Tuesday, January 17, 2017

"Pondok An-Nur" Terbakar Malam Tadi, 113 Pelajar Tinggal Sehelai Sepinggang




KUANTAN: Seramai 113 orang pelajar Pusat Pendidikan Islam An-Nur (Pondok An-Nur) di Penor dekat sini  tinggal sehelai sepinggang apabila asrama lelaki pondok terbabit hangus dijilat api dalam satu kebakaran malam tadi. 



Kejadian mula disedari sekitar jam 8.10 malam itu telah menyebabkan  Dipercayai, ketika kejadian semua pelajar sedang mengikuti kuliah di surau pusat berkenaan sementara menunggu solat Isyak. Kerugian dianggarkan mencecah kira-kira RM400,000.



Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang memaklumkan mereka  mendapat panggilan berhubung kejadian itu jam 8.20 malam. Empat jentera dengan kekuatan 24 anggota telah dikerahkan ke tempat kejadian dan sebaik tiba kita mendapati api sudah marak dan memusnahkan hampir keseluruhan bangunan asrama itu. 



Pusat Pendidikan Islam An-Nuur lebih dikenali dengan nama Pondok An-Nur berdiri megah di atas tanah seluas 4.5 ekar di Kampung Penor sejak tahun 1994.. Pondok ini diasaskan oleh Ustaz Mokhtar Senik yang juga merupakan Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Pahang. Pengambilan pelajar serta pengajian sulung pada di pondok ini bermula pada tahun 1996.


Aliran pengajian yang disediakan di Pusat Pendidikan Islam An-Nuur ialah pengajian pondok tradisional sehingga 4 Senawi atau 6 Tahun. Juga menyediakan Aliran Tahfiz (30 juzuk), Aliran Akademik (PMR dan SPM), Aliran Prasekolah (An-Nuur Islamic PreSchool – ANIS) dan Kolej Islam An-Nuur (KIAN) yang dalam pembangunan.



Sementara itu, anakanda kepada Pemangku Raja Pahang, YM Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah Ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah telah hadir ke lokasi sekitar jam 10.30 malam.  


Sebaik sahaja tiba baginda telah dipersembahkan taklimat ringkas oleh mudir sekolah, kemudiannya dibawa menyaksikan bangunan asrama yang hangus terbakar itu.



Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengagihkan kain pelikat, alas tidor, bantal, selimut dan tuala kepada pelajar-pelajar berkenaan.  Turut hadir ke lokasi malam tadi ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani, Dato’ Shafik Fauzan Sharif, Pegawai Daerah Kuantan, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Ketua Polis Kuantan.



Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan bagi mengurangkan bebanan mangsa terbabit boleh salurkannya ke akaun Bank Islam (0601 9010 0218 680) dan Maybank (5560 1101 8085) atas nama Pondok An-Nur.

Info lanjut dan sebarang pertanyaan boleh hubungi  Ustaz Mokhtar Senik (0199532456), Mohd Zaki Mohd Zulkafali (0132743889) atau bendahari, Cikgu Ramdi (0199663629). Sumbangan orang ramai boleh meringankan bebanan mangsa dan pihak sekolah untuk membaik pulih semula kerosakan yang berlaku. #sumber

0 Komen Artikel Ini: