SELAMAT DATANG KE BLOG PERIBADI BLOGGER CUCUMATKILAU (CMK)

Najib, Tarik Balik Tuduhan Bangang Terhadap Blogger Pro UMNO


Sebagai seorang blogger yang agak lama berada di alam maya, CMK amat terkejut dengan kenyataan panas yang dibuat oleh Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri Malaysia, Datuk Sri Najib Tun Razak yang dengan berani mengeluarkan perkataan "bangang" kepada Blogger Pro UMNO pada Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)  baru-baru ini. Apa pun terjadi PM tidak sewajarnya mengeluarkan perkataan serupa itu kepada para blogger sendiri. 

“Saya setuju kata Datuk Zahid yang kata bloggers kita ni kadang-kadang tembak kita. Dalam istilah perang, friendly fire. Friendly fire is not friendly," kata Najib merujuk kepada Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. “Bloggers kita ni cari makan dengan siapa? Pergilah tembak pembangkang. Itu cara kita nak menang dalam peperangan. Jangan perang sesama sendiri. Tak masuk akal. Bangang,” katanya.

Soalnya, apakah wajar Najib berkata demikian kepada para blogger yang selama ini membela beliau?. Kenyataan umum seperti itu seolah-olah ditujukan kepada semua blogger pro UMNO. CMK kenal ramai rakan-rakan blogger pro UMNO di Malaysia, dan sebenarnya tidak semua ditaja atau mendapat imbuhan "diberi makan" seperti yang diperkatakan. 

Sama juga ketika CMK menjadi blogger pro pembangkang, ramai yang kata diberi makan oleh pembangkang. Walhal, kita para blogger terpaksa mencari rezeki sendiri untuk sesuap nasi. Berbagai halangan dan rintangan terpaksa di hadapi sendiri tanpa pembelaan daripada parti sebenarnya. CMK sendiri pernah ditangkap polis dan disaman oleh berbagai pihak, namun parti sedikit pun tidak membantu malahan tidak berusaha untuk membantu.

Akhirnya membawa kepada tindakan CMK keluar dari parti dan bergerak secara bebas seperti hari ini. Ramai yang ingat, blogger dibela oleh pihak tertentu. Ini bukan saja kepada blogger pembangkang, malahan kepada blogger pro UMNO sendiri sebenarnya.



Memang benar, ada yang menikmati hasil. Namun, mereka biasanya akan berkongsi sesama sendiri. Memanggil rakan-rakan yang tidak mahir sebagai blogger untuk bersama kumpulan mereka. Duit sumbangan dan elaun diagihkan sesama sendiri. Sedangkan ramai blogger "otai" yang sepatutnya dibiayai, langsung tidak merasainya. Walhal, blogger otai yang banyak berjuang di alam siber untuk mempertahankan pemimpin parti apabila diserang bertalu-talu oleh musuh.

Inilah yang berlaku sejak sekian lama. Maka itu, tindakan Najib menghina blogger pro UMNO sebagai bangang kerana menyerang pemimpin tertentu adalah tidak wajar. Blogger juga manusia biasa yang mempunyai akal fikiran. Mereka membela pemimpin atas perkara yang dilihat baik untuk rakyat, tapi jika ia memudaratkan rakyat maka tidak menjadi halangan untuk mereka menegur. Istilah menegur tidak boleh disamakan dengan menyerang. Menegur adalah untuk kebaikan parti dan pemimpin terbabit. Namun, jika itu dituduh menyerang dan dilabelkan "bangang", maka ia pasti akan mengguris hati dan perasaan para blogger terbabit sebenarnya.

Justeru, Najib wajar memohon maaf secara terbuka kepada blogger pro UMNO atas kenyataan melampau beliau ini. Jika tidak sudah pasti ramai yang akan terus berpaling tadah dan membongkarkan kebobrokan yang berlaku selaama ini. Mereka punyai banyak rahsia yang cuba dipertahankan, tetapi jika maruah mereka dicabar rasanya tidak mustahil mereka pula akan membuka pekung di dada. Bak kata pepatah, "alang alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan"... "alang-alang di tuduh bangang.. biar mereka pula yang lawan". Najib harus sedar betapa besarnya peranan blogger dalam membantu kemenangan UMNO Barisan Nasional dalam setiap kali pilihanraya di negara ini.

Tidak mustahil, blogger yang dituduh bangang ini akan menyerang Najib semula pada Pilihanraya Umum Ke-14 tidak lama lagi. "kerana mulut badan binasa". Oleh itu, wajarlah Najib memohon maaf kepada para blogger pro UMNO demi masa depan politik parti itu hendaknya. Itulah jalan terbaik dari membanggangkan mereka. ~ CMK

0 Komen Artikel Ini: