Selepas naik pentas di Stadium Kajang baru-baru ini, ramai sahabat-sahabat baik dari pihak kerajaan mahu pun pembangkang menghubungi saya bertanya, apakah saya mahu kembali ke persada politik?. Inilah soalan panas yang mereka ajukan.... tambahan pula bagi yang mendengar dan mengikuti ucapan saya selama hampir 20 minit di Kajang baru-baru ini.
Bagi saya, segalanya Allah yang akan tentukan. Perjuangan membela rakyat tidak semestinya berada di landasan politik. Sebab itu saya berusaha menubuhkan Angkatan Pembela Rakyat (Angkara) iaitu sebuah NGO yang benar-benar telus, bebas dan adil serta tidak terikat dengan mana-mana parti politik di negara kita.
NGO Angkara tidak tertakluk kepada mana-mana pihak dan kita wujudkan NGO ini bukan untuk menjadi pengampu atau pun pencacai murahan. Sebab itu, sebelum membuat pelancaran secara rasmi kita mahu memilih mereka yang faham perjuangan rakyat untuk menyertai NGO ini. Jika mereka terikut-ikut rentak parti politik, memang agak susah untuk perjuangkan isu rakyat sebenarnya.
Soal, saya akan kembali ke landasan politik itu bukanlah isu utama selepas saya naik pentas baru-baru ini. Saya naik secara bidan terjun dan bukan ada perancangan sebenarnya. Kami hanya singgah di Stadium Kajang untuk melihat senario terkini Pilihanraya Kecil DUN Kajang yang sedang hangat sekarang. Sahabat saya memaklumkan kepada penganjur, bahawa Blogger Cucumatkilau ada bersamanya dan boleh diberi ruang untuk berceramah buat seketika malam itu. Tiba-tiba penganjur bersetuju, maka itulah saya naik pentas selepas persembahan Zua XPDC membuat persembahan.
Saya tertarik naik ke pentas sebab programnya ialah Karnival Rakyat. Oleh itu, saya mengambil peluang dan kesempatan menerangkan agenda NGO Angkara yang bakal ditubuhkan kelak. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan saya ucapkan terima kasih kepada pihak penganjur yang memberi ruang kepada saya untuk bersuara selepas sekian lama menyepikan diri. Perjuangan rakyat tetap diteruskan.
0 Komen Artikel Ini:
Catat Ulasan