SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI, MAAF ZAHIR BATIN DARI CMK SEISI KELUARGA | SEBARANG ADUAN DAN PERTANYAAN BOLEH PM 0 1 2 - 3 8 5 4 4 0 0 (CMK)

Saya Tidak Terlibat PRU14 Kali Ini, Tapi Tetap Menyokong Perjuangan Sahabat Semua


Kempen pilihanraya umum ke-14 sudah pun berlangsung. Ramai yang hubungi saya dan bertanya kenapa saya tak sertai PRU kali ini. Mereka terkejut melihat nama saya tidak ada di mana-mana kerusi DUN di negeri Pahang.

Walhal, saya pernah beberapa kali menyertai pilihanraya sebelum ini sama ada bertanding atas tiket parti mahu pun bebas. Secara jujurnya, saya memang berhasrat untuk sertai PRU14 ini. Malah, jika dibenarkan saya berhasrat untuk bertanding di Parlimen Kuantan, DUN Semambu, Teruntum, Chenor dan Pulau Tawar. 

Namun, selepas memikirkan situasi politik semasa yang tidak memungkinkan calon bebas untuk menang maka saya lupakan hasrat tersebut. Tambahan pula ada beberapa masalah teknikal yang perlu saya selesaikan terlebih dahulu sebelum berbuat demikian sebenarnya.

Biar pun urusan itu sudah selesai, namun ia belum tentu membolehkan saya menyertai PRU kali ini. Saya takut ada masalah teknikal yang menyebabkan pencalonan saya ditolak nanti.

Lihat senario yang berlaku, ramai calon-calon daripada Pakatan Harapan (PH) yang tidak layak gara-gara masalah teknikal yang berlaku. 

Ini semua harus difikirkan sebelum membuat sesuatu keputusan. Risiko lebih besar bila deposit sudah dibayar tetapi akhirnya calon didapati tidak layak.



Jika diberi peluang sekali pun, saya tidak nampak kewajaran untuk sertai PRU14 dalam keadaan berlaku pertembuangan empat penjuru di sana sini. Mana mungkin saya jadi orang keempat untuk bertarung di ketika situasi politik tidak menentu sekarang.



Sokongan rakan-rakan memang ada, namun semua itu tidak menjanjikan kekuatan di atas padang. Ramai rakan-rakan yang hanya berani menyokong, tapi tidak berani membantu atau menonjolkan diri. 


Ramai yang takut dituduh pengkhianat oleh parti masing-masing jika membantu calon bebas. Inilah senario yang menyebabkan, saya mungkin tidak lagi bertanding bebas dalam mana-mana pilihanraya umum selepas ini.


Biar pun saya tidak bertanding, namun saya telah hadir di dua lokasi pusat pencalonan baru-baru ini iaitu di Pejabat MPK, Jalan Kemunting (Parlimen Kuantan) dan Wisma Belia Indera Mahkota (Parlimen Indera Mahkota).



Saya menyantuni ramai sahabat tidak kira dari parti mana sekali pun. Saya bertemu dengan mereka dan beri sokongan agar "Eratkan Perpaduan, Rapatkan Sillaturrahim". Malah saya juga menyuruh mereka "Suburkan Demokrasi, Elakkan Provokasi". 


Secara amnya, sahabat-sahabat dari PAS, BN dan PH melayan saya seperti biasa. Cuma ada seorang dua yang tidak suka saya hadir ke lokasi di Wisma Belia Indera Mahkota, namun majoritinya menganggap saya bersikap neutral dan tidak terikat dengan mana-mana parti.



Justeru, saya doakan semoga sahabat teruskan perjuangan dan jaga adab serta tata susila demi  memastikan parti masing-masing menang. Buat diri saya, biarlah saya terus berjuang di atas platform NGO Angkatan Pembela Rakyat (Angkara) yang telah saya asaskan sejak beberapa tahun lalu.



Mungkin tiba saatnya kelak, saya akan kembali ke landasan politik. Masa masih terlalu jauh untuk teruskan perjuangan. Salam perjuangan buat semua. Terima kasih . #CMK

0 Komen Artikel Ini: