SELAMAT DATANG KE BLOG CUCUMATKILAU OFFICIAL | SEBARANG ADUAN DAN PERTANYAAN BOLEH PM 0 1 2 3 8 5 4 4 0 0 (CMK)

Asal Sebelah Bapa



Arwah bapa saya ialah Mohd Ramli @ Jamaluddin Md Yunus berasal dari Pulau Tawar, Jerantut. Arwah meninggal dunia akibat kompilasi buah pinggang pada tahun 2001 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Sungai Tekam (Getah) Jerantut.

Keluarga ayah saya Md Yunus Teh (aki) dan Sipah (wan), menetap lama di Sungai Kepong, berdekatan dengan Felda Sungai Tekam (Getah) selama beberapa tahun. Penghujung 90 an aki saya kembali pindah ke Pulau Tawar dan menetap di Kampung Kempot.

Pulau Tawar adalah sebuah kampong tradisional di pinggir Sungai Pahang. Kampung ini dipercayai salah sebuah kampung yang tertua di Pahang. Banyak peristiwa yang bersejarah berlaku di sini, terutama dalam perjuangan menentang penjajahan Inggeris.

Nama-nama Mat Kilau dan Tok Gajah memang tidak asing lagi kepada penduduk tempatan. Mereka merupakan pahlawan Melayu yang tidak ada tolok bandingnya dari segi semangat perjuangan menentang penjajahan negeri Pahang oleh bangsa Inggeris.

Nama Pulau Tawar dikatakan berasal daripada kedudukan fizikal pulau itu sendiri. Pulau Tawar terletak di pinggir Sungai Pahang dan dilingkungi oleh tiga anak sungai, iaitu Sungai Cucuk, Sungai Sabing dan Sungai Sambau.

Masjid Mat Kilau sebelum diubah suai

Dalam perbualan masyarakat Pulau Tawar sering merujuk sungai itu sebagai laut. Contohnya dalam ayat “Kah nok pegi ke laut ni.. Di tak payoh ikut la.. Takut balik lambat karang..” Maksudnya : “Saya nak pergi ke sungai ni (menangkap ikan). Awak jangan ikut la.. Takut saya terlambat balik nanti…”.

Di sebabkan sungai tersebut disebut laut, maka airnya sepatutnya masin. Namun air sungai yang mengelilingi pulau itu tetap tawar, maka pulau itu digelar Pulau Tawar.

Masjid Mat Kilau selepas diubah suai

Ada juga yang mengatakan bahawa nama Pulau Tawar itu diambil dari nama rotan, iaitu rotan tawar. Dahulu, di Pulau Tawar terdapat banyak pokok rotan tawar. Orang kampung sering ke situ untuk mencari rotan. Biasanya pokok rotan tawar itu tumbuh secara berkelompok atau ‘berpulau-pulau’. Penduduk tempatan kemudian menamakan kawasan itu Pulau Tawar.

Dari catatan sejarah, Pulau Tawar telah beberapa kali dilawati Residen British di Pahang. Sir Hugh Clifford membuat beberapa lawatan ke sana pada tahun 1888. Sir Frank Swettenham juga pernah singgah di Pulau Tawar pada tahun 1885. Di samping itu, pada tahun 1889, Sultan Ahmad telah memindahkan persemayaman baginda dari Pekan ke Pulau Tawar. Segala urusan dalam negeri juga dibawa ke situ.

Makam Mat Kilau di Kampung Kendondong

Semangat nasionalisme Melayu menentang British di Pahang juga bermula di Pulau Tawar. Penentangan itu dipimpin oleh anak jati kampong itu, Mat Kilau dengan dibantu oleh Tok Gajah. Setelah sekian lama menghilang diri kerana diburu, akhirnya pada 26hb Disember 1969, Mat Kilau muncul dan membuka rahsia dirinya di Masjid Pulau Tawar. Apabila meninggal dunia, jenazahnya telah dikebumikan di Pulau Tawar.

0 Komen Artikel Ini: