Agak mengejutkan rasanya bila Ketua Parti KITA, Datuk Zaid Ibrahim tiba-tiba cuba berkompromi untuk tidak letakkan calon di mana-mana kawasan yang pembangkang berpotensi menang pada Pilihanraya Umum ke-13 ini nanti. Sebelum ini CMK pernah menghadiri program KITA di Pahang. Malah, CMK sempat beramah mesra dengan Zaid sendiri untuk mendapatkan info lanjut tentang parti KITA. Bagi CMK, walau pun apa juga tuduhan dibuat terhadap Zaid namun kita harus hormat kepada keputusan beliau. Dalam sejarah Malaysia, tidak ada mana-mana pemimpin UMNO yang sedang berkuasa tiba-tiba meninggalkan parti itu. Anwar kembali kepada rakyat selepas diterajang oleh Mahathir. Andai semua itu tidak berlaku, sudah pasti Anwar masih bersama UMNO dan kini selesa menjadi Perdana Menteri Malaysia. Begitu juga lain-lain pemimpin seperti Dato' Fauzi, Chua Jui Meng serta lain-lain lagi. Mereka semua kembali kepada rakyat selepas gagal mengejar apa yang dicita-citakan, atau pun tidak dicalonkan. Malah, ada juga yang berbuat demikian selepas tewas dalam perebutan jawatan dalam parti masing-masing. Maknanya mereka kembali kepada rakyat selepas dipinggirkan dari parti. Berbeza dengan Zaid, walau apa jua tuduhan tetapi dia antara pemimpin UMNO yang berani meletakkan jawatan Menteri ketika masih berkuasa. Tindakannya menyertai PKR juga dilihat sebagai langkah bijak ketika itu. Namun, Zaid terpaksa undur diri gara-gara beberapa tindakan yang jelas bertentangan dengan prinsip keadilan dalam paeri itu sendiri. Mana mungkin ada pemimpin yang boleh bertahan dalam parti yang mengamalkan pemilihan terpilih. Keputusan yang meragukan dan penuh dengan kontroversi yang akhirnya membuatkan orang seperti Zaid terpaksa undur diri kerana maruah dan harga diri. Bagi mereka yang tidak tahu apa yang terjadi di belakang tabir, mungkin melihat Zaid khianat. Tetapi, hakikat sebenarnya sesuatu yang lebih tenat berlaku dalam parti itu. Selepas menubuhkan KITA, berbagai tuduhan liar dibuat oleh orang-orang PKR terhadapnya. Seolah-olah pemilihan PKR itu "perfect" sangat, sedangkan hanya "jauhari mengenal manikam". Keputusan siasatan terhadap kepincangan pemilihan 2010 seolah-olah terkubur begitu sahaja. Akhirnya yang melakukan kesalahan dianggap dipihak yang benar dan yang menegur kepincangan dianggap dipihak yang salah. Inilah yang berlaku, tapi ramai yang buat-buat tak tahu. Apapun, tindakan Zaid keluar PKR atas dasar prinsip perjuangannya harus dihormati. Tidak elok dibuat tuduhan yang bukan-bukan. Jika beliau ikhlas mahu menyokong Pakatan Rakyat, apa masalahnya?. Berfikirlah secara lebih positif demi masa depan perjuangan rakyat secara keseluruhannya.
0 Komen Artikel Ini:
Catat Ulasan