Monday, February 6, 2017

Ikhtibar Kes Lemas Di Tapak Bekas Lombong Bauksit, Semua Pihak Kena Cakna Demi Rakyat !


Insiden tiga kanak-kanak lemas di tapak bekas lombong bauksit dekat Sungai Karang baru-baru ini tidak sepatutnya berlaku, jika Standard Operating Procedurs (SOP) dipatuhi oleh para pelombong. Namun, dek kerana penguatkuasaan yang agak lemah, akhirnya "tokey" dan "orang tengah" kaut untung, rakyat terpaksa meratapi kematian mereka yang tidak berdosa.

Soal SOP inilah yang menjadi penyebab kepada kejadian yang tidak diingini itu. Apa tidaknya, mana mungkin lombong boleh dilakukan berdekatan dengan jarak sekitar 50 hingga 100 meter dari kawasan penempatan penduduk?. Di sini saja sudah membuktikan, nyawa rakyat diperjudikan untuk keuntungan pihak-pihak tertentu.

Soalnya, semua pihak menuding jari apabila dipersalahkan. Masing-masing mahu lepas tangan dan tidak sanggup dipertanggungjawabkan. Sudahlah hasil dikaut, kawasan bekas lombong dibiarkan tanpa sebarang tindakan. 


Tiada papantanda, tiada pagar dan lebih tragis lagi kesan-kesan lubang itu tidak dikambus oleh pihak terbabit. Inilah yang menjadi punca tragedi lemas itu sebenarnya. Apapun kejadian sudah berlaku dan kini faktor "takdir" sudah pasti bermain di mulut-mulut pihak terbabit.

Apa yang jelas, ikhtibar di sebalik kejadian ini pula ialah sikap cakna dan prihatin penduduk setempat terhadap benda-benda berbahaya seperti ini juga wajar diberi perhatian. Sepatutnya jawatankuasa penduduk, sudah mengambil tindakan lebih awal termasuk menutup laluan ke lokasi tapak ini selepas ia sudah tidak digunakan lagi.


Tindakan membiarkan bekas tapak lombong itu terbuka, dan menyebabkan air bertakung selepas musim tengkujuh baru-baru ini juga harus diberi perhatian, Jika penduduk peka dan cakna, perkara ini mungkin boleh dielakkan. Penduduk boleh bergotong royong membina pagar tanpa mengharapakan pihak pelombong yang hilang entah ke mana selepas mengaut keuntungan. 

Selepas berlaku, baru nak kambus dan buat tindakan. Ia mungkin sudah terlambat. Jika isu ini dlaporkan kepada kami sudah pasti ia "diterjah" lebih awal. Saya sendiri melihat kolam-kolam ini memang merbahaya. Persoalannya, kenapa selama ini ia tidak didedahkan agar ada pihak yang bertanggungjawab mengambil tindakan.

Sikap alpa inilah yang menyebabkan insan yang  tidak berdosa menjadi mangsa. Bukan isu-isu sebegini sahaja, malah hal-hal lain pun. Ramai dikalangan kita yang anggap tidak apa-apa, sikap acuh tak acuh terhadap banyak isu. Akhirnya mengundang kemudaratan kepada semua.

Tindakan saman yang mahu dikemukankan oleh "Datuk" kepada mangsa memang wajar. Namun apakah ia berbaloi?. Saya pernah membela isu mangsa kemalangan maut Go-Kart di Indera Mahkota sebelum ini. Kes akhirnya tidak boleh ke mana kerana melibatkan pihak-pihak yang berkuasa di dalam. Kini masih dalam perhatian untuk tindakan.


Dalam kes lemas ini, mungkin ia agak sukar kerana sudah pasti tidak ada pihak yang mahu bertanggung jawab atas apa yang berlaku. Kecuaian menyebabkan malapetaka kepada orang lain. Justeru, beringatlah, jika ada isu-isu rakyat di tempat anda segeralah maklumkan kepada pihak yang berkenaan atau pun kepada kami. 

Mungkin bila "diterjah" ia dapat mengubah keadaan. Kerana kami "Cakna Demi Rakyat". Skuad Angkara Terjah mengucapkan salam takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian lemas di tapak lombong bauksit baru-baru ini. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan di tempatkan kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh. Amin

MOHD SHUKRI B MOHD
RAMLI @ JAMALUDDIN
Penyelaras NGO
Angkatan Pembela Rakyat
( A N G K A R A )

0 Komen Artikel Ini: