SELAMAT DATANG KE BLOG PERIBADI BLOGGER CUCUMATKILAU (CMK)

Senario Politik Tanahair Semakin Mendebarkan

Agak lama juga Cucu tidak mengemaskini blog ini. Ribuan ampun dan kemaafan dipinta kerana buat masa ini agak sibuk dengan berbagai urusan peribadi yang tidak dapat dielakkan. Walau bagaimana pun Cucu masih terus mengikuti perkembangan politik tanahair yang dilihat semakin menarik mutakhir ini. Sebelum itu Cucu memohon maaf kepada rakan-rakan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana tidak dapat menghadirkan diri ke Kongres Khas parti itu di Bangi baru-baru ini. Ramai rakan-rakan yang mencari kelibat Cucu di sana, antaranya ialah Zul Penang, Nizam Hamid dan lain-lain lagi. Apapun Cucu masih terus mengikuti perjalanan kongres secara online. Kehilangan Cucu yang agak lama bukanlah bererti blog ini akan terus berkubur begitu sahaja. Mana mungkin selepas lebih 10 tahun menjadi blogger tiba-tiba Cucu mengundur diri. Apapun, Insya Allah Cucu akan terus kembali dengan tulisan dan artikel panas seperti diawal pembabitan Cucu dengan dunia blogging ini dulu. Banyak insiden yang tidak diingin berlaku dan telah mendapat perhatian Cucu. Antaranya ialah kes perbicaraan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadualkan bermula pada 1 Julai 2009 ini. Selain daripada itu isu Kerajaan Perpaduan dan kes penggantungan MB Perak yang sah Datuk Seri Ir.Nizar Jamaluddin dan enam yang lain turut menarik perhatian sebenarnya. Semua ini adalah rentetan daripada sikap terlalu takutnya institusi parlimen di Malaysia dalam membicarakan masalah kekalutan politik dalam sebuah negeri dalam negara itu sendiri. Kenyataan Speaker Dewan Rakyat bahawa isu itu tidak relevan adalah karut sama sekali. Terbukti jelas bahawa Pandikar Amin Tak Mulia telah mendapat SMS daripada pihak tertentu agar menolak usul tersebut untuk dibahaskan. Inilah yang menjadi masalah kepada demokrasi di Malaysia sebenarnya.

Bila Speaker DUN Perak bertindak menggantung ADUN BN mereka dikatakan melakukan tindakan yang menyalahi undang-undang. Tapi bila wakil rakyat pembangkang digantung semuanya boleh belaka. Rosak amalan undang-undang di Malaysia. Sebab itulah Cucu melihat pandangan yang paling bernas diterima pada masa ini ialah daripada profesor undang-undang Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa. Beliau secara jelas mengupas kemelut politik yang berlaku di Perak dan bersikap neutral dalam setiap komen yang diberikan. Namun, segalanya itu ditolak bulat-bulat oleh kerajaan, kerana mereka tetap mempertahankan kononnya BN berada di pihak yang benar. Walhal, satu dunia tahu yang kerajaan Pakatan Rakyat telah dirampas oleh BN secara kekerasan dan penipuan. Itu pun mereka masih mahu menegakkan benang yang basah lagi. Akhirnya kini kerajaan Perak yang ada terus berada diawang-awangan dan tidak dapat berfungsi dengan baik biarpun Zambry Kadir cuba untuk memulihkan keyakinan dan kepercayaan rakyat itu. Apa yang rakyat mahukan ialah kembalikan kuasa kepada rakyat untuk membuat pilihan kerajaan manakah yang mereka mahu. Tindakan BN menggunakan mahkamah dan istana sebagai jalan terakhir mereka, jelas sekali menggambarkan ketakutan yang teramat sangat kepada suara rakyat itu sendiri. Malah, jika pun rakyat diberikan hak untuk memilih dan DUN dibubarkan belum tentu Pakatan Rakyat boleh menang kerana sudah pasti mereka boleh menggunakan berbagai strategi untuk menang. Namun, akibat takut kepada bayang-bayang sendiri akhirnya semua itu dinafikan. Dan kini, terwujudlah kerajaan haram yang memerintah negeri Perak Darul Ridzuan sebenarnya. Kasihan benar melihat rakyat Perak yang terpaksa melihat segala "kebiadapan" ini, tanpa boleh berbuat apa-apa lagi sekarang ini. Segala pintu seolah-olah sudah hampir tertutup, maka terpaksalah rakyat negeri itu "menanggung biawak hidup" sehingga pilihanraya umum akan datang. Inilah dia dikatakan suratan takdir!

0 Komen Artikel Ini: