SELAMAT DATANG KE BLOG CUCUMATKILAU OFFICIAL | SEBARANG ADUAN DAN PERTANYAAN BOLEH PM 0 1 2 3 8 5 4 4 0 0 (CMK)

Lokman-Ezam: "Sejarah Yang Hilang", Dari Sebalik Tirai Perjuangan Blogger Cucumatkilau (2003-2004)


Pertama kali, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada sahabat Datuk Lokman Noor Adam dilantik sebagai Pengarah Komunikasi Strategik di Kementerian Kewangan berkuat kuasa 8 Disember 2016.  Saya tidak hairan dengan kedudukan Lokman sekarang, kerana beliau sememangnya sesuai untuk jawatan tersebut memandangkan dia telah melaksanakan tugasnya dengan baik untuk membantu kerajaan UMNO BN pimpinan Najib selama ini.  

Lokman dilantik sebagai Pengarah setelah melepaskan jawatannya sebagai Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang dijawatnya selama enam tahun enam bulan. Cuma saya terpanggil untuk pengkisahan semula sejarah dari sebelaik tirai perjuangan "Lokman-Ezam" yang pernah saya lalui bersama mereka sekitar tahun 2003-2004 dulu. 



Kehebatan Lokman memang sudah dapat dilihat sejak beliau kembali menyertai UMNO pada 2008. Beliau lebih kehadapan daripada lain-lain pemimpin Keadilan yang turut bersama parti itu seperti Ruslan Kassim, Zahid Md Arip, Zulkifli Nordin bahkan Ezam sendiri. Beliau banyak membantu gerakan akar umbi UMNO hingga berjaya menarik semula sokongan generasi muda terhadap parti tu. 

Maka tidak hairan bila Najib mengangkat Lokman ke jawatan baharunya di Kementerian Kewangan. Diketika kedudukan Lokman semakin selesa, situasi yang berbeza pula berlaku kepada Ezam. Ketika Ezam sertai UMNO dulu, saya melihat masa depan politik beliau pasti akan bersinar. Namun, sebaliknya pula yang berlaku. Mungkin kerana Ezam masuk UMNO pada zaman Pak Lah jadi PM, dan masa depan beliau semakin kelam selepas Najib mengambil alih tampuk pemerintahan negara. 



Beliau sebelum itu telah mengumumkan keluar dari UMNO dan menyertai Tun Dr Mahathir dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). 



Tindakan Ezam ini semenangnya sudah saya jangka sejak sekian lama. Ezam masih termakan badi "Sumpah Keramat" yang dilaun-laungkannya suatu ketika dulu. Maka, manusia seperti Ezam tidak sesuai berada di "kerusi empuk", beliau lebih sesuai turun padang dan kembali ke pentas ceramah politik. 




Ketika Ezam meninggalkan Keadilan dulu, saya juga antara orang yang banyak mempertahankan beliau. Banyak artikel yang saya tulis dan disiarkan dalam laman-laman reformasi. Bagai saya kelibat Ezam sudah sinonim dengan perjuangan rakyat. Maka, bila dia tinggalkan Keadilan ia merupakan malapetaka besar buat parti itu. Mungkin kerana hubungan rapat Ezam dengan Anwar itu sendiri. Dalam masa yang sama juga saya mencabar beliau menjawab "Sumpah Lokman" sebelum mencabar Anwar Ibrahim. Artikel itu saya tulis selepas Ezam tinggalkan Keadilan sebenarnya. 



Apa yang berlaku kepada Ezam amat "tragis" jika dibandingkan dengan Lokman Noor Adam. Sebagai sahabat yang sama-sama berjuang dalam Keadilan satu ketika dulu saya merasa terpanggil untuk membicarakan kisah belakang tabir kedua-dua individu ini. 

Tambahan pula, saya melalui saat-saat getir ketika bersama Ezam dan Lokman suatu ketika dulu. Cuma bezanya, saya tidak bersama Keadilan dan tidak sertai mana-mana parti atau agensi seperti kedua-dua pemimpin terbabit. Malah, saya hanyalah pejuang kerdil yang lebih banyak berada di belakang tabir politik negara selama ini. 



Saya masih ingat ketika perbalahan beliau dengan Lokman Noor Adam "sumpah Lokman" di Masjid Negara (foto) pada 19 Feb 2004 dulu? 
Dalam sumpahnya sambil junjung Quran Lokman mendakwa bahawa cerita Ezam ambil duit RM 1 Juta Estrada (Presiden Filipina), sumbangan Ketua Pemuda Terengganu sebanyak RM 300,000 adalah benar. Beliau sedia dilaknat Allah s.w.t. jika dakwaannya tidak benar. Lokman cabar Ezam untuk lafaz sumpah junjung Quran ditempat yang sama pada 21 Feb 2004 tepat jam 11.00 pagi untuk menafikan dakwaannya itu. Beliau bersumpah selepas dipecat dari menjadi ahli Keadilan atas tuduhan membuat tuduhan liar tanpa bukti, memujuk orang untuk masuk UMNO dan memburukkan nama Keadilan di media massa.
Lokman dipecat daripada Parti Keadilan Nasional (PKN) gara-gara pengaruh Ezam dalam Keadilan ketika itu. Ketika inilah hubungan rapat saya dengan Lokman bermula. Beliau telah menghubungi saya untuk mengadakan pertemuan di Kuantan. 



Kami telah berjumpa di Restoran Selera Zuzana, Indera Mahkota. Ketika itu Lokman sering ke Kuantan kerana mempunyai "saudara" di Kampung Tiram. Saya mendengar dengan teliti penjelasan demi penjelasan daripada Lokman Noor Adam, berkaitan dirinya yang telah dipecat daripada Keadilan tanpa pembelaan. Saya berjanji untuk membantu beliau.

Sebelum saya mengambil keputusan tersebut, saya telah bertemu dengan Ezam di sebuah restoran berhadapan Kem Batu 10, Jalan Gambang pada 9 Mac 2004. Ezam ketika itu baru habis ceramahnya di Chini, Pekan. Saya bersama Allahyarham Wan Jusoh Wan Kolok (Ketua Bahagian PKN Paya Besar) dan Ariffin Ismail (Setiausaha) mengambil masa hampir sejam untuk dapatkan penjelasan lanjut tentang pemecatan Lokman dan apa yang didedahkan. 

Saya mahu Ezam beri penjelasan adakah ia benar atau sekadar fitnah semata-mata. Namun Ezam gagal memberikan jawapan yang meyakinkan. Ketika itu nama saya naik sebagai calon PKN di DUN Lepar dan Wan Jusoh pula Parlimen Paya Besar. 
Wan Jusoh Wan Kolok meninggal dunia semasa mengerjakan umrah di Tanah Suci Mekah pada 11 Dismber 2016 baru-baru ini. Al-Fatihah, moga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang beriman dan beramal soleh
Kami bersimpati terhadap Lokman Nor Adam dan berpihak kepada beliau, hingga membawa kepada pembubaran Parti Keadilan Nasional (PKN) Bahagian Paya Besar. Semuanya angkara tindakan Ezam yang membawa usul kami berpihak kepada Lokman Noor Adam, lantara nama saya dan Wan Jusoh ditukarkan kepada Shaari Sungib bagi kerusi Parlimen Paya Besar.  Artikel berkenaan isu tersebut telah diviralkan pada 13 Mac 2004.


Kekuatan saya untuk membela Lokman Noor Adam ketika ini ialah kerana saya melihat perwatakan beliau lebih "mulia" dari Ezam. Lokman saya kenal sejak kami sama-sama belajar di Institut Teknologi Mara, Cawangan Perak (Bandar Seri Manjung, Sitiawan). Saya mengambil jurusan Perancangan Bandar dan beliau Sains Kesetiausahaan (SS10). 

Ketika saya menjadi Naib Presiden Jawatankuasa Perwakilan Pelajar ITM Perak, beliau masih baru dan hubungan kami tidak terlalu rapat ketika itu. Cuma saya melihat beliau adalah jenis "sembahyang bang" iaitu individu yang tidak tinggalkan solat walau dalam apa jua keadaan sekali pun, maka saya lebih percaya kepada kata-kata beliau daripada Ezam. Saya akhirnya membantu Lokman Noor Adam dengan menerbitkan artikel berikut. 


Selepas pembubaran Parti Keadilan Nasional (PKN) Paya Besar, kami (saya dan Lokman) telah "dikurantin" selama beberapa haridi Hotel Grand Continental Kuantan. Sepanjang tempoh tersebut kami telah dibawa mengadap Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Adnan Yaakob di kediaman beliau sebanyak enam kali. Turut mengadap ialah Wan Jusoh Wan Kolok dan Ariffin Ismail. 



Ketika itu bahang Pilihanraya Umum Ke-11 kian terasa, kerana parlimen bila-bila masa saja akan dibubarkan. Semangat untuk melawan semakin membara, tambahan pula Lokman, saya dan beberapa orang pimpinan Keadilan Paya Besar telah dituduh pengkhianat oleh parti sendiri. Lokman banyak mengajar saya erti perjuangan, walau pun dari segi usia saya lebih tua dari beliau. 

Dalam pertemuan dengan MB Pahang, Lokman menerangkan beberapa perkara dan dokumen penting termasuk video untuk diterbitkan bagi menolak sokongan rakyat terhadap Keadilan. Akibat kelewatan dan kesibukan tugas, MB Pahang lambat memberikan kerjasama terbaik kepada Lokman dan saya diarahkan membuat pertemuan pula dengan Timbalan Perdana Menteri (ketika itu), Dato' Sri Najib Tun Razak di Pekan.



Masa sudah  terlalu singkat ketika itu dan akhirnya saya berjaya mengatur pertemuan Lokman dengan Najib di Pekan. Pertemuan dengan Najib telah diuruskan oleh sahabat saya  iaitu Allahyarham Dato' Drs Abdul Manaf Abdullah, bekas ADUN Kuala Pahang. 
Allahyarham Abdul Manaf, 74, meninggal dunia di kediaman anaknya di Bandar Baru Bangi kira-kira 6.30 pagi 9 Ogos 2016 kerana sakit tua. Jenazah dikebumikan di Kampung Mengkasar, Pekan. Al-Fatihah, moga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang beriman dan beramal soleh
Pertemuan tidak rasmi antara Dato' Sri Najib dengan Lokman Nor Adam itu turut dihadiri oleh Allahyarham Wan Jusoh Wan Kolok (Ketua Bahagian) dan Ariffin Ismail (Setiausaha). Keadaan sangat genting ketika itu kerana Ezam dilaporkan akan menentang Najib di Parlimen Pekan. Pada pertemuan tersebut, Lokman telah berjaya meyakinkan Najib bahawa kami akan membantu beliau di Pekan. 

Saya turut berada di dalam bilik sulit ketika pertemuan. Najib mendengar dengan tenang apa yang Lokman sampaikan tentang Ezam. Hasilnya, Ezam gagal lawan Najib di Pekan ketika itu.

Sebelum beredar kami sempat disajikan dengan sarapan pagi "Nasi Lemak Zaman" selepas pertemuan tersebut. Turut bersama ialah isteri PM ketika itu, Datin Sri Rosmah Mansor. 



Pertemuan sekitar 45 minit itulah menjadi asas kejayaan Lokman Nor Adam pada hari ini. Saya masih ingat Najib ada memberi kata dua supaya kami sama-sama bertemu beliau di Putrajaya selepas pilihanraya umum ke-11. Lokman bernasib baik kerana laluan politiknya kembali bersinar selepas tenggelam gara-gara dipecat oleh Keadilan. 

Saya juga sempat membawa Lokman keliling bandar Pekan bersama ADC Musa Safri (Polis Pengiring Najib) di dalam kenderaan yang saya pandu sendiri. Saya mendengar apa saja perbualan mereka namun tidak menyampuk bagi menghormati Lokman.

Saya sempat bertemu Lokman di Shah Alam selepas pertemuan dengan Najib itu. Pertemuan diatur dalam usaha untuk berjumpa dengan Najib di Putrajaya. Selepas itu hubungan saya dengan Lokman terus terpisah, hinggalah pada tahun 2008 iaitu ketika kempen Pilihanraya Kecil Permatang Pauh. Saya terkejut melihat Lokman duduk sepentas dengan Ezam. Ketika itu calon Keadilan ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri, selepas isterinya Datuk Seri Wan Azizah Ismail melepaskan jawatan Ahli Parlimen.



Ezam berceramah sepentas dengan Lokman, sambil saya hanya melihat dari jauh. Saya juga dengar Ezam sertai UMNO, dilantik jadi Senator dan kemudian menjadi Pengarah Strategi Komunikasi Kementerian Kewangan. Begitu juga Lokman Noor Adam, saya melihat beliau kembali kepada UMNO. 

Asalnya dia sendiri tidak pernah meluahkan hasrat untuk kembali kepada UMNO. Jika ada pun dia mengajak saya  masuk UMNO di Johor Bahru, kerana Ketua Bahagian Datuk Shahrir Samad sendiri pun pernah khianat kepada UMNO dengan menyertai Semangat 46 dulu. Maka tiada isu jika masuk UMNO di sana. Namun, saya tidak bersama Lokman dan dengar dia cemerlang dalam UMNO sekarang. 

Saya hanya tumpang berbangga. Nukilan ini bukanlah untuk mengungkit, tapi sekadar mengingatkan sahabat bahawa ada orang lain yang turut membantu menaikkan semula karier politik beliau. Jika tidak kerana  "sejarah" ini, pasti nama Lokman Noor Adam pasti akan hilang dari lipatan kenangan selepas dipecat dari Keadilan pada 2004.



Atas alasan saya kononya  setia dengan perjuangan Keadilan maka pada 2007, saya kembali sertai parti itu dan terpiluh pula menjadi calon Pilihanraya Umum Ke-12  (2008) bagi kerusi DUN Kemayan, Parlimen Bera. 

Kemasukan saya semula ke dalam PKR atas sokongan Fuziah Salleh, Ketua Keadilan Kuantan. Ramai pimpinan Bahagian Kuantan tidak setuju dengan kemasukan semula saya ke dalam Keadilan, mungkin kerana saya pernah khianat dan meninggalkan parti pada 2004. Pada PRU12 itu, saya tewas di kerusi DUN Kemayan dan kemudian bergerak sebagai Ketua Penerangan AMK Keadilan Negeri Pahang hingga bulan Ogos 2008.



Dan ketika ini Ezam Mohamad Nor dan Datuk Lokman Noor Adam berada di puncak, saya pula terus dipinggirkan dari arus perjuangan. Apapun saya masih meneruskan perjuangan rakyat dengan platform sendiri iaitu bersama NGO, Angkatan Pembela Rakyat (Angkara).

Saya tidak menolak kemungkinan untuk bersama parti politik semula pada masa akan datang, tapi apa yang saya mahu perkatakan ialah, beginilah "resam politik", hari ini mereka kawan dan esok jadi lawan kemudian jadi kawan balik. Saya membela Lokman sebab  lawan Ezam, akhirnya mereka bersama dan kini menjadi musuh politik semula. Sedangkan saya terus begini dan begini dari sebalik tabir perjuangan. Salam perjuangan leluhur buat sahabat semua.

BLOGGER CUCUMATKILAU
www.cucumatkilau.blogspot.my

0 Komen Artikel Ini: