SELAMAT DATANG KE BLOG PERIBADI BLOGGER CUCUMATKILAU (CMK)

Eksklusif: Felda Kian Tersasar, Persatuan Anak Peneroka Felda (ANAK) Serahkan Memorandum Lima Tuntutan Kepada Menteri Besar Pahang !!

KUANTAN, 23 Nov [3.30 pm] - Susulan daripada kekecewaan ramai peneroka terhadap Felda mutakhir ini, maka berbagai persepsi dan pandangan mula timbul terhadap agensi itu. Felda yang pada awal penubuhannya oleh Perdana Menteri Malaysia Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak dulu adalah bermatlamatkan kebajikan untuk rakyat. Di mana, golongan miskin dan berpendapatan rendah diberikan lot tanh rumah dan ladang untuk diusahakan bagi meningkatkan taraf sosio ekonomi mereka. Maka, dengan terwujudnya Felda, ramailah orang-orang Melayu yang dapat hidup selesa dan terkeluar daripada kepompong kemiskinan tegar. Namun, anehnya selepas puluhan tahun Felda diwujudkan maka kini matlamatnya sudah tersasar dan menyimpang. PM Najib selaku anak kepada Tun Razak telah membawa jauh prinsip asas dan dasar Felda itu sendiri. Kini segalanya bagai sudah punah dan rosak, malah Felda kini bukan lagi sebuah entiti yang diwujudkan bagi membantu serta membangunkan masyarakat. Malah kewujudannya kini jelas sekali mendera serta menjadikan rakyat sebagai "hamba di bumi sendiri". Tenaga dan kudrat orang dikerah untuk memperkayakan beberapa kerat pemimpin itu sendiri. Felda sudah tidak lagi digunakan untuk membela nasib rakyat. Sebaliknya, ia menjadi sebuah badan koprat yang berteraskan keuntungan semata-mata. Lantaran itulah diwujudkan beberapan anak syarikat yang jelas bertentangan dengan matlamatnya. Tiada lagi tanah rancangan baru yang dibuka untuk rakyat. Sebaliknya tanah-tanah itu dijadikan estet sama seperti yang lainnya. Rakyat dijadikan hamba untuk bekerja di ladang-ladang berkenaan dengan upah yang minima dan setaraf dengan pendatang asing yang menjadi buruh ladang di negara ini. Tiada lagi hasrat Felda untuk membela orang-orang Melayu. Hasil titik peluh mereka dirompak dengan balasan yang tidak setimpal dan usaha yang dikeluarkan.

Inilah Felda hari ini, lantaran itulah ramai peneroka mula memberontak dan mahukan perubahan berlaku. Felda harus kembali kepada matlamat asal penubuhannya, dan bukan menjado badan korporat yang berniaga untuk mencari keuntungan semata-mata. Menyedari haikikat itulah maka Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) telah menghantar satu memorandum kepada Menteri Besar Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakob pada 17 November 2009 yang lalu. Antara lain, terdapat lima tuntutan dalam momandum yang dibuat oleh ANAK iaitu:-

Lot Kosong Generasi Kedua: Tanah merupakan hak kerajaan negeri. Terdapat sejumlah tanah kosong yang belum dimajukan dalam penempatan Felda. Maka alangkah baiknya jika tanah tersebut di pecah lot dan dibina perumahan untuk anak-anak peneroka yang layak dengan kerjasama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di bawah program Rumah Mesra Rakyat. Contoh kejayaan projek tersebut dapat dilihat di Felda Sri Jaya, Pagoh Johor dengan siapnya 95 unit rumah generasi kedua. Pilihan yang kedua ialah tapak lot-lot tanah yang telah mendapat hak milik diberi kebebasan mendirikan rumah kediaman mereka sendiri. Kaedah ini biasa diamalkan di banyak tempat. Sokongan dan dokongan kerajaan negeri akan mempercepatkan segala prosedur yang harus dipatuhi kerana selama ini generasi kedua berdepan karenah pentadbiran Felda yang begitu lokek untuk melepaskan pegangan atas tanah yang mereka dakwa miliknya.

Batalkan Felda Plantation: Dasar kerajan membuka Tanah Rancangan Felda ialah membuka ruang pemilikan tanah kepada rakyat khusus orang Melayu. Selepas tahun 1990, dasar ini dihentikan dan diwujudkan Felda Plantation yang berkonsepkan estet yang menekan peserta tanpa jaminan masa depan. Walhal, seluas 367,710 hektar tanah milik kerajaan negeri telah dikorbankan. Adalah dianggarkan 79,000 anak peneroka beroleh manfaat jika Felda Plantation dimansuhkan dan ditukar kembali formatnya kepada pengambilan peneroka. Kerajaan negeri boleh memainkan peranan aktif membuat desakan tersebut. Apakah kita tergamak melihat anak bangsa kita menjadi buruh ladang sama seperti buruh-buruh Indonesia, Bangladesh dan lain-lain lagi di sekeliling mereka.

Naiktaraf Penempatan Felda: Daripada sejumlah 317 rancangan Felda, 77 daripadanya telah selesai membuat bayaran kembali dan beroleh hak milik keperluan untuk penempatan ini ditadbir sepenuhnya oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di bawah kerajaan negeri sangat mendesak. Dengan erti kata lain, sudah sampai masanya kedudukan Felda sebagai ejen pengurusan dikaji semula. Peneroka sudah mampu berdikari dan disambung oleh anak peneroka tanpa cengkaman Felda, hutang piutang, bermacam-macam perjanjian, sekatan dan tentunya pendapatan mereka jauh lebih lebih lumayan apabila tiada penglibatan pihak ketiga yang mengaut keuntungan melampau. Generasi baru Felda yang berpendidikan mampu untuk mentadbir penempatan mereka sendiri dengan kerjasama erat agensi kerajaan negeri termasuk badan-bdan seperti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Persatuan Pekebun Kecil serta menikmati subsidi seperti masyarakat di kampung. Felda hanya berfungsi setakat urusniaga kedai D’Mart, pemasaran komoditi dan lain-lain berasaskan persaingan semasa. Pendekatan ini membuka ruang penyertaan generasi muda lebih terarah dan terjamin.

Tangani Masalah Gejala Sosial: Pendekatan menangani gejala sosial mesti lebih seimbang dengan memperbanyak aktiviti keagamaan. Penekanan kepada program sukan sama ada Akademi Bolasepak Felda, Rally Felda, Liga Futsal Felda dan pembinaan Kompleks Sukan Komuniti sememangnya wajar tetapi kesungguhan mempelbagaikan program kerohanian menjadi tanda tanya. Jika pasukan Rela, Rukun Tetangga dan sukarelawan boleh diwujudkan untuk membantu polis memerangi jenayah, sudah sampai masanya sukarelawan membanteras maksiat juga ditubuhkan. Mekanisme bersama JKKK, Jawatankuasa Masjid, Jabatan Agama dan lain-lain boleh dibentuk untuk tujuan tersebut. Institusi masjid dan surau mesti diimarahkan dengan budaya ilmu dan tidak bersifat streotaip yang membosankan. Pendekatan menarik anak muda ke masjid harus ditangani segera kerana ketika ini 90 peratus yang mengimarahkannya adalah peneroka semata-mata. Penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) seperti pemadam dan Pengasih mesti bermula di peringkat sekolah lagi dan sejauh mana keberkesanan pembangunan belia melalui Kem Bina Remaja, kursus pembinaan sakhsiah dan Rakan Waja diselenggarakan. Percambahan idea bagi menyegarkan semula aktiviti golongan muda harus disegerakan dengan penyertaan semua pihak tanpa mengira latar belakang agama dan politik. Penekanan berlebihan aspek sukan dan hiburan hingga menenggelamkan soal pembinaan akhlak telah dirasai padahnya.

Banyakkan Peluang Pendidikan: Pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda di Wilayah Trolak (foto) walaupun terlewat 20 tahun, sangat dialu-alukan. Pakej pendidikan tajaan Felda dengan institusi swasta umpamanya Universiti Lim Kok Wing seharusnya bersifat sementara dengan langkah segera mewujudkan pusat pendidikan berskala besar milik Felda seperti dilakukan syarikat multi-nasional Petronas dan TNB tetapi fokus kepada jurusan perladangan dan bio-teknologi. Program kemahiran yang dibuat ketika ini seperti melepaskan batuk di tangga kerana langkah susulan tidak dilakukan yang akhirnya pasaran kerja tidak berasaskan kebolehan dimiliki. Mungkin karenah birokrasi mendapatkan peruntukan dan pinjaman meletihkan peserta kursus atau campurtangan politik menggagalkan tujuan asal yang baik dan murni itu sebenarnya.

[Sikap pentadbiran Felda yang kurang meraikan keperluan generasi kedua di sesetengah tanah rancangan mesti ditegur segera atau campurtangan kerajaan negeri melalui agensi berkaitan dalam menyelaras peluang-peluang niaga, kemahiran dan pendidikan mesti dibuka seluas-luasnya dan info yang harus dihebahkan dengan pelbagai cara. Oleh itu juga, Kerajaan Negeri Pahang diharap dapat memainkan peranan dalam mendesak Felda supaya kembali kepada matlamat asal penubuhannya. Usahlah dibiarkan beberapa kerat individu dalam Felda terus merompak hasil mahsul yang diusahakan oleh para peneroka seperti apa yang berlaku sekarang ini. Felda harus berpijak dibumi yang nyata seperti di zaman Tun Razak dulu].

0 Komen Artikel Ini: