SELAMAT DATANG KE BLOG PERIBADI BLOGGER CUCUMATKILAU (CMK)

Sistem Keanggotaan Lemah, Ramai Ahli PKR Yang Keluar Dan Di Pecat Dari Parti Masih Ada Dalam Senarai Daftar Pemilih !!


Apa sudah jadi dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR), kelemahan sistem keanggotaan ahli menyebabkan kekecohan berlaku di sana sini. Bayangkan ahli yang sudah lama keluar parti masih ada dalam senarai dan berdaftar sebagai pengundi yang sah. banyak kes berlaku di Pahang termasuk ada ahli yang secara rasmi keluar PKR dan sertai UMNO dan MIC juga dibenarkan mengundi kerana nama mereka masih ada dalam senarai ahli dan termaktub dalam Buku Daftar Pemilih 2014 yang digunakan untuk pemilihan parti kali ini. Seperti pemilihan sebelum ini, banyak kepincangan terus berlaku biar pun ada sejarah dan parti berjanji ia tidak akan berlaku lagi. Inilah yang berlaku kepada saya semalam, memang benar saya telah umum tarik diri dari PKR pada 11 Februari 2011 iaitu tiga tahun yang lalu. Ketika itu ada laporan mengatakan nama saya telah dibuang dari senarai keahlian. Maka, saya pasrah dan bergerak sebagai aktivis bebas yang pro rakyat sejak 2011 lagi.



Pada 5 Mei 2013 saya bertanding pula sebagai calon bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu. Tindakan tersebut dilakukan kerana saya memang percaya nama saya sudah dikeluarkan daripada keahlian PKR. Saya bertanding di situ kerana memikirkan kerusi itu majoriti pengundi berbangsa Melayu (56.80%), sedangkan kedua-dua parti bertanding mempertaruhkan calon bukan Melayu. Maka, bagi saya menjadi hak dan tanggungjawab agar kerusi itu dikembalikan kepada kaum majoriti di situ. Apapun, saya tewas dan hanya mendapat 860 undi sahaja dalam percubaan terbabit. 


Saya sebenarnya sudah tidak termasuk lagi dalam senarai ahli PKR yang tanding bebas akan dipecat serta merta oleh parti ketika itu. Akhirnya selepas PRU-13 saya bergerak atas landasan Badan Bukan Kerajaan (NGO) bebas yang Pro-Rakyat iaitu Angkatan Pembela Rakyat (NGO). Berbagai aktiviti membela rakyat telah dijalankan sehingga ke hari ini.


Selepas tiga tahun tidak aktif dengan mana-mana parti politik, maka saya amat selesa bergerak sebagai aktivis bebas yang boleh menegur mana-mana pihak tanpa ada sekatan atau kekangan politik. Hinggalah, pemilihan PKR 2014 dihebohkan. Saya dihubungi oleh rakan-rakan PKR yang mengatakan nama saya masih aktif dan termasuk dalam daftar pemilih. Saya terkejut dan hairan, kenapa nama masih ada sedangkan saya sudah tidak aktif lagi sejak tiga tahun lalu. 

Semakan mendapati saya masih berdaftar sebagai ahli PKR Cabang Kuantan yang dipimpin oleh Fuziah Salleh. Maka semalam, saya hadir untuk membuang undi walau pun tahu pasti ia akan mencetuskan kontroversi sebab saya sudah undur diri dari parti. Saya tiba sekitar jam 2.00 petang di Pejabat Keadilan Kuantan, Jalan Beserah. Kehadiran saya kerana ada jawatan utama yang dipertandingkan iaitu Ketua Cabang antara Fuziah dan Nancy Kong (bekas calon PKR DUN Semambu PRU12). 

Nancy Kong, Calon yang menentang Fuziah jawatan Ketua Cabang Kuantan

Ada pihak menyuruh saya hadir mengundi kerana nama masa ada dan semakan mendapati Buku Daftar Pemilih 2014 yang digunakan adalah SAH. Ini bermakna saya juga sah boleh mengundi, Anehnya, ketika membuat semakan di kaunter pendaftaran tiba-tiba calon Ketua Cabang Kuantan iaitu Fuziah Salleh telah menghalang saya dengan mengeluarkan kenyataan nama saya sudah dipadamkan dari senarai keahlian PKR. Saya minta bukti dan beliau berkata surat dari pusat telah dihantar dua minggu yang lalu. Anehnya, semakan dalam buku pendaftaran tertera nama saya sebagau pengundi yang sah.



Fuziah marah dan berkata nama pada buku terbabit senarai lama dan tidak sah, sedangkan ia digunakan untuk pemilihan 2014. Saya dihalang mengundi dan saya akur serta undur diri dari lokasi terbabit. Sejam kemudian saya datang untuk membuat laporan protes dengan bayaran RM50 kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat(JPP) PKR. 


Hanya kertas kosong diberika dan pegawai berkenaan meminta saya menulis apa yang mahu diprotes dengan lagak sombongnya. Ketika keluar dari pintu, sekali lagi Fuziah menghalang dan menghalau saya. Katanya, itu pejabat beliau dan saya tidak diterima untuk mengundi di situ. Dia dakwa, kalau saya mahu  mengundi sila keluar dan undi dibawah kanopi di depan pejabat terbabit. Macam-macam kenyataan dibuat, akhirnya saya akur dan membawa diri. Saya kemudian menyerahkan surah bantahan kepada Nancy untuk dihantar kepada pegawai Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) yang berada di situ.

Akhirnya saya diserang bertalu-talu kononnya "Gila Talak", "Meroyan" dan sebagainya oleh rakan-rakan dalam parti yang pernah saya perjuangkan dulu. Alasan mereka saya sudah keluar kenapa mahu mengundi lagi. Tapi mereka lupa, kesilapan berpunca daripada sistem keanggotaan PKR sendiri yang lemah dan amat memalukan. Fuziah pula mengeluar satu surat yang dihantar oleh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution kepadanya bertarikh 14 April 2014 yang lalu. Surat itu memaklumkan pengeluaran nama saya sebagai ahli PKR kerana bertanding bebas. Ini yang memusykilkan, saya sudah undur diri dari PKR sejak 11 Februari 2011 iaitu tiga tahun yang lalu. Masa bertanding sebagai calon bebas memang saya sudah undur diri dari PKR sebenarnya. Kenapa nama masih ada dan saya dipecat kerana bertanding bebas selepas setahun Pilihanraya Umum Ke-13 berlalu?. Kenapa baru sekarang, ketika pemilihan berjalan?. 

Surat yang dibuat tergesa-gesa bagi menghalang saya mengundi 


Saya difahamkan, Fuziah yang mengarahkan surat itu dihantar segera kepada beliau kerana dia takut saya menentangnya bagi jawatan Ketua Cabang Kuantan pada pemilihan kali ini. Saya tiada niat langsung mahu bertanding apatah lagi aktif semula bersama PKR. Cuma saya hairan kenapa surat itu dikeluarkan sekarang dan hanya dihantar oleh SUA kepada Fuziah dengan salinan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP). Nampak sangat Fuziah yang melakukannya tanpa terfikir surat itu sepatutnya diberikan salinan kepada saya jika pun benar saya dipecat dari ahli PKR. Kenapa mahu dipecat sedangkan saya memang sudah keluar sejak 2011. Ini menunjukkan betapa pincangnya sistem keahlian PKR hingga ahli yang sudah mati, dan keluar parti sejak bertahun lalu masih ada dalam senarai.


Maknanya, ini bukan salah saya tetapi kelemahan PKR sendiri. Kenapa saya harus dipersalahkan dan sudah semestinya saya layak mengundi bila nama ada dalam daftar pemilih yang sah. Oleh itu, saya nasihatka rakan-rakan dalam PKR agar membawa usul kepada pusat agar tidak membuat kesilapan seperti ini lagi pada masa yang akan datang. Isu saya ini bagi menyedarkan dan membongkar kelemahan sistem maklumat keanggotaan PKR yang gagal berfungsi dengan baik. Ambil ikhtibar dan perbetulkan keadaan. Jangan menyalahkan saya semata-mata sedangkan parti yang tidak cakna isu seperti ini.


Sekarang baru orang buka mata, kelemahan berlaku. Malah, banyak lagi sebenarnya masalah air yang berlaku pada pemilihan parti semalam. Saya tidak kisah dipecat atau pun sebaliknya. Memang sudah tiga tahun saya undur diri, bukan masalah tanding bebas atau tidak. Cuma cara, Fuziah tidak betul dan melanggar peraturan bila beliau sendiri halau dan halang saya mengundi. Sepatutnya dia maklumkan kepada pegawai Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) dan pihak terbabit yang menyampaikan kepada saya. Beliau adalah calon dan tidak wajar meenghalau pengundi. Jika pun nama saya tidak layak, mereka boleh batalkan kertas undi saya dan tidak perlu halang sedemikian rupa.

Saya sedang memikirkan untuk memanjangkan perkara ini kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) bagi melihat kes ini dari kontek undang-undang. Jika Fuziah melakukan kesalahan maka beliau wajar didakwa kerana cubaan menghalang. Jika saya mengundi pun, mungkin ia kali terakhir saya berbuat demikian bersama PKR, kerana hati saya kini lebih kepada perjuangan bersama NGO Angkatan Pembela Rakyat (Angkara).

1 Komen Artikel Ini:

  • Tanpa Nama says:
    28 Apr 2014, 8:48:00 PG

    sedar-sedar lah diri....awak kan talam dua muka ...bercita-cita tinggi lupakan aje...duduk masjid aje..