SELAMAT DATANG KE BLOG PERIBADI BLOGGER CUCUMATKILAU (CMK)

Panas: Ramai Ahli-Ahli PKR Merasa Amat Kecewa, Majlis Dialog Yang Di Janjikan 'Bertukar' Jadi Sesi Penerangan Satu Hala Anwar-Saifuddin Semalam

Sumber: pahangdaily

Dalam ceramahnya di Kuantan semalam, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan lantang mengatakan bahawa beliau amat kecewa dengan tindakan Datuk Zaid Ibrahim menggunakan media arus perdana terutamanya Utusan Malaysia untuk menghentam serta mengkritik parti. Bagi Anwar, akhbar terbabit adalah "musuh nombor satu PKR" sejak dulu, kini dan selamanya. Maka itulah, Zaid amat wajar dipecat dan dipersalahkan dalam kemelut yang melanda parti itu mutakhir ini. Bagi Anwar, tindakan Zaid yang sanggup bersekongkol dengan media UMNO itu amatlah dikesali dan tidak wajar berlaku sama sekali. "UMNO mencari peluang untuk melumpuhkan parti, tiba-tiba ada orang seperti Zaid pula yang bersekongkol dengan media mereka untuk menjatuhkan parti", kata Anwar. Sambil tidak mahu menghuraikan apa yang ditegur oleh Zaid itu benar atau sebaliknya, Anwar lebih selesa menggasak Zaid. Soalnya sekarang jika benar kesalahan Zaid kerana tidak mengikut saluran yang betul untuk menegur dan mengkritik parti. Apakah saluran betul yang dimaksudkan itu agaknya?. Lihat apa yang berlaku di Kuantan semalam, saluran yang betul dibuat untuk membolehkan ahli-ahli yang tidak berpuas hati meluahkan pandangan mereka secara berdepan akhirnya bertukar jadi "majlis penerangan satu hala" semata-mata.


Antara tetamu dan hadirin yang telah hadir dalam majlis petang semalam

Asyik mendengar "satu hala" tetapi gagal ambil bahagian untuk berdialog

Ahli PKR yang hadir dicanangkan supaya menerima apa jua ketetapan yang telah diputuskan oleh parti. Tanpa boleh menegur dan menyalahkan pihak lain, mereka terpaksa menerima kenyataan itu biar pun pahit untuk ditelan. Mereka yang hadir umpama "lembu dicucuk hidung". Apa sahaja kata Anwar dan Saifuddin, mesti diterima bulat-bulat dan tidak perlu dipertikaikan. Apakah ini keadilan buat mereka yang mempunyai sesuatu untuk ditanyakan kepada Anwar. Hak ahli perlu juga difikirkan kerana mereka mahukan penjelasan terus daripada pemimpin terbabit.

Guna Media, Kenapa Ada Dua Tindakan Berbeza


Datuk Zaid Ibrahim dipersalahkan kerana menggunakan media arus perdana terutamanya Utusan Malaysia untuk mengkritik parti. Namun, apa yang dilakukan itu bukanlah bersifat umum dan tidak akan menghancurkan parti secara keseluruhannya. Soalnya sekarang, ramai yang mempertikaikan jika itulah penyebabnya Anwar tidak sukakan Zaid maka apa bezanya dengan tindakan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail (foto) agaknya. Umum masih ingat, beliau telah memanggil satu sidang media yang turut dihadiri oleh media arus perdana untuk menyatakan hasratnya meletak jawatan Timbalan Pengerusi I PKR Pahang. Keputusan itu dibuat akibat beliau tidak percaya lagi dengan kepimpinan Pengerusi PKR Pahang iaitu Dato' Fauzi Abd Rahman ketika itu. Bukankah Dato' Fauzi iti dilantik oleh Anwar, makanya Azan tidak wajar membuat sidang media untuk mengkritik Dato' Fauzi. Mengkritik Dato' Fauzi samalah seperti mengkritik Anwar. Kecoh dibuatnya dengan tindakan Azan itu, malah timbul juga desas-desus beliau antara nama yang disebut-sebut bakal "lompat parti". Bahkah Azan sendiri mengakui kepada beberapa orang proksinya, bahawa dia ada mendapat tawaran lumayan kiranya keluar PKR. Namun, dek kerana dia komited dan setia parti maka Azan tidak berbuat demikian. Soalnya, insiden itu telah menjadi mainan media arus perdana kononnya PKR terus bergolak. Malah, di Pahang sendiri ia menjadi isu panas dan kepimpinan Dato' Fauzi pula dipertikaikan. Bukankah isu Azan ini juga "besar impaknya" kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR). Namun, kenapakah tiada tindakan displin dikenakan terhadap beliau?. Apakah kerana dia ada hubungan cukup rapat dengan Azmin Ali bahkan Anwar Ibrahim sendiri?.


Antara penyokong Azan yang hadir dalam majlis yang diadakan semalam
Ini yang memusykilkan rakyat sebenarnya. Kenapa ada orang boleh buat sidang media dan bersahabat dengan Utusan Malaysia, tetapi ada yang lain pula dianggap kurang ajar dan khianat kepada parti. Kenapa ada dua peraturan yang berbeza?. Sedangkan dalam PKR itu sendiri tidak ada surat pekeliling khas atau arahan rasmi supaya media arus perdana terutamanya Utusan Malaysia itu diboikot. Maka kenapa dalam kes Zaid ia dicanang-canangkan sedemikian rupa seolah-olah beliau memang pesalah besar?

Kenapalah Saifuddin Sanggup Putar Belit Fakta

Banyak fakta yang diperkatakan oleh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution (foto) dalam majlis semalam telah diputarbelit sebenarnya. Antaranya ialah tentang pemilihan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) yang kononnya dipilih dari 250, dihantar kursus dan sebagainya. Tapi beliau tidak sedar dalam dewan semalam ada JPP "bidan terjun" yang dilantik secara "pasang siap". Tiada kursus, tiada latihan tiada ilmu tapi ditugaskan jaga pemilihan peringkat cabang. Maknanya apa yg dikatakan oleh Saifuddin hanyalah wayang semata-mata. Begitu juga dengan kenyataan beliau kononnya JPP sudah menyelesalikan beratus-ratus laporan cabang tentang kemelut pencalonan dan pemilihan. Sebaliknya beliau lupa, cabang Indera Mahkota sendiri (tempat beliau bercakap) statusnya masih diragui hingga ke hari ini. Bahkan Pengerusi Majlis (MC) majlis itu sendiri iaitu Razali Alias adalah calon Ketua Cabang yang telah menghantar protes bantahan tersebut. Mungkin ianya antara yang terawal dihantar kepada JPP, namun hingga ke hari ini tiada maklumat tentang siasatan yang diterima. Jangan surat rasmi malahan satu panggilan telefon pun tidak diterima oleh beliau sebenarnya. Namun, anehnya Saifuddin mengatakan "sudah selesai". Apa yang selesai agaknya?. Melihat dua penipuan kenyataan ini, jelas sekali ternyata Setiausaha Agung PKR itu sengaja memberi penjelasan "satu hala" tanpa memberi ruang kepada ahli untuk bersoal jawab. Mereka dimomokkan dengan laporan salah oleh Saifuddin tentang pemilihan parti, sedangkan ahli-ahli yang datang lebih tahu apa yang telah berlaku di cabang mereka.

[Melihat kepada apa yang berlaku ini, bermakna memang kemelut yang melanda PKR sekarang amat sukar untuk dipulihkan sebenarnya. Biarpun dalam pertemuan tersebut Anwar ada menjelaskan bahawa dia tidak mahu penyokong Zaid dinafikan hak untuk terus bersama parti, namun kenyataan Azmin pula sebaliknya. Ini menunjukkan bahawa pembersihan yang mahu dilakukan oleh Azmin selepas Kongres Nasional PKR minggu ini pasti akan menjadi kenyataan sebenarnya. Soalnya sekarang, apakah Anwar akan datang semula untuk memperbetulkan keadaan supaya rakyat terutamanya pengundi atas pagar yakin dengan apa yang diperkatakan itu. Jika tidak harapan untuk melihat Pakatan Rakyat menuju Putrajaya pasti akab berliku sebenarnya. Pemimpin PKR perlu jujur dan ikhlas untuk berjuang dan jangan sekadar retorik serta menabur kata-kata manis kepada rakyat. Sebaliknya mereka sendiri berpuak-puak dan mengamalkan budaya UMNO yang amat dibenci oleh seluruh rakyat itu sebenarnya].

0 Komen Artikel Ini: