SELAMAT DATANG KE BLOG CUCUMATKILAU OFFICIAL | SEBARANG ADUAN DAN PERTANYAAN BOLEH PM 0 1 2 3 8 5 4 4 0 0 (CMK)

Edisi Pahang: Kampung Kelahiran Pahlawan Mat Kilau Kini Terbiar Layu, Kerajaan Negeri Pahang Di Gesa Kembalikan Kegemilangan Pulau Tawar !

Sebelum ini pahangdaily pernah membicarakan persoalan tempat kelahiran Pahlawan Melayu Pahang Mat Kilau (foto) dan Tok Gajah yang terus dipinggirkan daripada arus permodenan negara. Kampung Pulau Tawar yang suatu ketika dulu cukup dikenali seantero dunia terus terbiar kaku tanpa pembelaan yang sewajarnya daripada pihak-pihak yang bertanggung jawab terutamanya Kerajaan Negeri Pahang sendiri. Bahkan sejak terbinanya jalan baru antara simpang Jengka 8 ke Jerantut, ianya jelas mematikan terus destinasi tersebut dari mata dunia. Apa yang lebih menyedihkan tidak ada satupun papan tanda sejarah yang menunjukkan Pulau Tawar adalah sebuah destinasi sejarah yang harus dikunjungi seperti yang dilakukan di negeri-negeri lain. Terpinggirnya Pulau Tawar dari arus pembangunan, mungkin ada kaitan dengan kelemahan Kerajaan Negeri Pahang untuk membangunkan tempat bersejarah seperti ini. Malah, kami juga difahamkan, Kerajaan Negeri Pahang tidak mengeluarkan satu sen pun peruntukan untuk program "Jejak Mat Kilau" yang pernah disiarkan oleh TV3 satu ketika dulu. Inilah yang memusykilkan kita sebenarnya. Malahan ramai juga yang kecewa dengan sikap berdiam diri Kerajaan Negeri Pahang terhadap usaha membangunkan kembali Pulau Tawar.


Kemunculan semula Pahlawan Mat Kilau gemparkan seluruh negara

Kemunculan Mat Kilau menjadi pencetus reformasi rakyat Pahang

Wakil Rakyat Pulau Tawar 'Gagal' Main Peranan
Jika dulu Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tawar, tatkala Dr.Ahmad Shukri Ismail (foto), menjadi Exco Kerajaan Negeri Pahang banyak perancangan yang mahu dilaksanakan. Namun, ianya ditolak bulat-bulat oleh ADUN terbabit, yang secara jelas melambangkan bahawa pahlawan Melayu Pahang itu bukanlah pejuang tetapi merupakan pengkhianat bangsa katanya. Lantaran itu, banyak aktiviti bagi membangunkan kawasan pelancongan bersejerah itu kini diluputkan dari ingatan beliau. Malah, beliau langsung tidak mempunyai komitmen yang kuat ke arah itu. Kami merasakan bagai ada sesuatu yang tidak kena atas keengganan semua pihak untuk melakukan perubahan kepada bumi yang penuh dengan peninggalan sejarah dan sudah sinonim dengan sejarah Melayu Pahang sejak zaman dahulu lagi. Malahan bagi para peminat dan pencinta sejarah, nama Pulau Tawar sememangnya sudah dikenali sejak zaman kesultanan Melayu Melaka lagi. Ini jelas membuktikan kepada kita supaya warisan sejarah Pulau Tawar ini harus digilap kembali dan dipertahankan agar ianya tidak terus tenggelam dek zaman. Banyak kesan-kesan sejarah yang perlu dipulihara semula seperti Makam Mat Kilau, Rumah Kelahiran Mat Kilau, Masjid Pulau Tawar yang dibina oleh Mat Kilau Istana Sultan Pahang (Kini diruntuhkan dan dibangunkan Sekolah Menengah Pulau Tawar atas tapak tersebut), Tapak pertemuan Sultan Pahang dengan pembesar-pembesar Melayu semasa British berusaha memujuk Sultan Pahang menerima wakil British sebagai penasihat sultan "Residen" serta macam-macam lagi peninggalan yang perlu dinaikkan semula untuk dinikmati oleh generari akan datang. Bahkan Pulau Tawar sepatutnya dimasukkan dalam peta pelancongan negeri Pahang sebagai salah satu desitinasi sejarah di negeri ini. Tambahan pula Gua Kota Gelanggi yang kononnya dikatakan di Johor telah disahkan sendiri oleh MB Johor terletak berhampiran Pulau Tawar.


Terbiar kaku, Makam dan Masjid Lama P.Tawar yang dibina Mat Kilau

Lambang perjuangan, Gua Kota Gelanggi dan Sg.Pulau Tawar jadi saksi
Persoalannya mengapakah pihak-pihak yang bertanggung jawab masih bermain politik dalam usaha membangunkan Pulau Tawar ? Atas alasan apakah semua bahan sejarah ini tidak mahu dibangunkan semula. Timbul tanda tanya dikalangan pencinta sejarah sebenarnya. Bukankah kiranya Pulau Tawar dibangunkan ianya juga akan memberikan pulangan yang baik terhadap hasil pelancongan negeri ini. Sikap "Double-Standard" ini jelas dapat dilihat sebagai usaha untuk menghapuskan peta Pulau Tawar dalam lakaran sejarah negeri ini. Siapakah yang harus dipertanggung jawab atas semua ini. Sepatutnya dalam usaha ini pihak Kerajaan Negeri Pahang haruslah menubuhkan satu jawatankuasa khas ke arah pembangunan semula sejarah kegemilangan Pulau Tawar. Usaha ini pernah dilakukan ketika penemuan Mat Kilau, dimana pada tanggal 6 Ogos 1970 kerajaan negeri yang dipimpin oleh Tan Sri Yahya Mohd Seth ketika itu telah melantik Dato' Abdul Aziz Ahmad selaku ketua jawatankuasa tersebut. Hasil siasatan yang dibuat , maka Menteri Besar Pahang telah mengisytiharkan kesahihan seorang tua yang dikenali sebagai Mat Din adalah sebenarnya Pahlawan Melayu Pahang iaitu Mat Kilau , yang pada ketika itu telah berusia 123 tahun. Mengapakah dizaman era siber yang serba canggih ini, jawatankuasa yang sama sukar untuk ditubuhkan dalam usaha untuk mengembalikan semula pembangunan Pulau Tawar iaitu tempat kelahiran Pahlawan Melayu Pahang untuk dinikmati oleh generasi akan datang. Kami merasa tersangatlah kecewanya melihat fenomena ini.


Biarpun legenda, komplek sejarah Mahsuri megah berdiri dan dikanan,
Kompleks Sejarah Pasir Salak yang menjadi kebanggaan rakyat Perak
Seharusnya menjadi tanggung jawab generasi keturunan Pulau Tawar untuk merealisasikan hasrat ini demi keperintingan semua pihak agar sejarah ini tidak terus dibiarkan. Terkadang kami senantiasa merasa cemburu melihat keperihatinan Kerajaan Negeri Melaka membangunkan tempat sejarah Kg.Duyung iaitu kampung kelahiran Hang Tuah, Kerajaan Negeri Perak membangunkan Pasir Salak kawasan sejarah Dato' Maharajalela, Kerajaan Negeri Kedah membangunkan Padang Mat Sirat , kampung kelahiran Mahsuri. Biarpun kisah Mahsuri hanya sekadar lagenda namun ia tatap dijaga dan dipulihara dengan sebaik mungkin. Namun jika dilihat kepada kisah sejarah terbabit Sejarah Mat Kilau adalah yang terkini, bahkan Mat Kilau masih ditemui dalam era moden iaitu sekitar tahun 1970. Apa yang menarik sejarah salur galur keturunan Pulau Tawar menerusi buku "Salasilah 13 Generasi Pulau Tawar" yang masih tersimpan, jelas membuktikan Perdana Menteri Malaysia Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dan Menteri Dalam Negeri Dato' Hishahmuddin Tun Hussein adalah dari keturunan Pulau Tawar. Bahkan Pulau Tawar pernah menjadi tempat bersemayamnya baginda Sultan Pahang sekitar tahun 1880-an semasa kedatangan British ke negeri ini. Pun begitu apakah nasib malang Pulau Tawar, siapakah yang harus dipersalahkan?. Harus diingat, bahawa Pulau Tawar adalah satu destinasi bersejarah yang menjadi pemangkin kepada pembangunan negeri Pahang secara keseluruhannya. Oleh itu langkah terbaik harus diatur bagi mengembalikan semual zaman kegemilangannya. Jika dibiarkan, maka ia akan terus layu ditelan dek zaman yang merugikan generasi akan datang. Apakah Kerajaan Negeri Pahang sedar menyedari hakikat semuanya ini?.

[Kami difahamkan, Kerajaan Negeri Pahang memang tidak mahu bertanggungjawab membangunkan Pulau Tawar kerana mereka berpendapat disitulah terhimpunnya ramai pemimpin pembangkang yang akan menakluki negeri ini satu hari nanti. Salah seorangnya ialah Blogger Cucumatkilau, iaitu salah seorang Krew PDO yang semakin panas sekarang ini. Bahkan difahamkan juga, beliau masih memegang buku "Kanun Salasilah 13 Generasi Keturunan Pulau Tawar" dan beberapa ilmu lain. Harapan kami agar Kerajaan Negeri Pahang dapat memainkan peranan bagi membangunkan kembali kawasan ini agar ia tidak lapuk ditelan dek zaman. Apakah jasa-jasa Mat Kilau dan Tok Gajah tidak mahu diikhtiraf sebagai pejuang bangsa?. Hanya kerana mereka berjuang menentang Inggeris?. Mungkin juga kerajaan UMNO dan BN hanya menganggap pemimpin mereka sahaja yang berjasa terhadap kemerdekaan negara ini, lantaran itu jasa pahlawan terdahulu terus mahu dilupakan. Biarpun kita ada mendengar sebuah filem bertajuk "Mat Kilau" akan dilancarkan, namun apakah ia dapat membantu pembangunan Pulau Tawar itu sendiri. oleh itu, diharapkan jawatankuasa khas yang pernah ditubuhkan oleh waris Tok gajah dan Mat Kilau dapat memainkan peranan untuk mendesak kerajaan mempercepatkan pembangunan Pulau Tawar sebagai destinasi pelancongan Sejarah baru di negeri Pahang hendaknya].

0 Komen Artikel Ini: