Tuesday, April 10, 2018

NGO Angkara Persoal Tindakan SPR Tetapkan Hari Mengundi PRU14 Pada Hari Bekerja !


Pilihan Raya adalah detik bersejarah yang wajar disertai oleh majoriti pengundi, tapi kenapa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memilih hari bekerja iaitu 9 Mei untuk hari pembuangan undi?" 

Saya hairan, dalam banyak-banyak hari bagaimana Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah boleh memilih hari Rabu iaitu hari bekerja untuk satu detik bersejarah seperti itu.

SPR dalam sidang medianya pagi tadi menetapkan 9 Mei ini sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) manakala, tarikh penamaan calon pula pada 28 April ini. 

Tarikh 5 Mei pula diputuskan untuk hari pengundian awal dan tempoh berkempen untuk PRU-14 kali ini adalah selama 11 hari.

Sebanyak 14,940, 624 pemilih layak mengundi pada PRU-14 kali ini berdasarkan daftar pemilih Suku Keempat 2017.

Rakyat gembira untuk berhadapan dengan pilihanraya, inilah masanya mereka memilih pihak mana yang difikirkan sesuai, Sama ada mahu kekalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) memilih Gagasan Sejahtera (GS) atau pun Pakatan Harapan (PH). 

Maka itu, pilihlah tarikh hari cuti Sabtu atau Ahad agar senang untuk rakyat keluar mengundi. Kenapa pilih hari bekerja?.

Sebelum ini senario hanya berlaku kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) sahaja. Namun kali ini melibatkan Pilihan Raya Umum (PRU) dan ia merupakan sesuatu yang amat mendukacitakan rakyat sebenarnya.

Paling parah, hari bekerja di tengah-tengah minggu pula (Rabu). Pilihlah hari Isnin, agar pengundi boleh merancang percutian bermula pada Sabtu hingga Isnin, untuk keluar mengundi. Tambahan pula bagi yang mengundi di kampung halaman masing-masing


Memilih hari Rabu menyebabkan ramai yang pasti gagal keluar mengundi dan peratusan juga akan menurun, tambahan pula kepada yang berada jauh di perantauan dan golongan muda. Sebab mereka terpaksa ambil cuti dua hari sama ada Selasa Rabu atau Rabu Khamis untuk balik mngundi. Tidakkah SPR terfikir semua ini?.

Pemilihan hari mengundi perlu dibuat secara teliti dan profesional jika benar SPR mahu menaikkan peratusan keluar mengundi. Bahkan memang dalam sejarah pilihanraya dulu-dulu ada dibuat pada hari bekerja namun dalam memudahkan urusan rakyat keluar mengundi maka keutamaan perlu diberikan pada hari cuti, ia lebih afdal.

Walau pun Rabu diisyhtiharkan cuti peristiwa, namun kesusahan kepada pengundi tetap ada dan ia memang tidak wajar sama sekali pada zaman moden hari ini. Takkanlah tak boleh fikir semua tu. Orang buat kenduri kahwin pun pilih hari Sabtu atau Ahad sebab cuti. Ia bagi memudahkan tetamu datang berkunjung sebab masing-masing bercuti. Inikan pula sebuah pilihanraya yang bertujuan untuk menukar kerajaan. SPR sedar ke tidak semua ini?.

Saya lihat beberapa PRU sebelum ini sudah dibuat pada hari yang sesuai iaitu hari cuti seperti PRU13 (Ahad), PRU12 (Sabtu), PRU11 (Ahad). Tapi tiba-tiba Pengerusi SPR yang ini tetapkan hari Rabu.,.. Ini bukan pilihan raya kecil ini pilihan raya umum, kena guna logik akallah.. nak memudahkan atau menyusahkan orang keluar mengundi.

Sebagai sebuah NGO bebas yang berkecuali saya berharap SPR dapat melaksanakan perjalanan pilihanraya dengan telus dan adil untuk kesemua parti politik yang bertanding. 

Ingatlah, kamu melaksanakan amanah rakyat dan Allah atas muka bumi ini. Jalankan dengan ikhlas dan jujur kerana Allah bukan kerana manusia semata-mata, agar PRU14 dapat dilaksanakan secara aman dan harmoni. 

Kita tidak mahu ada sikap double standard dalam setiap tindakan, yang menyebabkan rakyat tidak yakin dengan ketelusan SPR itu sendiri akhirnya. Selamat mengundi buat semua rakyat Malaysia.

MOHD SHUKRI B MOHD
RAMLI @ JAMALUDDIN

Penyelaras NGO
Angkatan Pembela Rakyat
[ A N G K A R A ]
www.angkaraterjah.blogspot.my