SELAMAT DATANG KE BLOG PERIBADI BLOGGER CUCUMATKILAU (CMK)

Konsep One Malaysia: Kerajaan Najib Perlu Lebih Serius Melakukan Perubahan Jikalau Mahu Terus Diterima Rakyat Dalam Pilihanraya Umum Ke-13 !

Senario politik negara semakin hangat ketika ini. Biarpun ia dilihat belum begitu memuncak, namun Cucu dapat melihat bahawa fenomena yang berlaku bakal memainkan peranan besar dalam pilihanraya umum akan datang. Terkada Cucu rasa amat hairan dengan pendekatan yang diambil oleh Kerajaan UMNO dan Barisan Nasional dengan konsep "One Malaysia" yang diwar-warkannya. Biarpun mereka sudah mula terdesak sekarang, namun konsep itu seolah-olah menyerupai apa yang dilaung-laungkan oleh DAP dulu iaitu "Malaysian Malaysia" sebenarnya. Kenapa baru sekarang mereka tersedar dari lamunan ini?. Jika tidak kerana keputusan pilihanraya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau baru-baru ini, apakah konsep itu akan diterapkan?. Atau mungkin juga ia hanya sekadar retorik semata-mata bagi meraih sokongan rakyat kembali kepada UMNO dan Barisan Nasional. Benarlah kata Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu ceramahnya di Bukit Selambau baru-baru ini bahawa konsep "One Malaysia" hanya akan timbul setiap kali berlakunya pilihanraya sahaja. Selepas pilihanraya maka UMNO akan perjuangkan semula konsep "Hidup Melayu" yang sudah sebati dengan darah daging mereka selama ini. Bukan Cucu mahu pertikaikan konsep tersebut, memang kita tahu UMNO itu Melayu dan bertujuan untuk membantu orang-orang Melayu. Namun dalam masa yang sama pemimpin UMNO sendiri harus sedar bahawa di Malaysia hari ini, bukan hanya orang Melayu sahaja yang mendiaminya. Malah kita sudah ada berbagai bangsa yang perlu diberi perhatian. Justeru itu, mengamalkan sistem politik perjuangkan bangsa semata-mata sudahh todak relevan lagi dengan politik alaf baru hari ini. Jika kerajaan UMNO dan Barisan Nasional mahu terus diterima rakyat Malaysia maka itulah apa yang diperkatakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak harus dilaksanakan segera.

One Malaysia, Perlis Di Anak Tirikan

Kenyataan untuk mengutamakan rakyat dalam apa jua perkara amatlah baik untuk masa depan. Bagi Cucu saf kempimpinan baru kabinet Najib jelas sekali menggambarkan niak suci dan keikhlasan hatinya untuk membuat perubahan. Namun begitu tindakan meminggirkan wakil rakyat dari Perlis dalam kabinet sudah mencarikkan konsep "One Malaysia" itu sendiri sebenarnya. Ini jelas menimbulkan kemarahan buat rakyat Perlis, biarpun ditenangkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataannya di Alor Setar Kedah semalam. Ini jelas sekali tidak selaras dengan konsep tersebut bila salah sebuah negeri yang dimenangi oleh Barisan Nasional di "anak tirikan" oleh Kerajaan Pusat. Ini bukan masalah menteri terbabit akan menjaga seluruh Malaysia baka kata Muhyiddin. Amalan yang biasa kita lihat sejak Azali lagi bahawa mana-mana menteri UMNO dan BN sekali pun pasti akan memajukan kawasan mereka lebih rancak dari kawasan lain. Lantaran itulah Cucu melihat, ada kebenaran juga apa yang diucapkan oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Perlis, Datuk Shahidan Kassim (foto) baru-baru ini. Tambahan pula salah seorang wakil rakyat dan ahli parlimen di Perlis adalah adik beliau sendiri, Ismail Kassim. Maka bertambah-tambah terluka hati dan perasaan Shahidan. Sudahlah beliau tidak dilantik semula sebagai Menteri Besar, kini Perlis pula dinafikan hak tersebut. Soalnya sekarang kenapa Shahidan yang bersuara dan bukan MB Isa Sabu yang membuka mulut?. Siapa yang lebih berkuasa di Perlis sebenarnya?.

One Malaysia, Calon Kalah Jadi Menteri

Berbalik kepada konsep "One Malaysia" itu tadi. Belum apa-apa Perdana Menteri sudah membuat kesilapan besar iaitu melantik orang yang kalah sebagai menteri sebaliknya orang yang menang disishkan. Ini tidak masuk akal dan jelas melanggar tradisi UMNO sebenarnya. Bila orang yang menang dipandang sebelah mata, ia bermakna individu terbabit tidak diikhtiraf sebenarnya. Apakah ini bermakna kemenangan Khairy Jamaluddin (foto) sebagai Ketua Pemuda UMNO baru-baru ini tidak diikhtiraf oleh Perdana Menteri Malaysia?. Sebaliknya orang yang kalah iaitu Mukhriz Mahatir pula dilantik?. Apakan rasional dan motif Najib berbuat demikian. Walau apa jua alasan yang diberikan, ini amatlah tidak adil buat seorang "pemenang". Langkah melantik orang yang kalah dan timbalan beliau ke jawatan kabinet seolah-olah satu "penghinaan" yang nyata terhadap kempimpinan Khairy. Alasan Najib bahawa ia memberi ruang seluas-luasnya untuk Khairy memperkemaskan semula UMNO amatlah tidak wajar sama sekali. Jika Khairy dikatakan hanya layak memperkemaskan UMNO, bagaimana pula dengan Ketua Puteri UMNO dan Ketua Wanita UMNO, iaitu Sharizat dan Rosnah?. Sepatutnya mereka juga tidak dilantik. Malahan ketika kalah pilihanraya umum ke-12 lalu, Ketua Wanita UMNO Rafidah Aziz juga tidak dilantik semula ke jawatan menteri. Walhal beliau menang di Parlimen Kuala Kangsar ketika itu. Anehnya, bila Sharizat menang pemilihan pucuk pimpinan pergerakan itu baru-baru ini, kenapa beliau dipilih ke kabinet sedangkan beliau kalah di parlimen Lembah Pantai?. Inilah yang memusykilkan kita sebenarnya.

One Malaysia, Porfolio Kabinet Tidak Telus

Konsep "One Malaysia" yang dibayangkan oleh Perdana Menteri Najib Razak didapati awal-awal lagi sudah tidak telus dan menimbulkan masalah. Ini berikutan tindakan Najib yang jelas membelakangkan parti komponen ketiga terbesar dalam Barisan Nasional iaitu MIC. Malah beberapa cakap-cakap sumbang telah kedengaran bahawa memang MIC amat kecewa bila wakil mereka hanya mempunyai satu jawatan Menteri dan Dua Timbalan Menteri dalam kabinet baru Najib itu. Malah itu pun bagi portfolio yang tidak "mencabar" dan "kurang popular". Jika dulu MIC cukup sinonim dengan Kementerian Kerjaya menerusi presidennya Samy Vellu (foto). Namun kini segalanya sudah berakhir, apabila UMNO kembali mengambil alih portfolio itu menerusi Ir.Mohd Zain (kini digugurkan) selepas pilihanraya umum ke -12 lalu. Terbaru sekali lagi kementerian yang cukup popular itu diberikan kepada UMNO menerusi Shaziman Abu Mansor. Ini membuatkan pemimpin-pemimpin MIC menjadi marah dan ingin bertindak mengeluarkan wakil mereka dalam kabinet Najib itu. Bukan ini menyebabkan perpecahan besar berlaku dalam BN dan bakal meruntuhkan pakatan itu sebenarnya. Apa akan berlaku jika MIC mengambil keputusan untuk menyertai Pakatan Rakyat selepas merasa dipinggirkan BN.

One Malaysia, Benarkan Ia Kabinet Rakyat

Pengumuman kabinet baru Najib baru-baru ini, jelas sekali bercanggah dengan aspirasi yang ingin beliau sampaikan kepada rakyat. Kabinet rakyat yang diperkatakan itu sebenarnya "jauh panggang dari api". Apa tidaknya, beliau melantik pemimpin yang ditolak oleh rakyat sebagai "menteri" iaitu Shahrizat Jalil. Bukankah rakyat di parlimen Lembah Pantai telah menolak beliau dan memberi kemenangan kepada "puteri Reformasi" Nurul Izzah Anwar dalam pilihanraya umum ke-12 lalu. Nurul Izzah menang dengan majoriti 2,895 undi ketika itu. Maka itu, apakah rasionalnya Najib membawa masuk kembali Shahrizat ke dalam kabinet. Adalah lebih elok Shahrizat juga sama seperti Khairy, diamanahkan untuk memperkemaskan parti UMNO itu sendiri. Jika Khairy digunakan untuk memperkemaskan pemuda, maka Shahrizat perlu memperkemaskan semula pergerakan Wanita UMNO. Namun, ini tidak berlaku, bila dia dilantik sebagai Senator dan dilantik sebagai Menteri Pembangunan Keluarga Dan Masyarakat.

Begitu juga dengan Tan Sri Khoo Tsu Koon (foto), mantan Ketua Menteri Pulau Pinang yang terus dipinggirkan itu. Beliau telah ditolak rakyat ketika bertanding kerusi parlimen di negeri itu. Memang sebelum ini terdengar desas desus beliau akan ditukarkan ke pusat selepas pilihanraya umum lalu. Namun akibat kekalahannya itu, maka agenda itu terpaksa dilupakan. Namun, selepas itu beliau menang sebagai Presiden Parti Gerakan, iaitu salah sebuah komponen BN. Lantaran kekalahan dan ditolak rakyat dalam pilihanraya umum lalu, mengapakah beliau dilantik ke kabinet. Malah beliau kalah dengan majoriti 9,485 undi kepada calon yang tidak popular dari DAP (P.Ramasamy a/l Palanisamy) bagi kawasan parlimen Batu Kawan, Pulau Pinang. Khoo Tsu Koon dilantik sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (perpaduan).

Sementara itu, seorang lagi pemimpin yang telah ditolak rakyat dan kalah dalam pilihanraya umum lalu dilantik ke kabinet Najib ialah, Awang Adek Hussin (foto). Beliau yang diwar-warkan bakal menjadi Menteri Besar Kelantan jika BN menang ketika itu, akhirnya tewas di DUN Perupok, Parlimen Bachok kepada calon PAS Omar Mohammd dengan majoriti undi 1,270. Maknanya beliau telah ditolak rakyat. Bahkan beliau juga telah dikeluarkan dari kabinet Pak Lah selepas pilihanraya umum ke-12 lalu. Soalnya sekarang, kenapa beliau kembali diambil menganggotai kabinet Najib sekarang?. Malah tindakan Najib melantik Awang Adek sebagai Timbalan Menteri Kewangan jelas sekali menjatuhkan maruah wakil rakyat UMNO dan BN sebenarnya.

Bukan itu sahaja, malah pemilihan Raja Nong Chik (foto) yang hanya bertaraf Ketua UMNO Lembah Pantai sebagai Menteri Wilayah Persekutuan menunjukkan jelas sekali Najib tidak mengikhtiraf suara rakyat. Apakah kerana beliau salah seorang tokoh korporat yang amat berjasa kepada UMNO?. Lantaran itu dilantik sebagai menteri, walhal beliau berada di parlimen Lembah Pantai yang telah kalah kepada Pakatan Rakyat. Ini bermakna perlantikan Raja Nong Chik, biarpun menerusi pintu belakang (Senator) jelas sekali mencabuli konsep "Kabinet Rakyat" yang dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri.

Terakhir langkah melantik Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera Mej Jen Datuk Jamil Khir Baharom (foto) sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Agama Islam juga melanggar apa yang diwar-warkan itu. Bila masa pula Jamil Khir Baharom diterima rakyat sedangkan beliau tidak pernah bertanding dalam mana-mana pilihanraya sekali pun. Ini bermakna, beliau tidak layak untuk menjadi menteri kabinet "rakyat" yang diperkatakan oleh Najib sebenarnya. Tindakan Jamil Khir Baharom, menerima jawatan tersebut juga dikhuatiri akan menyebakan rakyat menolak beliau. Kejadian ini sama seperti apa yang berlaku kepada bekas Imam Besar Masjid Negara, Pirdaus Ismail dan pendakwah bebas Dr.Mashitah Ibrahim dulu. Pemikiran dan minda mereka mula nampak "sekular" dan "rosak" sikit demi sedikit setelah sanggup memperhambakan diri kepada UMNO dan Barisan Nasional. Inilah yang amat ditakuti oleh para peminatnya.

One Malaysia, Suara Rakyat Suara Keramat

Dengan segala apa yang didedahkan ini, maka apakah benar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membentuk kabinet rakyat?. Sedangkan orang yang sepatutnya diangkat disisihkan, mereka yang ditolak rakyat diberi tempat dan kedudukan. Kemarahan bukan lagi berpunca dari rakyat sekarang, malah ia juga turut melibatkan ahli-ahli UMNO dan wakil-wakil rakyat Barisan Nasional yang tidak terpilih. Bagi mereka, apalah guna menjadi wakil rakyat jika nilai mereka lebih teruk dari seorang "Senator". Mereka bertungkus lumus berjuang dan berkorban dalam parti dan menang pilihanraya tetapi individu lain yang tidak jelas pengorbanan mereka dan ditolak rakyat pula diberi keistimewaan. Disampin itu juga Najib harus benar-benar jujur memberi keutamaan kepada rakyat bukannya rakyat "UMNO dan BN" semata-mata. Jika mereka masih lagi melakukan sistem "pecah sempadan" dalam setiap kebajikan dan peruntukan yang sepatutnya diberika kepada rakyat, maka tahulah rakyat mengajar mereka dalam pilihanraya umum akan datang. Senario ini telah berlaku sejak sekian lama, apa sahaja permohonan rakyat pasti mereka akan memeriksa apakah mereka itu ahli UMNO atau tidak. Baik dari segi permohonan pinjaman kewangan, tanah, projek atau lain-lain peruntukan. semua ini menyebabkan rakyat semakin benci kepada UMNO itu sendiri.

Jika Najib tidak melakukan perubahan dan masih membeza-bezakan rakyat dengan fahaman politik masing-masing yakinlah mereka akan terjerat nanti. Segala projek kerajaan dan peruntukan haruslah diagih-agihkan sama rata antara pemimpin UMNO/BN dengan pemimpin Pakatan Rakyat yang dipilih secara sah menerusi pilihanraya. Begitu juga dalam perkara-perkara yang diperjuangkan rakyat seperti Mansuhkan Akta ISA, Bersihkan SPR, Perbetulkan Sistem Kehakiman, Perbaiki Polis, Hapuskan PPMSI, Beri Permit Harian Kepada Akhbar Harakah & Suara Keadilan, Hapuskan Akta Mesin Cetak Dan AUKU, Berikan Semula Peruntukan Tahunan Kerajaan Negeri dan Ahli Parlimen Tanpa Memilih Bulu, Laksanakan Pilihanraya Yang Adil Dan Telus, Berikan Kebebesan Media Dan Hak Untuk Berhimpun, Patuhi Segala Amalan Demokrasi Yang Sudah Termaktub Dalam Perlembagaan dan banyak lagi. Jika ini berjaya dilakukan maka rakyat akan kembali menyokong Kerajaan UMNO dan Barisan Nasional itu sendiri. Namun jika "One Malaysia" itu masih mengekal corak pemerintahan yang sama, tekanan yang sama, tindakan yang sama, operasi yang sama maka apalah guna "Kabinet Rakyat" itu?.

[Ini bermakna, Kerajaan Najib perlu lebih serius melakukan perubahan jika mahu UMNO dan Barisan Nasional terus diterima rakyat dalam pilihanraya umum ke-13 nanti. Ingatlah, bahawa lebih dua juta pengundi baru adalah terdiri dari golongan muda yang sudah pastinya 90% menyokong Pakatan Rakyat. Jika tersilap langkah, maka sah apa yang diperkatakan oleh "Teori Rahman" bahawa "N" itu untuk "Najib" yang bakal menjadi Perdana Menteri terakhir dalam kabinet Barisan Nasional kelak. Sesungguhnya takdir penentu segalanya. Cucu tetap seperti biasa akan terus memantau perjalanan politik tanahair biar siapa pun yang bakal memerintah kelak. Bagi Cucu, sudah tiba masanya untuk rakyat membuat perubahan dan impaknya pasti akan dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia].

0 Komen Artikel Ini: