SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI, MAAF ZAHIR BATIN DARI CMK SEISI KELUARGA | SEBARANG ADUAN DAN PERTANYAAN BOLEH PM 0 1 2 - 3 8 5 4 4 0 0 (CMK)

Cabar Azmin, Apakah Rafizi Juga Bakal Terima Nasib Yang Sama Macam Tan Sri Khalid Dan Zaid Ibrahim ?


Sebagai orang yang pernah bersama satu ketika dulu, saya terpanggil untuk memberi sedikit komen tentang pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2018. Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menang tanpa bertanding untuk kerusi Presiden baru-baru ini.

Namun, fokus utama kali ini ialah bagi jawatan Timbalan Presiden antara Azmin Ali dan Rafizi Ramli. Kedua-dua nama ini sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi, tambahan pula mereka adalah jagoan PKR yang amat digeruni musuh ketika bergelar pembangkang sebelum ini. 

Walau pun awalnya, saya menjangkakan Azmin akan lawan Anwar untuk jawatan Presiden namun segalanya meleset. Bahkan ramai pihak yang melihat kejutan itu akan berlaku kerana Azmin akan mendapat malu besar jika tewas kepada Rafizi bagi jawatan Timbalan Presiden. 

Beliau adalah menteri kabinet Pakatan Harapan, sedangkan Rafizi tiada apa-apa jawatan dalam kerajaan. Rafizi hanya Naib Presiden yang bergerak dengan INVOKE sejak beberapa tahun lalu. Jika Azmin kalah sudah pasti namanya akan merudum dan harapan untuk naik semula sukar kerana Rafizi dibayangi Anwar sejak sekian lama.


Tindakan Rafizi membentuk gabungan "Reformasi 20 Tahun" untuk pemilihan kali ini dilihat sebagai tindakan jelas bahawa ia mungkin mendapat mandat daripada pihak atasan. Siapa lagi kalau bukan Anwar, walau pun ia pasti cuba dinafikan.

Malah, berkali-kali pimpinan tertinggi PKR menafikan wujud kem dalam pemilihan parti kali ini. Sedangkan, hakikanya ia sudah awal-awal berlaku baik dipihak Azmin atau pun Rafizi. Hingga ada pihak menggangap pertembungan mereka adalah antara "INVOKE" lawan "KARTEL". 

Walau pun Rafizi nampak hebat, namun beliau harus ingat dua pemimpin PKR yang cuba melawan Azmin untuk jawatan Timbalan Presiden sebelum ini telah menerima akibatnya. Sama ada dijatuhkan secara terhormat atau terpaksa tinggalkan PKR secara terhormat.

Inilah yang berlaku kepada Tan Sri Khalid Ibrahim dan Datuk Zaid Ibrahim. Mereka akur dan terpaksa membawa diri dari parti itu selepas gagal mengekang pengaruh Azmin Ali. Biar pun penyokong mereka punyai bukti berlaku berbagai penyelewengan ketika proses pengiraan undi. Semua itu gagal dibuktikan dan akhirnya Azmin tetap berjaya mengekalkan kedudukan.


Kini, apakah Rafizi bakal menjadi mangsa seterusnya?. Umum mengetahui kini Rafizi bukan lagi wakil rakyat dan beliau hanyalah pemimpin parti yang sedang menenanti "rebah". Jika Anwar tidak membantu, sudah pasti dia juga akan karam pada kali ini.

Sesiapa saja yang cuba lawan Azmin pasti akan menerima akibatnya. Walau pun isitilah "kiambang bertaut kembali" selepas pemilihan. Namun, ketika pemilihan calon PRU ia akan menimbulkan kesan dan inilah yang berlaku kepada ramai pemimpin PKT terdahulu sebenarnya.

Mereka terpaksa meninggalkan parti sedangkan mereka adalah pejuang asal yang berjuang bermati-matian untuk parti suatu ketika dulu. Kini nama mereka terus pudar dalam lipatan sejarah perjuangan. 

Apakah Rafizi akan menjadi pemimpin seterusnya. Kekuatan Azmin sukar digugat  dalam PKR. Justeru, tindakan Rafizi menentang Azmin jika tanpa mandat dari sesiapa, pasti mengundang musibah. Malah, Azmin kini dilihat orang kepercayaan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam perjuangan politik sebenarnya. 

Apa pun, sama-sama kita nantikan pertembungan hebat kedua-dua pemimpin ini. Suburkan demokrasi tingkatkan kualiti.

MOHD SHUKRI B MOHD
RAMLI @ JAMALUDDIN
(Blogger Cucumatkilau)

0 Komen Artikel Ini: