SELAMAT DATANG KE BLOG PERIBADI BLOGGER CUCUMATKILAU (CMK)

Program Ceramah Perdana Anwar Mendapat Sambutan Luar Biasa Biarpun Hujan Turun

Cucu sempat hadir dalam ceramah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di pejabat baru Parti Keadilan Rakyat Negeri Pahang baru-baru ini (18 April). Ternyata sambutan rakyat yang melapangkan masa untuk mendengar ceramah perdana Anwar pada malam itu sungguh mengejutkan. Biarpun hujan turun agak lebat sekitar setengah jam ketika ADUN Teras dari DAP, Chong Siew Onn menyampaikan ucapan namun orang ramai tidak berganjak malah terus hadir tanpa ada sebarang masalah. Pengacara pada malam itu ialah Ketua Penerangan PKR Pahang iaitu Tuan Hj.Abbas Awang yang juga merupakan Ketua Bahagian Bera. Dalam ucapan awalnya, beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada orang ramai yang tidak berganjak biarpun hujan turun dengan lebatnya. Malah katanya, hujan itu adalah hujan rahmat bagi merestui suara rakyat yang sudah lama inginkan perubahan. Dalam ceramahnya, YB Chong banyak memperkatakan tentang semangat kerjasama dan perpaduan yang erat dan sedia terjalin dalam Pakatan Rakyat akan terus dipertahankan oleh Parti DAP. Turut berucap selepas itu ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota iaitu YB Azan Ismail. Beliau lebih banyak menyentuh persoalan tentang akauntabiliti dan ketelusan dalam pemerintahan yang baginya agak kritikal pada masa ini. Sambil menyebut beberapa kes yang jelas merupakan penyelewengan dan korupsi, beliau juga mengucapkan terima kasih dan syabas kepada orang ramai yang hadir pada malam itu.

Selepas YB Azan, ceramah telah diambil pula oleh ADUN Beserah dari PAS iaitu Tuan Syed Mohammad Tuan Lonik. Beliau banyak mengulas tentang tanggungjawab seorang pemimpin dari sudut pandangan agama Islam. Betapa besarnya amanah yang bakal dipikul bila ditanya oleh Allah SWT diakhirat kelak. Sambil mempertikaikan keputusan kes Altantunya antara yang paling melucukan di dunia, beliau berkata "Mahkamah jadi carca merba bila membuat keputusan gantung sampai mati terhadap Sirul dan Azilah, sedangkan pihak polis tidak menyiasat apakah punca mereka membunuh wanita Monggolia itu sebenarya"."Sesuatu yang aneh bila yang dituduh membunuh tanpa arahan sesiapa, sedangkan mereka adalah UTK yang hanya akan mengikut arahan ketuanya, siapakah ketuanya yang mengarahkan pembunuhan itu" tambah beliau lagi. Beliau turut menyatakan komitmen parti PAS terhadap Pakatan Rakyat semakin utuh sekarang ini, dan turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh penyokong yang mengundinya dalam PRU12 dulu.

Sementara itu, Pengerusi Perhubungan PKR Pahang Dato' Fauzi Abd Rahman yang berucap selepas itu banyak mengulas tentang kewajaran Perdana Menteri melancarkan konsep "One Malaysia". Apa lagi yang mahu dicari oleh Najib Razak sebenarnya. Malah katanya UMNO dan Barisan Nasional kini semakin terdesak dalam usaha menarik sokongan generasu muda beralih arah kepada mereka. Lantaran itulah "One Malaysia" terpaksa dilaksanakan bagi mengaburi matak rakyat. Walhal sejak sekian lama mereka memerintah kerajaan masih lagi mengamalkan dasar "pecah perintah" kepada rakyat jelata. Buktinya, mereka akan mengabaikan rakyat yang tidak menyokong mereka dalam pilihanraya tetapi memberi muka kepada mereka yang telah menyokong. Begitu juga wakil rakyat pembangkang yang di"anaktiri"kan dalam banyak projek-projek pembangunan. Malah peruntukan mereka telah disekat biarpun mereka dipilih secara sah menerusi pilihanraya. Inilah kezaliman dan penyelewengan amanah yang telah disalah gunakan oleh kerajaan UMNO dan Barisan Nasional hari ini. Maka itu beliau pasti yang konsep "One Malaysia" akan menemui kegagalan sama seperti "Islam Hadhari" yang dibawa oleh Pak Lah dulu. Dato' Fauzi menamatkan ceramahnya lebih awal untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas itu. Rakyat terus datang beramai-ramai dan memenuhi setiap ruang kosong di hadapan pentas dan juga sebelah belakang pentas.

Dalam ceramahnya Anwar banyak megulas isu-isu semasa termasuk kes yang melibatkan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Fairus Khairuddinn yang meletakkan jawatan sebagai ADUN Penanti baru-baru ini. "Fairus jujur dan bertanggungjawab, kerana melepaskan jawatan setelah namanya terbabit dalam skandal berkenaan. Beliau tetap akan bersama kita malah berjanji akan turun berkempen untuk memastikan kemenangan PKR dalam pilihanraya kecil Penanti tidak lama lagi" kata Anwar sambil disambut dengan laungan keramat tanda sokongan. Anwar juga banyak mengulas tentang kebajikan yang diberikan oleh kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah. Katanya, rakyat di Pahang juga harus melakukan perubahan jika mahu menikmati berbagai keistimewaan dan ganjaran yang tidak pernah mereka perolehi ketika UMNO dan BN memerintah negara ini. Dalam pada itu, Anwar juga banyak mengulas tentang pilihanraya kecil Bukit Gantang dan Bukit selambau yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat baru-baru ini. Beliau amat berterima kasih atas sokongan dan komitmen yang ditunjukkan oleh semua pihak dalam memastikan kemenangan besar di dua kawasan itu. Bagi DUN Batang Ai pula, Anwar menegaskan BN menang dengan unsur penipuan yang dilakukan oleh SPR termasuk membuat kiraan undi di pusa penjumlahan undi, tidak benarkan wakil calon menaiki helikopter SPR dan banyak lagi. semua itulah yang menjurus ke arah kemenangan BN dalam pilihanraya kecil DUN itu baru-baru ini. Program berakhir awal sekitar jam 11.26 malam, kerana Anwar terpaksa pulang awal ke Kuala Lumpur. Beliau agak keletihan kerana terpaksa melalui perjalanan yang jauh dari Penati pada sebelah paginya.

0 Komen Artikel Ini: