SELAMAT DATANG KE BLOG PERIBADI BLOGGER CUCUMATKILAU (CMK)

Isu Bauksit: Jangan Tersalah Menilai Perjuangan NGO Angkara


Susulan tindakan kami menyokong kenyataan Menteri Besar Pahang, Dato' Sri DiRaja Adnan Yaakob susulan kenyataan beliau bahawa Kerajaan Negeri Pahang mengambil tindakan drastik menamatkan 34 pemegang Lesen Melombong Bijih (MOL) berkuat kuasa 31 Julai ini.

Maka ramai pihak yang telah menuduh dan mengecam kami kononnya sudah dibeli oleh Kerajaan Negeri Pahang untuk menyokong mereka pula. Bagi mereka #ANGKARA hanya perlu membangkang sepanjang masa dan tidak boleh menyokong langsung tindakan kerajaan hatta yang membawa kebaikan untuk rakyat.


Maka itu saya selaku Penyelaras NGO Angkatan Pembela Rakyat ingin memperbetulkan persepsi ini agar mudah di fahami. #ANGKARA adalah NGO Pro Rakyat yang membela rakyat tanpa membezakan fahaman politik kepartian masing-masing. Maka itu kami tidak tertakluk kepada arahan mana-mana pihak baik kerajaan mahu pun pembangkang.

Dalam isu bauksit, kami banyak memperjuangkan hak-hak rakyat dan membela nasib mereka selama ini. Maka, apabila Kerajaan Negeri Pahang mengumumkan akan membatalkan Lesen Melombong Bijih (MOL), kami menyokong sepenuhnya. Bagi kami mana yang baik untuk rakyat kami akan sokong, yang tidak baik untuk rakyat kami akan tegur dan tentang habis-habisan.

Dalam kes Bauksit, beberapa bulan lalu kami pernah keluarkan kenyataan menyokong kenyataan MB Pahang yang mengatakan Kerajaan negeri Pahang tidak akan teragak-agak menghentikan aktiviti perlombongan bauksit dan bijih besi di negeri ini sekiranya masalah pencemaran di jalan sekitar menghala ke Pelabuhan Kuantan dan perindustrian Gebeng berterusan tanpa jalan penyelesaian.(Klik sini http://cucumatkilau.blogspot.com/2015/02/isu-bauksit-ngo-angkara-sokong.html).


Maka semalam, MB umumkan akan menamatkan lesen MOL tersebut selepas melihat keadaan semakin kritikal dan tidak terkawal. Maknanya MB mahu mengotakan janji yang telah beliau buat beberapa bulan yang lalu. Sebagai NGO Pro Rakyat, kami berhak menyokong tindakan MB ini. Tidak timbul soal kami termakan kata-kata MB seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak. Benda yang baik kami akan sokong kerana yang mendapat faedah ialah rakyat. Keputusan drastik ini wajar diterima oleh rakyat (Klik sini http://cucumatkilau.blogspot.com/2015/07/bauksit-keputusan-drastik-mb-wajar-di.html).

Kenapa perlu ada yang bising mengatakan MB tipu dan tidak kotakan janji, sedangkan semalam baru MB umum batalkan lesen melombong tersebut. Soal ada yang kata kenapa tidak sekarang dan perlu tunggu hingga 31 Julai 2015?. Sebenarnya dalam satu kenyataan sebelum ini MB ada mengatakan akan membatalkan lesen melombong sehingga 31 Ogos 2015 akan datang, tapi sekarang diawalkan sebulan. Kenapa kita perlu melenting?.


Kami tidak mahu terpalit dengan provokasi pihak pembangkang yang hanya mahu membangkang 24 jam hatta benda yang membawa kebaikan untuk rakyat. Maka itu, usahlah dijadikan alasan bahawa kami bersekongkol pula dengan Kerajaan Negeri Pahang untuk tujuan ini. Kami tetap dengan pendirian "mana yang baik untuk rakyat disokong, mana yang tidak baik dan menyusahkan rakyat ditentang".

Semua pihak perlu menunggu sehingga 31 Julai 2015 untuk melihat jalan penyelesaiannya. Jika masih ada aktiviti perlombongan bauksit dijalankan, ia bermakna ada pihak yang engkar dengan arahan MB itu. Kita tidak seharusnya melatah dalam hal ini. Apa yang penting ialah telah ada jalan penyelesaiannya selepas isu ini ditegur oleh Tengku Mahkota Pahang baru-baru ini.

Sempena bulan Ramadan Al-Mubarak ini, bersabar dan berlapang dada itu lebih afdal. Doakan semoga MB menunaikan segala janji-janji ini demi rakyat. "Rakyat Di Dahulukan". Salam Perjuangan.

MOHD SHUKRI MOHD RAMLI
Penyelaras NGO
Angkatan Pembela Rakyat
[ A N G K A R A ]

0 Komen Artikel Ini: