Tuesday, January 17, 2017

Isu Langgar Lembu, NGO Bongkar Banyak Lokasi Pagar Bocor Di LPT !


KUANTAN: Susulan kekerapan binatang masuk ke kawasan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) hingga terus mengancam keselamatan pengguna jalanraya, maka NGO Angkatan Pembela Rakyat (Angkara) telah melakukan edisi terjah pada 10 Januari lalu.

Mengejutkan, bila terdapat masalah kealpaan dan kecuaian yang telah dikenalpasti hingga menyebabkan binatang seperti harimau, babi, kerbau dan lembu berkeliaran di kawasan lebuhraya.

Penyelaras NGO Angkara, Mohd Shukri Mohd Ramli, 45, dalam satu kenyataan di blog www.angkaraterjah.blogspot.my berkata isu pagar-pagar yang tidak selamat dan mengancam nyawa pengguna leburaya bukanlah mainan semata, malah terdapat bukti-bukti kukuh tentang kegagalan pihak konsesi lebuhraya menjalankan tanggungjawab sosial mereka untuk memperbetulkan keadaan, biar pun mereka tahu banyak nyawa melayang akibat kemalangan langgar lembu sejak beberapa tahun lalu.

"Kami telah menerjah ke beberapa lokasi termasuk di KM339.2 Lebuhraya Pantai Timur (LPT2) laluan Paka ke Kuala Terengganu dan melihat sendiri situasi sebenar yang berlaku. Memang jelas pagar-pagar rosak dan berlubang akibat dibolosi binatang kini sudah tidak selamat lagi untuk digunakan", katanya.

"Antara faktor utama ialah kualiti pagar yang sudah tidak sesuai, pokok-pokok renek menutupi pagar hingga menjadi tempat lembu mencari makanan malah simen konkrit juga tidak digunakan antara pagar dengan tanah, agar kedudukan pagar jadi kukuh dan sukar ditembusi oleh mana-mana binatang".

"Malah saya melihat sendiri ada pintu pagar yang tidak ditutup hingga menjadi laluan keluar masuk binatang. Paling menyediahkan ada lokasi terdapat kandang lembu betul-betul berada di tepi lebuhraya laluan Paka-Kuala Dungun. Sebab tulah banyak lembu masuk ke kawasan lebuhraya dengan sewenang-wenangnya", dakwa Shukri.

Beliau turut menyaksiakan sendiri truck LPT2 mengejar lembu-lembu yang memasuki lebuhraya. "Kadang jadi lucu pula, petugas LPT2 terpaksa kejar lembu, mujur hari siang.. kalau malam macam mana.. Paling haru bila lembu lompat ke laluan sebelah, sedangkan truck LPT2 berada dilaluan sebelah lagi.. ini boleh membahayakan nyawa orang awam", kata beliau lagi.  

"Pengguna membayar tol untuk mendapatkan perkhidmatan yang selamat dan selesa, tiba-tiba nyawa mereka diancam dengan kehadiran anasir subversif seperti ini (binatang). Apakah kita mahu melihat ada lagi mangsa seterusnya yang mengalami kemalangan akibat terlanggar lembu dan binatang lain?."


"Memang benar pihak LPT meletakkan papan tanda awas lembu yang tertulis hati-hati memandu untuk makluman kepada pengguna lebuhraya, namun itu bukanlah jalan penyelesaian terbaik kerana ia langsung tidak efektif pada masa ini. Pihak konsesi wajar mengeluarkan kos untuk membina pagar baharu yang lebih kukuh dan berkualiti demi keselamatan pengguna".


"Jangan sayang duit, kutip tol dan untung juta-juta... buat penambahbaikan demi nyawa orang awam.. itulah tindakan yang wajib dilakukan oleh konsesi lebuhraya.. bukan sahaja di Lebuhraya Pantai Timur (LPT), malahan lebuhraya lain di seluruh negara... Itu baru betul.. kos pasang papantanda gambar lembu murah dan tak berbaloi...sedangkan lembu dan binatang lain terus memasuki kawasan lebuhraya dengan sewenangnya", tambah beliau. 

Justeru, Shukri menggesa kerajaan bertindak tegas dalam hal ini dengan mengarahkan pihak konsesi lebuhraya lebih bertanggungjawab. 

"Sudahlah lebuhraya selalu rosak dan diperbaiki, kini masalah lain pula timbul...wajarkan pengguna berhadapan dengan situasi sebegini?.. Lebih baik tak perlu ada lebuhraya... dah tentu lembu berkeliaran di merata tempat jika ikut jalan negeri.. Ini tidak, pengguna bayar tol.. dahlah bila jalan rosak tol tak kurang.. harga sama.. Sepatutnya fikirkanlah langkah keselamatan untuk pengguna semua.. jangan fikirkan keuntungan semata-mata", jelas Shukri lagi. #sumber

0 Komen Artikel Ini: