SELAMAT DATANG KE BLOG PERIBADI BLOGGER CUCUMATKILAU (CMK)

Antara Punca Kenapa Wan Azizah Tak Layak Jadi Menteri Besar



Kemelut politik di Selangor kini semakin hangat diperkatakan mutakhir ini apabila Presiden PAS, Tuan Guru Hj.Hadi Awang melabelkan Presiden PKR,  Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai tidak layak dan tidak berupaya mentadbir Kerajaan Negeri  Selangor. 

Akibat kenyataan panas Hj.Hadi itu, maka ramailah pemimpin tertinggi DAP dan PKR yang menyerang beliau sekarang. Antaranya Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad dari PKR dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sendiri.

Antara lain kenyataan Nik Nazmi mendakwa Hadi tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan itu sedangkan Dr Wan Azizah menerajui Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak 1998 selain dilantik sebagai Ketua Pembangkang pada 2008 di mana ia turut mendapat sokongan Hadi. 

Sementara itu, Lim Guan Eng pula mendakwa PAS kini sedang menghadapi pergolakan dalaman selepas kenyataan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mempertikaikan keupayaan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor. 


DAP tetap percaya dan yakin kemampuan Wan Azizah untuk menggalas tugas Menteri Besar. Katanya, Wan Azizah seorang yang berpengalaman dan telah berjaya mengambil alih tugas PKR ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan.

Susulan kenyataan ini, saya selaku bekas calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan merupakan antara individu yang banyak berjuang membela Pakatan Rakyat sejak tahun 1998 lagi iaitu ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari UMNO dan Kerajaan Malaysia, maka saya terpanggil untuk berkongsi sedikit maklumat dari pandangan pihak ketiga yang lebih bebas sebenarnya.

Janji Wan Azizah Untuk Berehat 2008, Tinggal Kenangan

Bagi saya kenyataan Presiden PAS itu ada asasnya dan bukan sekadar omongan kosong semata-mata. Saya masih ingat kenyataan Wan Azizah ketika melepaskan jawatan Ahli Parlimen Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding disitu pada tahun 2008 dulu. Wan Azizah mendakwa beliau hanya mengambil alih tugas Anwar ketika dia dipenjara sahaja, namun selepas Anwar bebas maka suaminya pula harus teruskan perjuangan rakyat dan dia sendiri mahu berehat untuk tumpukan tugas sebagai isteri, disamping menumpukan sepenuh masa kepada anak dan cucunya.


Namun, perkara sebaliknya pula berlaku apabila Wan Azizah terus mempertahankan jawatan Presiden PKR pada pemilihan selepas itu. Dakwaan mahu berehat hilang begitu sahaja. Anwar pula menjadi Ketua Umum PKR dari dulu hingga sekarang. 

Persoalannya, apakah Wan Azizah berjaya menjalankan tugas tersebut dengan baik?. Rakyat terutamanya para penyokong pembangkang melihat dengan mata dan kepala mereka sendiri. Benar, Wan Azizah pernah menjadi Ketua Pembangkang di parlimen, namun ketika itu hanya beliau sahaja yang menang kerusi parlimen PKR dan sebagai menghormati Anwar beliau diberi keutamaan untuk memimpin Pakatan Rakyat  di parlimen. 

"Imam" Biarlah Di Pilih Di Kalangan Lelaki Muslim

Soalnya, benarkah dakwaan Hj.Hadi bahawa Wan Azizah tidak layak dan memenuhi kriteria sebagai Menteri Besar. Dari sudut pandangan Islam sahaja kita melihat bahawa wanita itu tidak wajar menjadi "imam" kepada lelaki. Melainkan sudah tiada lelaki yang berwibawa dan mempunyai ilmu agama yang tinggi untuk diangkat. Inilah yang berlaku kepada Wan Azizah, kerjasama dalam Pakatan Rakyat melibatkan Parti Islam SeMalaysia (PAS). 


Iaitu sebuah parti yang menitik beratkan soal hukum syarak dan agama dalam pentadbiran mereka. Lantaran itulah, lebih utama memilih ketua dikalangan lelaki sebelum wanita. Melainkan sudah tiada pemimpin lelaki yang berkelayakan dan wajar diangkat sebagai pemimpin. PKR harus faham semua ini dan tidak perlu bercakap sesuka hati tanpa mengambil kira kepentingan agama. Kriteria ini sudah membuktikan Wan Azizah tidak layak.

Presiden PKR: Adakah Wan Azizah Berfungsi Dengan Baik 

Dalam soal beliau menjadi Presiden PKR sejak parti itu ditubuhkan. Adakah Wan Aziziah berfungsi dengan baik?. Umum melihat sejak Anwar dibebaskan dari penjara pada tahun 2008 dulu, Ketua Umum itu lebih berfungsi dari Presiden PKR. Memang jelas dilihat Presiden PKR gagal berfungsi dengan baik jika dibandingkan dengan Presiden parti yang lain seperti PAS, DAP hatta UMNO sendiri. Ini bukan sekadar omongan kosong tetapi kenyataan. 


Buktinya banyak program PKR dihadiri oleh Anwar sendiri. Malah, mesyuarat dalaman parti, ceramah, jelajah rakyat malahan sidang media itupun kebanyakkannya Anwar yang menguruskannya. Di mana Wan Azizah?. Beliau dilihat tidak berfungsi dan hanya timbul sekali sekala tatkala ada program tertentu, sebaliknya program-program besar di seluruh negara banyak dihadiri oleh Anwar. Anwar yang lebih menonjol sedangkan Wan Azizah adalah Presiden parti. 

Wan Azizah Gagal Selesaikan Kemelut Dalaman PKR

Ini harus diakui, malah calon Timbalan Presiden PKR ketika pemilihan 2010 iaitu Datuk Zaid Ibrahim pernah mendedahkan isu ini dulu. Beliau berkali-kali mendakwa mahu menganggat semula imej Presiden PKR agar lebih berfungsi.


Kemelut yang melanda PKR sendiri pun terutamanya krisis Azmin-Zaid dan Azmin-Khalid gagal ditangani dengan baik oleh Presiden PKR itu hingga ia menjadi barah yang semakin paran sekarang. Wan Azizah tidak berupaya untuk mentadbir sebuah negeri, berbeza dengan sebuah parti di mana suaminya Anwar Ibrahim boleh melaksanakan tugas tersebut. Maka itulah, rakyat melihat beliau tidak layak menjadi Menteri Besar kerana pasti akan dibayangi oleh batang tubuh Anwar kelak. 

Rakyat Gusar Wan Azizah Jadi Menteri Besar Boneka

Kita tidak mahu Wan Azizah jadi "Menteri Besar Boneka", hanya pada nama, sama seperti menjadi Presiden PKR sekarang. Akhrinya nanti segala urusan pentabdiran Kerajaan Negeri Selangor akan diuruskan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri. Inilah yang amat ditakuti oleh rakyat Selangor dan disedari oleh Presiden PAS, Tuan Guru Hj.Hadi Awang sebenarnya.


Malah, lebih mengejutkan lagi ketika PKR umumkan Anwar Ibrahim sebagai calon Pilihanraya Kecil DUN Kajang itu pun Anwar sendiri yang mempengerusikan mesyuarat tersebut. Di manakah Wan Azizah?. Beliau hanya dilihat kelibatnya ketika Kongres Nasional PKR sahaja, kemudian jasadnya hilang dibayangi susuk tubuh Anwar Ibrahim. Inilah yang ditakuti oleh PAS sebenarnya, mereka takut Azizah  gagal menjadi Menteri Besar dan berfungsi dengan baik akibat dikawal dengan "remote control" oleh suami beliau sendiri. Bukankah ini sesuatu yang sudah boleh dibaca sebenarnya.

Jika Wan Azizah MB, Anwar Ibrahim Berkuasa Sebenarnya

Justeru, tidak salah untuk beliau mendakwa Wan Azizah tidak layak bagi jawatan Menteri Besar Selangor. Bagi mereka yang menyokong beliau tentu ada sebabnya yang dijanjikan. Tapi bagi saya yang sudah tidak bersama PKR dan mana-mana parti politik di negara kita, saya melihat dari skop yang lebih bebas dan berkecuali. Kemelut Selangor tidak akan dapat diselesaikan jika Wan Azizah menjadi Menteri Besar, kerana awal-awal lagi kita sudah melihat sebenarnya Anwar Ibrahim nanti yang akan "berkuasa" bukannya Azizah. 


Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan pandangan ini, namun itulah hakikat sebenarnya yang berlaku. Jika Wan Azizah Presiden PKR yang bagus kemelut politik di Selangor sekarang pasti tidak akan terjadi. Beliau sepatutnya sejak dari awal sudah menyelesaikan masalah peribadi antara Azmin dengan Khalid Ibrahim. Namun, apa yang Azizah lakukan selepas PRU-13 lalu?. Dia hantar nama Tan Sri Khalid Ibrahim sahaja sebagai satu-satunya nama untuk jawatan Menteri Besar Selangor. Jika beliau bijak, dia harus hantar nama Azmin dan Khalid, dan wajar menyokong Azmin sebagai MB selepas sepenggal diuruskan oleh Khalid. Namun, dia gagal mendamaikan kedua-dua pemimpin itu hingga kemelut menjadi parah.

Anehnya sekarang PKR sibuk menyalahkan PAS pula, walhal isu itu sepatutnya diselesaikan secara dalaman oleh Wan Azizah. Bukankah isu Azmin mahu gantikan Khalid sudah tersebar sebelum PRU-13 lagi. Jika Azizah bijak, terus hantar nama Azmin Ali kepada Sultan Selangor, pasti kemelut yang kita saksikan hari ini tidak berlaku. Pasti "Kajang Move" tidak terjadi dan semua dapat diselamatkan. Kini "Nasi Sudah Jadi Bubur", PKR yang memulakan kini PAS pula yang disalahkan. 

MOHD SHUKRI MOHD RAMLI
aka BLOGGER CUCUMATKILAU

0 Komen Artikel Ini: