SELAMAT DATANG KE BLOG CUCUMATKILAU OFFICIAL | SEBARANG ADUAN DAN PERTANYAAN BOLEH PM 0 1 2 3 8 5 4 4 0 0 (CMK)

Demi Islam Dan Melayu, PAS UMNO Perlulah Berani Nyatakan Pendirian Bentuk Satu Gabungan Politik Pembangkang Baharu !


Demi perjuangan Melayu dan Islam di negara ini, PAS dan UMNO perlu berani nyatakan pendirian bahawa mereka "bersatu" dalam wadah perjuangan baharu bukan sekadar suara pembangkang menjelang pilihanraya kecil semata-mata.

Hari ini rakyat terutamanya orang Melayu Islam semakin keliru dengan perjuangan pembangkang terutamanya PAS.

Saya rasa, jika sebelum PRU14 PAS dan UMNO bergabung melawan satu sama satu dengan Pakatan Harapan, mungkin kuasa di Putrajaya masih belum bertukar tangan. Tapi PAS dan UMNO sama-sama meletakkan calon di kerusi yang sepatutnya mereka menang (jika satu lawan satu).

Pendirian PAS untuk menjadi "King Maker" semasa PRU14 lalu perlu diubah kerana ia mengelirukan ahli dan pengundi mereka sendiri hingga mereka akhirnya terpaksa mengundi PH yang dilihat lebih terkehadapan dalam berbagai isu terutama 1MDB, GST dan sebagainya.

Bukti jelas bila pucuk pimpinan PAS mencadangkan ahlinya pangkah calon BN pada PRK Sungai Kandis baru-baru ini, ramai yang memboikot dan tidak mahu keluar mengundi. Walau pun ia dinafikan, namun itulah kenyataan pahit yang harus ditelan. Akibtanya BN sepatutnya berupaya menang telah tewas kerana peratusan keluar mengundi merudum.

Tiba masanya PAS dan BN insytiharkan mereka kini bergabung dalam satu wadah perjuangan baru yang memartabatkan bangsa dan agama dengan lebih jelas. Buktikan pada dua PRK (Seri Setia dan Balakong) yang akan menjelma tidak lama lagi.

Nyatakan pendirian dengan jelas dan tak perlu lagi berkias-kias. Bersatu atas nama Islam dan Melayu yang pasti akan mengukuhkan lagi hala tuju pakatan pembangkang itu sebenarnya.

Jika hanya mahu bergabung setiap kali PRK, ia akan menyebabkan undi prostes berlaku dan ia amat merugikan. Tidak salah untuk PAS dan UMNO memeterai perjanjian persefahaman yang baru dalam politik demi masa depan agama dan bangsa di negara ini. Kekeliruan menyebabkan ahli semakin tertekan dan akhirnya mengambil jalan pintas untuk tidak keluar mengundi.

Saya mencadangkan PAS dan BN membentuk gabungan baru dalam politik pembangkang dengan menggunakan nama "Gagasan Nasional" iaitu gabungan "Gagasan Sejahtera" dan "Barisan Nasional". 

Saya fikir ia lebih baik dari membiarkan ahli akar umbi terus terkapai-kapai dan tertanya-tanya setiap hari apakah status hubungan PAS dan UMNO itu sendiri. Tidak perlu lagi merisik dan bertunang, lebih elok nikah terus agak ia menjadi sah dan lebih mudah untuk mengatur strategi politik di masa hadapan.

MOHD SHUKRI B MOHD
RAMLI @ JAMALUDDIN

(Blogger Cucumatkilau)

0 Komen Artikel Ini: