SELAMAT DATANG KE BLOG PERIBADI BLOGGER CUCUMATKILAU (CMK)

Pilihanraya Umum, CMK Dengan Rasa Ikhlas Hati Menawarkan Diri Bertanding Sebagai Calon DUN !

Tanggal 25 Mei 2011, maka genaplah usia CMK yang ke-40 tahun. Maka, bermula era baru dalam hidup CMK selama ini. Ramai yang tidak mengerti apakah yang CMK perjuangkan, namun mutakhir ini masing-masing sudah mula memahami hasrat murni CMK untuk terus berjuang membela rakyat dalam apa jua keadaan sekali pun. Bagi CMK, usia 40 adalah bererti permulaan yang baru dalam hidup ini bagi meneruskan perjuangan. Biar pun pada masa ini CMK dilihat sebagai aktivis bebas, selepas berundur dari politik kepartian namun hala tuju perjuangannya adalah tetap sama. CMK mahu melakukan perubahan agar hari ini lebih baik dari hari semalam. CMK mahu politik kita lebih matang dan lebih adil dan saksama. CMK tidak mahu perjuangan politik itu disulami dengan berbagai taktik-taktik kotor dalam menjatuhkan lawan masing-masing. Kita perlu ingat bahawa kita adalah Khalifah dimuka bumi ini. Maka, kita tidak wajar terus berpolitik sepanjang masa hingga mengabaikan tanggungjawab hakiki kita di atas muka bumi ini. Kita tidak boleh terbawa-bawa fahaman politik sempit dalam kehidupan seharian kita, hingga kita hanya menjaga hubungan antara sesama kita dalam parti tertentu sahaja. Ketika pilihanraya, mungkin ada orang yang sokong kita, tetapi selepas pilihanraya kita perlu rapatkan ukhwah. Tidak boleh kita bezakan dan pinggirkan mereka yang tidak menyokong kita. Tidak boleh kita abaikan orang lain semata-mata tidak memangkah kita ketika pilihanraya. Ini tidak baik untuk generasi yang akan datang. Kita sebagai Khalifah di mukabumi ini harus melayan semua orang dengan adil dan saksama, hatta musuh politik kita sekali pun. Tindakan membeza-beza ini orang aku, itu orang mu menyebabkan, rakyat yang tidak berdosa akhirnya teraniaya. Tidak bolehkah kita berpolitik ketika masanya berpolitik, dan selepas itu kita kembali bersatu, berpadu dan mengeratkan sillaturrahim. Sanggupkah kita pinggirkan jiran-jiran kita semata-mata mereka tidak sehaluan dengan kita?. Hanya dek kerana berbeza agama dan bangsa, kita terkadang terpaksa abaikan tanggungjawab sosial terhadap mereka?. Inilah perubahan besar yang perlu dilakukan dalam membawa erti sebuah perjuangan yang hakiki dalam kehidupan kita sebenarnya.

Tawar Diri Bertanding Kerusi DUN Pada PRU13

Justeru itulah, CMK merasakan sudah tiba masanya diwujudkan satu iklim politik yang lebih sihat dalam negara kita. Apakah salah dan dosa orang lain hingga mereka harus kita pinggirkan?. Baik sangatkah kita hingga menganggap orang yang tidak berpihak kepada kita adalah musuh kita buat selamanya?. Ini berlaku dalam politik hari ini dan sewajarnya diubah jika mahu kehidupan yang lebih selesa pada masa akan datang. Lantaran itulah CMK dengan beraninya menawarkan diri untuk menjadi Calon dalam Pilihanraya Umum ke-13 yang akan datang. Ramai yang terkejut dengan keputusan berat ini, tetapi itulah hakikatnya. CMK perlu masuk ke dalam Dewan Undangan Negeri Pahang secara terhormat atas nama demokrasi. CMK mahu bersuara membela rakyat secara lebih agreasif lagi. Jalan terbaik ialah menawarkan diri walau pun CMK kini tidak berparti sebenarnya. Ada yang mengatakan CMK gila kuasa dan memilih jalan yang salah untuk meneruskan perjuangan. Tapi mereka juga harus ingat, akibat tidak memaklumkan keputusan mahu menawarkan diri sejak dari awal lagilah akhirnya nama CMK tercicir dalam senarai calon Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) dalam pemilihan 2010 yang lalu. CMK dipersalahkan oleh pimpinan tertinggi PKR Pahang, kerana tidak memaklumkan secara rasmi hasrat tersebut. Sedangkan CMK sudah mewar-warkannya di dalam Facebook dan blog CMK sendiri. Mungkin kesilapan itu menyebabkan CMK akhirnya gagal untuk membantu memperkasakan Media Baru parti secara lebih praktikal lagi. Lantaran itu juga, CMK tidak mahu melakukan kesilapan buat kali yang kedua. Bagi CMK, niat ikhlas untuk berjuang membela rakyat perlulah dilakukan pula di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, selepas lebih 13 tahun CMK berjuang dijalanan serta sering berada di belakang tabir selama ini.

Empat Kawasan DUN Yang Bakal Menjadi Pilihan

Ramai yang hairan kenapa CMK buat pengumuman terlalu awal, sedangkan tarikh pilihanraya umum pun masih menjadi teka teki lagi. Malah ada yang tertanya-tanya CMK mahu bertanding atas tiket apa, sedangkan CMK sudah tidak berparti sekarang ini. Semua ini pasti akan menimbulkan kontroversi yang berpanjangan. Apa yang penting CMK akan terus berjuang untuk membela rakyat walau dalam apa jua cara sekali pun. Bagi CMK dimana-mana jua pasti akan ada masalah yang tidak dapat diselesaikan menerusi saluran politik. Buat masa ini CMK hanya menawarkan diri sahaja, dan CMK akan maklumkan selepas ini antara kawasan DUN pilihan dan seterusnya atas tiket apa CMK akan meneruskan perjuangan ini. Bagi CMK rakyat perlu dilayan sama rata dalam apa jua cara sekali pun. Mereka adalah hakim negara dan hak mereka perlu dihormati. Jika ditakdir CMK tersungkur, maka ribuan maaf diucapkan atas apa yang terjadi. Namun andai CMK berjaya teruskan perjuangan ini, maka CMK akan buktikan bahawa masanya sudah tiba untuk meneruskan cita-cita selama ini. CMK amat mengharapkan sokongan semua. Soal atas tiket mana dan parti mana itu CMK tidak berani untuk putuskan lagi. Mungkin dalam masa terdekat ini CMK akan tentukannya. Namun antara kerusi DUN Pilihan yang difikirkan sesuai untuk CMK tandingi ialah DUN Pulau Tawar (tempat asal usul keturunan CMK), DUN Chenor (tempat CMK dibesarkan dan mengenal erti kehidupan), DUN Kuala Sentul (tempat CMK bersekolah dan bersosial) dan yang terakhir sekali ialah DUN Semambu iaitu tempat bermastautin dan tempat CMK mengundi pada PRU-13 ini. Semua kawasan ini adalah sinonim dengan hidup CMK dan sudah pasti ada kekuatan untuk CMK buktikan kepada rakyat andainya hasrat murni ini mendapat sokongan dari kalangan rakyat ini diteruskan.

3 Komen Artikel Ini:

  • Mohd Ridzuan says:
    26 Mei 2011, 12:26:00 PTG

    Assalamualaikum...CMK nak tanding atas tiket apa? Selamat Berjuang....

  • Tanpa Nama says:
    27 Mei 2011, 11:36:00 PG

    CMK boleh bertanding dengan tiket DAP di kawasan majoriti Melayu.

    Peluang adalah lebih cerah untuk mencapai matlamat bersama kita, Malaysians Malaysia. Hak sama kepada semua rakyat tanpa mengira keturunan dan agama sebagaimana dituntut oleh agama Islam.

  • Tanpa Nama says:
    20 Jan 2012, 4:44:00 PTG

    CMK, saya nk bertanya, apakah yang CMK boleh bagi kepada rakyat jika menang atas tiket BEBAS..