Maka kami antara NGO yang banyak memperjuangkan isu ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada MB Pahang atas tindakan tersebut. Walau pun ia agak terlambat, namun sekurang-kurangnya memberikan sedikit kelegaan kepada rakyat terutamanya warga Kuantan yang banyak ditimpa musibah akibat aktiviti perlombongan luar kawalan ini.
Kami melihat keputusan Kerajaan Negeri Pahang ini amatlah tepat sekali dan ia merupakan hadiah Hari Raya Aidil Fitri buat rakyat. Walau pun ada suara-suara sumbang yang terus mengkritik kenyataan Adnan itu, namun ia harus diterima secara terbuka oleh semua pihak.
Bukan senang, MB mahu membuat keputusan yang mengejutkan itu sebenarnya. Namun, ia harus dilihat dari sudut yang positif demi mengembalikan semula imej keceriaan bandar Kuantan sebagai "bandar lestari" seperti yang diwar-warkan.
Kepada mereka yang terus mengkritik terutamanya di media sosial, kami harap agar dapat berlapang dada dan menganggap ia sebagai satu kejayaan buat rakyat, setelah sekian lama mereka berjuang untuk isu bauksit ini. Usahlah terus mengutuk, menghina dan mencaci kerana emosi. Benda yang baik, kita wajar menyokong atas usaha kerajaan negeri ini.
Cuma, dalam menghadapi tanggal 31 Julai 2015 kami amatlah berharap Kerajaan Negeri Pahang dapat menasihatkan para pelombong agar tidak bertindak rakus untuk menghabiskan sisa-sisa hasil perlombongan mereka dengan melanggar segala peraturan yang telah ditetapkan.
Tambahan pula di saat umat Islam akan menyambut peraayaan Hari Raya Aidil Ftiri tidak lama lagi. Kita tidak mahu lori-lori bauksit terus bermaharajalela di atas jalanraya hingga mengganggu dan mengancam keselamatan penduduk setempat. Oleh itu, Adnan digesa mengarahkan para pelombong menghentikan aktiviti perlombongan sehari sebelum dan dua hari selepas Aidil Fitri bagi tidak mencetuskan konflik yang akan menyebabkan rakyat terus marah dengan tindakan ini.
Apapun, kami mengucapkan syabas dan tahniah kepada Menteri Besar Pahang atas tindakan ini. Semoga ianya dapat memberikan semula sinar kehidupan baru buat warga Kuantan. Kembalikan hak mereka di bulan Ramadan ini adalah satu tindakan mulia yang wajar disanjungi. Maka itu kami sekali lagi amat berterima kasih kepada Dato' Sri DiRaja Adnan Yaakob atas keputusan pembatalan aktiviti perlombongan bauksit ini.
MOHD SHUKRI MOHD RAMLI
Penyelaras NGO
Angkatan Pembela Rakyat
[ A N G K A R A ]
0 Komen Artikel Ini:
Catat Ulasan