuat kerja-kerja berkaitan. Sepatutnya parti dalam Pakatan Rakyat yang lain perlu bertungkus lumus membantu dan bersama-sama membina kejayaan. Namun ini tidak berlaku, PAS terus ke depan di luaran dan mereka juga ke depan di alam siber itu sendiri dari parti Pakatan yang lain.

Ramai dikalangan parti politik lain di Pahang yang masuh ketinggalan dalam dunia ICT. Malah jelas dapat dilihat tidak banyak blog pemimpin, bahagian dan cawangan yang dihasilkan. Sedangkan rakyat perlukan maklumat yang cepat dan tepat setiap masa. Hasilnya, media arus perdana dijadikan bahan serta sumber rujukan. Maka, kita tidak hairanlah rakyat terus menyokong UMNO dan BN di Pahang, biarpun gelombang Tsunami Politik melanda 2008 dulu. Apakah ia harus dibiarkan begitu sahaja. Bagi UMNO, mereka masih jauh ketinggalan biarpun mempunyai banyak kemudahan dan kewangan untuk melakukannya. Samada mereka sedar atau tidak, hakikatnya UMNO Pahang masih jahil tentang ICT. Biarpun mempunyai Exco ICT dikalangan orang muda yang berwibawa, namun dek kerana kelemahan tindakan dan banyak omongan kosong semata-mata akhirnya ia tidak terlaksana. Oleh itu, parti dalam Pakatan Rakyat harus berkerja keras mulai sekarang jika mahu UMNO BN pahang ditewaskan dalam pilihanraya umum akan datang. ICT haruslah dijadikan pemangkin ke arah itu. Pastikan rakyat mendapat sumber maklumat yang lebih terkini sepanjang masa. Apapun, kehadiran Anwar ke Pahang paqda 17 Januari ini diharap dapat memberi harapan baru kepada rakyat Pahang. Selamat berkonvensyen buat semua perwakilan PKR Pahang. Salam perjuangan !!

0 Komen Artikel Ini: