"Misi Bantuan Kemanusiaan" Kini Di Teruskan Demi Rakyat
Walau pun banjir sudah lama berlalu di Kuantan, namun semalam saya sempat bersama krew NGO Angkatan Pembela Rakyat (Angkara) untuk meneruskan "Misi Bantuan Kemanusian" bagi menjejaki golongan fakir miskin dan ibu tunggal yang memerlukan sumbangan bantuan bagi meringankan bebanan kehidupan mereka. Kami memilih lokasi sekitar Kg.Belukar yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Inderapura dan Parlimen Kuantan.
Kawasan ini diwakili oleh Exco Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Shafik Fauzan dan Fuziah Salleh dari PKR pula merupakan Ahli Parlimen di sini. Maklumat awal tentang golongan terbabit telah diperolehi oleh wakil Angkara. Kami telah membawa barangan berkaitan seperti pakaian lelaki dan wanita, pakaian sekolah, ubat-ubatan, sejadah dan lain-lainnya lebih awal. Barangan berkenaan kebanyakkannya disumbangkan oleh sahabat dari Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Cuma petang semalam, kami singgah di Pasaraya Tunas Manja Sungai Isap untuk membeli beberapa lagi keperluan lain seperti beras, gula, minyak masak, kicap dan sardin. Sebelum ini kami berhasrat untuk mengagihkan wang tunai, namun adalah lebih baik barangan makanan diberikan bagi memudahkan urusan yang berkaitan.
Seramai 10 orang ibu tunggal dan golongan fakir miskin telah dipilih untuk menerima bantuan berkenaan. Ada yang ditinggalkan suami, sakit buah pinggang dan yang paling tua berumur hampir 80 tahun. Kami membantu seadanya kerana peruntukan dana yang amat terkawal. Sebelum memberi sumbangan, kami sempat bersembang dan berbual panjang dengan pihak berkenaan. Sedih dan pilunya hati bila mendengar keluhan mereka ketika itu.
Seronok melihat mereka gembira dengan bantuan yang kami berikan. Ada yang bersedih dan hampir menangis kerana tidak menyangkan bantuan diterima walau pun banjir sudah lama berlalu. Mereka amat berterima kasih kepada NGO Angkara atas sumbangan tersebut. Program ini akan diteruskan setiap bulan dan lokasi lain pula akan dipilih tanpa mengambil kira latar belakang politik pihak yang berkenaan.
Kepada sahabat-sahabat yang ingin menyumbangkan dana untuk misi bantuan kemanusian Angkara ini bolehlah disalurkan ke akaun Maybank CMK Events Management 5560 1105 9285 dan SMS/ WhastApp 012-3854400 untuk info dan makluman lanjut. Segala sokongan daripada semua pihak amatlah dialu-alukan. Hulurkan sumbangan seadanya demi meringankan bebanan insan lain yang amat memerlukan.
0 Komen Artikel Ini:
Catat Ulasan