Gagal Di PRK Rompin Bukan Bermakna Saya Tak Akan Bersuara
Susulan kegagalan saya menyerahkan borang pencalonan ketika hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil Parlimen P091 Rompin pada 22 April lalu, maka berbagai tuduhan dan tohmahan liar telah dilontarkan oleh kawan dan lawan. Saya secara peribadi mengambil sikap "mendiamkan diri" memandangkan jika saya membuat apa-apa kenyataan dikhuatiri akan disalah tafsirkan oleh semua pihak. Lantaran itulah saya rasa adalah lebih baik saya beri laluan PRK Rompin berjalan lancar. Memang asalnya saya berhasrat untuk mendedahkan apa yang berlaku kepada umum. Namun buat masa ini biarlah saya berehat dan memikirkan tindakan selanjutnya.
Soal kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Aziz Yusoff bahawa saya gagal kerana tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan itu hak beliau untuk membuat kenyataan. Saya tidak mahu komen apa-apa hingga waktu yang sesuai.
Apapun, saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan walau pun saya gagal menyertai PRK Rompin seperti yang diwar-warkan sebelum ini. Saya masih ada NGO Angkatan Pembela Rakyat (ANGKARA) untuk terus bersuara.
Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada kedua-dua calon yang bertanding di PRK Rompin. Semoga dapat melalui pilihanraya yang adil dan saksama hendaknya. Cuma, ada beberapa isu rakyat yang akan tetap saya bangkitkan dalam masa terdekat. Saya mahu sesiapa sahaja yang menang, dapat membawa isu ini ke atas untuk diberi perhatian sewajarnya oleh pihak kerajaan. Salam Perjuangan buat semua. #CMKNEWS
0 Komen Artikel Ini:
Catat Ulasan