Pilihanraya Umum Ke-13 semakin menjelang tiba. Ramai yang tertanya-tanya kerusi mana CMK akan bertanding jika meneruskan hasrat itu. CMK kini adalah Aktivis Bebas yang tidak terikat dengan mana-mana parti politik buat masa ini. Masa akan datang, hanya Allah yang akan menentukannya. Namun, ramai juga yang terkejut bila CMK menawarkan diri untuk menjadi calon pada PRU kali ini. Ada yang membangkang dan ramai juga yang menyokong hasrat itu. Namun, mereka sebenarnya tercari-cari di mana tempat paling sesuai untuk CMK bertanding jika ditakdir itu berlaku. Terus terang CMK katakan, jika hasrat ini diteruskan maka CMK akan mencari tempat yang paling sesuai mencipta kemenangan. Namun, jika memikirkannya semula tentang bagaimana CMK boleh menang jika tidak berparti. Sebelum ini hebih diperkatakan CMK akan sertai Parti Islam SeMalaysia (PAS), kemudian UMNO dan terkini Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) yang dipimpin oleh Datuk Zaid Ibrahim. Semua ini adalah satu situasi yang sungguh mengejutkan sebenarnya. CMK ada hak untuk tawarkan diri kerana sudah dua kali CMK menjadi calon pilihanraya umum. Kali pertama ketika nama CMK diangkat oleh Parti Keadilan Nasional (PKN) untuk bertanding di DUN Lepas, Parlimen Paya Besar pada PRU-11 (2004). Namun hasrat itu terbantut akibat krisis Paya Besar yang menyaksikan pembubaran parti bahagian itu yang dipimpin oleh Wan Jusoh Wan Kolok (Ketua Bahagian). Kemudian pada tahun 2008, CMK sekali lagi bertanding di DUN Kemayan, Parlimen Bera sekali lagi mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR). CMK tinggalkan PKR pada 11 Februari 2001 (11.2.11) untuk menjadi aktivis bebas yang pro kepada rakyat. Pada awalnya, CMK diserang oleh rakan-rakan dalam PKR akibat keputusan itu. Mereka sangka CMK akan melompat ke UMNO bila mendapat habuan tertentu. Namun, akhirnya CMK konsisten dalam perjuangan rakyat dan terus bergerak bebas seperti sekarang ini. Malah, CMK lebih lantang memperjuangkan hak rakyat dalam isu Lynas hingga menyebabkan MB Pahang hampir menyaman CMK gara-gara kenyataan panas yang dikeluarkan. Semua itu adalah bukti, yang CMK sebenarnya masih sayangkan perjuangan rakyat dan tidak sama sekali terpengaruh habuan duniawi yang pernah ditawarkan pihak tertentu.
Maka itu, orang bertanya kenapa perlu CMK bertanding sedangkan CMK boleh bergerak bebas seperti sekarang. Tapi, mereka harus faham yang CMK bukan berhasrat untuk menjadi YB kerana mahu berseronok mahu jadi wakil rakyat. Tapi CMK rasa sudah tiba masanya CMK bersuara di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membela rakyat selepas lebih 13 tahun menulis di internet selama ini. Malah, CMK satu-satunya blogger di Pahang ini yang turut menjadi calon dalam pilihanraya. CMK boleh terus menjadi blogger seperti biasa, namun CMK terpanggil untuk membawa banyak isu rakyat ke DUN. Bagi CMK, DUN Pahang akan lebih panas bila CMK berjaya masuk dan menjejakkan kaki ke dalamnya. Lagi pun pada masa ini CMK tidak bekerja tetap dan bergerak sepenuh masa sebagai Aktivis Bebas. Makanya, CMK rasa eloklah jika CMK lakukan kerja dengan lebih berjadual dan tersusun bagi membela rakyat selepas ini. Malah, CMK telah lama berjuang bersama rakyat sejak 1998 lagi iaitu diawal zaman reformasi. Orang boleh menuduh berbagai-bagai pada CMK, kononnya CMK tidak layak dan sebagainya. Namun mereka harus ingat, bahawa CMK masih terus begini dan setia kepada perjuangan rakyat berbanding dengan lain-lain pemimpin PKR yang baru muncul selepas melihat pembangkang berjaya menafikan undi 2/3 BN di Parlimen selepas PRU-12 lalu. Ke mana mereka sejak 10 tahun yang lalu?. Masing-masing takut untuk berjuang dan mencari peluang jika ditendang dari parti masing-masing. Inilah yang berlaku sebenarnya. Jadi, CMK melihat mereka ini tidak jujur dan hanya mahu kembali kepada rakyat selepas tidak diperlukan lagi oleh UMNO BN. Sekarang mereka mendabik dada kononnya pejuang sejati, walhal mereka menikus pada awal zaman pemecatan Anwar dulu. Sebab itu, CMK terpaksa tawarkan diri untuk membuktikan kepada rakyat siapa yang lebih jujur dalam perjuangan.
0 Komen Artikel Ini:
Catat Ulasan