Sebelum ini kami pernah membongkarkan isu-isu tentang Felda, termasuk beberapa penyelewengan kuasa yang dilakukan oleh pihak atasan badan itu. Pendedahan kami telah menarik perhatian ramai warga Felda termasuk juga pihak pengurusan di tanah rancangan itu sendiri. Banyak pihak yang amat bersetuju dan berpuas hati atas segala pembongkaran yang dibuat itu, malah tidak kurang juga yang mahu supaya satu memorandum khas dibuat bagi mendesak satu siasatan terperinci dilakukan terhadap mereka yang terbabit itu. Kami hanya mendedahkan dan segala tindakan susulan haruslah dilakukan oleh pihak berkenaan sendiri, sama ada mahu membuat laporan polis atau mendesak pihak atasan mengambil tindakan yang sewajarnya. Sebenarnya banyak lagi masalah Felda yang wajar diberi keutamaan dan harus didedahkan untuk makluman rakyat jelata. Sebelum ini Persatuan Anak-Anak Felda (ANAK) telah berjaya membongkarkan banyak penyelewengan yang berlaku dalam pengurusan Felda itu sendiri. Biarpun ia dinafikan oleh sebahagian daripanya, namun hakikatnya adalah tetap sama. Felda kini lebih banyak menindas masyarakat peneroka daripada mahu menolong mereka. Bukti jelas dapat dilihat apabila kewujudan Felda Plantations telah menyebabkan ramai peneroka kini terpaksa menjadi "buruh upahan", sama standard dengan buruh Indonesia dan Bangladesh yang ditempatkan dilokasi terbabit.
Matlamat Felda tersasar, diawal penubuhannya Perdana Menteri Allahyarham Tun Razak dulu berhasrat untuk membantu rakyat terutamanya orang-orang Melayu mempunyai tanah sendiri untuk diusahakan. Lantaran itulah diperuntukan tanah seluas 10 ekar kepada setiap peneroka. Namun Felda Plantations telah menggagalkan usaha itu bila tiada lagi tanah-tanah rancangan yang dibuka seperti konsep asalnya dulu. Kini mereka mula terasa rugi untuk memberi geran hakmilik kepada para peneroka terbabit. Akhirnya jadilah peneroka itu seperti "buruh ladang" yang membanting tulang empat kerat siang dan malam "kais pagi makan pagi, kais petang makan petang". Namun selepas 30 tahun di situ, segala tanah, rumah dan ladang yang mereka usaha tetap tidak menjadi hak milik mereka dan jauh sekali berbeza dengan konsep Felda yang asal dulu. Banyak kes-kes penganiayaan berlaku dikalangan peneroka terbabit termasuk pengurusan Felda yang berkerja ditanah-tanah rancangan itu sendiri selama ini. Tekanan demi tekanan yang berlaku ini menyebabkan pegawai Felda terbabit juga kecewa dan mahukan pembelaan. Apalah gunanya mereka bekerja dengan gaji yang tidak setimpal lagi berbanding kerja yang terpaksa dilakukan. Mereka menghadapi berbagai tekanan demi tekanan yang pastinya amat menyiksa diri, namun dek kerana faktor ekonomi mereka terpaksa jua mengharungi segala cabaran dan rintangan yang mendatang. Inilah hakikatnya yang berlaku sejak sekian lama. Felda hanya banyak membela pihak-pihak atasan yang berkepentingan. Perlantikan Dato' Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri baru-baru ini diharap dapat memberi harapan baru kepada sebahagian besar masyarakat Felda.
Namun, apakah segalanya akan berubah? Atau ceritanya tetap sama?. Felda telah banyak membazirkan wang untuk kepentingan pihak atasan yang tidak bertanggungjawab. Melaksanakan berbagai agenda untuk kepentingan peribadi masing-masing tanpa mengambil kira kudrat orang bawahan terutamanya para peneroka itu sendiri. Banyak tindakan yang dibuat kini dilihat lebih kepada "kepentingan diri sendiri" tanpa mahu memikirkan masalah orang lain. Jika selam ini para peneroka itu sendiri menjadi mangsa, kini kami difahamkan warga kerja atau pihak pengurusan Felda pula yang ditekan secara bertubi-tubi supaya mengikut kehendak dan kepuasan pihak atasan yang berkepentingan. Terbaru, para pekerja dan pegawai Felda di seluruh negara diarahkan menandatangani satu surat persetujuan untuk pemotongan gaji bagi membeli polisi insuran dengan sebuah agensi Insurans. Tindakan ini dipercayai dilakukan oleh pegawai atasan yang berkepentingan tanpa merujuk kepada lembaga pengurusan Felda Holdings tu sendiri. Langkah ini dipercayai didalangi oleh pihak atasan yang mahu mengaut keuntungan hasil daripada penjualan polisi insurans terbabit. Mereka memaksa kakitangan Felda menandatangani arahan persetujuan itu, tanpa kebenaran yang sah daripada Felda sendiri. Potongan sebanyak RM20 akan dilakukan kepada semua kakitangan Felda kononnnya bagi mendapatkan kemudahan polisi insurans kelompok yang dimaksudkan. Ini bermakna setahun sebanyak RM240 setahun akan dipotong dari gaji kakitangan Felda. Biarpun jumlahnya tidak sebesar mana, namun ramai yang sudah mempunyai komitmen masing-masing. Ini amatlah tidak adil sebenarnya. Ramai kakitangan Felda yang merungut dan tidak bersetuju dengan senario ini. Mereka mengganggap tindakan tersebut adalah bermotifkan peribadi, kerana tiada pekeliling khas yang telah dikeluarkan oleh pihak Felda untuk tujuan tersebut. Langkah ini mungkin diambil oleh individu tertentu yang kemungkinan besar menjual polisi bagi pihak kroni-kroninya. Bayangkan jika dipaksa lebih 100 ribu kakitangan Felda berbuat demikian, bukankah individu terbabit akan mendapat keuntungan yang lumayan hasil insentif yang ditawarkan oleh syarikat insurans itu.
[Mendesak untuk memotong gaji bagi membeli insuran itu adalah sesuatu yang tidak wajar berlaku. Tambahan pula, ramai dikalangan kakitangan Felda itu sendiri kini sudah mempunyai dua tiga polisi insurans masing-masing yang terpaksa dibayar setiap bulan. Maka itulah perkara ini perlu disiasat oleh pihak atasan sendiri, siapakah dalang yang terlibat dengan isu ini. Kemungkinan besar ia membabitkan pihak pengurusan atasan kerana arahan itu dikeluarkan tanpa surat pekeliling yang sah untuk mereka berbuat demikian. Ramai kakitangan Felda yang tidak mahu menandatangani surat kebenaran memotong gaji tersebut, memandang mereka suami isteri sudah mempunyai polisi insuran masing-masing. Inilah bukit penyalahgunaan kuasa untuk kepentingan peribadi yang kini banyak berlaku dalam Felda. Justeru itu adalah diharapkan perkara ini dapat di siasat, sebelum lebih banyak isu akan didedahkan].
0 Komen Artikel Ini:
Catat Ulasan