Saya amat tertarik untuk mengulas isu yang sedang hangat diperkatakan sekarang ini, iaitu perihal Astro Audio menggantung tiga penyampai radio '3 Pagi Era' iaitu Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Affendi Ahmad Aruani serta dua lagi kakitangan susulan kontroversi insiden rakaman video mempersenda tarian kavadi Hindu.
Dalam kenyataannya, Astro Audio berkata keputusan itu dibuat selepas CEO dan pengurusan tertinggi syarikat itu mengadakan perjumpaan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) semalam.
Terdahulu, pengurusan Astro Audio berkata tiga penyampai tersebut direhatkan dan pihaknya kesal dengan insiden tersebut.
Dalam hantaran di akaun Instagram Era FM, Nabil, Azad dan Radin memohon maaf atas video tersebut dan mengakui mereka tidak sensitif, terutama kepada masyarakat India.
Video yang telah diturunkan dalam platform media sosial stesen itu, memaparkan seorang penyampai meniru tarian kavadi, sambil menyebut ‘Vel Vel disusuli gelak tawa.
Klip itu mengundang kritikan meluas dengan kebanyakan ia berupa penghinaan kepada tradisi Hindu iaitu upacara suci dilakukan ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan.
Saya diserang netizen gara-gara keluar kenyataan page Facebook Buletin TV3 berkenaan sokongan saya terhadap pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang segera membuka kertas siasatan terhadap mereka yang terlibat (Klik SINI)
Pandangan ikhlas saya telah disalah tafsir oleh sesetengah netizen yang tidak melihat dari sudut yang lebih meluas iaitu dalam kontek kita hidup di negara yang berbilang kaum atau kalangan masyarakat majmuk.
Bagi saya, mana-mana agama tidak wajar dihina sedemikian rupa termasuk agama Islam itu sendiri. Bukanlah bermakna saya tidak berbuat apa-apa bila agama Islam itu dihina.
Malah, pada 27 Mac 2025 saya telah disiasat selama lima hari atas laporan polis yang saya buat terhadap seorang wanita bernama Aisyah Tajuddin yang menghina hudud.
Laporan tersebut telah disiarkan dalam akhbar Harakahdaily.
Banyak laporan polis dibuat di seluruh negara, tetapi Ketua Polis Negara ketika itu mengarahkan pihak polis hanya merujuk laporan saya di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan kerana lebih lengkap dan teratur.
Makanya tidak perlu netizen nak menuduh kononnya saya berdiam diri apabila agama Islam dihina. Walhal mereka tidak follow akaun media sosial saya dan tidak tahu apa yang saya lakukan untuk pertahankan agama Islam itu sendiri sebenarnya.
Tambah menyedihkan, ada juga dikalangan netizen yang langsung tidak berilmu dan membaca laporan media berkaitan kes-kes hina agama Islam yang berlaku di negara kita sebelum ini. Mereka selesa mengatakan kononnya kes tersebut ditutup selepas individu yang menghina (bukan Islam) memohon maaf atas keterlanjuran mereka.
Walhal semua kes terbabit telah dibuka kertas siasatan oleh pihak polis susulan laporan demi laporan yang dibuat di seluruh negara. Misalnya Kertas siasatan membabitkan pelakon dan pelawak Harith Iskander dan Cecilia Yap Song berhubung kes menghina agama Islam.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain sendiri berkata, polis kini masih dalam proses melengkapkan siasatan dan akan menghantar kertas siasatan ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya secepat mungkin. Maknanya proses undang-undang telah dilaksanakan biar pun kedua-dua individu terbabit telah memohon maaf.
Netizen yang komen terkadang mereka sendiri tidak mengikuti perjalanan kes, kemudian sesedap hati membuat dakwaan kononnya dua individu terbabit tidak diambil tindakan oleh pihak berkuasa.
Banyak Kes Hina Agama Islam Telah Di Ambil Tindakan Sebenarnya
Pada Julai 2022, seorang penghantar makanan dihukum penjara selama enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Sepang kerana menghina Islam setelah lelaki itu gagal membayar denda sebanyak RM50,000.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof menerusia kenyataan berkata, Mohd Nor’muzil Mohd Razalli, 39, dihantar ke Penjara Kajang tengahari tadi berikutan kegagalannya membayar denda itu.
Begitu juga dalam kes isu penjualan stoking tertera kalimah Allah, pada Mac 2024 yang lalu. Netizen mendakwa syarikat terbabit tidak diambil tindakan, walhal Syarikat Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd dan syarikat pembekal, Xin Jian Chang Sdn Bhd, masing-masing didenda RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam berkaitan kes tersebut.
Begitu juga dalam kes isu penjualan stoking tertera kalimah Allah, pada Mac 2024 yang lalu. Netizen mendakwa syarikat terbabit tidak diambil tindakan, walhal Syarikat Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd dan syarikat pembekal, Xin Jian Chang Sdn Bhd, masing-masing didenda RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam berkaitan kes tersebut.
Pada Mac 2024, seorang lelaki yang memuat naik komen berbaur penghinaan terhadap kalimah Allah di Facebook dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM15,000 di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu. Hakim Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Ricky Shane Cagampang, 33, mengaku bersalah, atas pertuduhan terhadapnya
Sementara itu, pada April 2024 pula seorang bekas juruteknik aplikasi sosial didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan membuat hantaran menghina agama Islam berkaitan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah di Facebook miliknya.
Terbaharu, seorang pemandu e-hailing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang pada 17 Februari lalu atas pertuduhan membuat kenyataan yang menghina agama Islam, pada tahun lepas.
Lim Kim Teng, 70, didakwa membuat penyataan yang melukakan perasaan berkaitan agama orang Islam dan perbuatan itu dilihat di Pejabat Pasti, Gombak, di sini, pada 8 malam, 4 Jun 2024.
Sebenarnya banyak lagi kes hina agama Islam yang telah diambil tindakan, menunggu pendakwaan atau pun yang sedang dalam perbicaraan.
Cuma ada netizen yang malas nak membaca dan mendapatkan ilmu dan menggunakan isu ini kononnya kerajaan tidak bertindak tegas jika melibatkan bangsa lain. Sebaliknya laju buat kerja jika melibatkan bangsa Melayu Islam itu sendiri.
Naratif inilah yang dimainkan agar rakyat melihat ada sikap 'double standard' dalam setiap tindakan yang dilaksanakan.
Sebab itulah saya menyokong tindakan pihak polis mengambil langkah segera untuk membuka kertas siasatan terhadap isu ini.
Jaga Sensitivi Agama Dalam Masyarakat Majmuk Di Negara Ini
Hal ini tidak sepatutnya berlaku dalam masyarakat kita yang sama-sama memahami maksud muhibah yang bertapak di bumi Malaysia sejak sekian lama. Agama mengajar kita untuk menjaga tutur kata, perbuatan dan tingkah laku daripada melakukan perkara-perkara yang boleh melanggar sensitiviti ataupun batasan agama, adat resam dan budaya tertentu.
Jelas sekali perbuatan merendah-rendahkan identiti sesebuah bangsa, agama atau adat resam komuniti tertentu merupakan satu pencabulan yang tidak boleh diterima. Apa yang berlaku selama ini, haruslah menjadi teladan bagi kita semua bahawa perbuatan ini tidak memberi kebaikan.
Budaya menghina, merendah-rendahkan, atau untuk tujuan gurauan sekalipun tidak sepatutnya dijadikan kebiasaan dalam kehidupan. Banyak perkara yang perlu kita jaga dan wartakan sebagai “suci” yang tidak boleh dipermain atau dipersenda oleh mana-mana individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab.
Nilai-nilai positif seperti menghormati jiran tetangga, membantu tidak kenal warna kulit, dan menjadi bangsa yang beradab sering kali dikaitkan dengan budaya dan adat resam masyarakat Malaysia.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga ada menegaskan setiap agama perlu dihormati dan tidak boleh dijadikan bahan ejekan atau persendaan dalam apa jua bentuk, sama ada secara lisan, tulisan, perbuatan, mahupun di platform media sosial.
Hati-Hati Mengambil Pelawak Menjadi Penyampai Radio
Trend mengambil pelawak menjadi pencampai radio kini semakin menjadi-jadi. Tugas juruhebah yang duluknya dikendalikan oleh mereka yang benar-benar berbakat dan berpengalaman kini telah diambil alih oleh pelawak.
Stesyen radio lebih memikirkan rating dan populariti untuk mendapat tempat dihati pendengar. Walhal ramai pendengar mula serabut dengan lawak-lawak bodoh dan hilai ketawa yang cukup membosankan.
Saya sendiri sudah lama tidak mendengar mana-mana radio yang mengambil pelawak sebagai penyampai mereka. Sebab itu terkadang ada pelawak yang 'over acting' dan sepanjang masa mahu berlawak.
Hasilnya, terjadilah adengan yang cukup mengegarkan iaitu rakaman video mempersenda tarian kavadi Hindu. Semoga semua ini dijadikan ikhtibar dan diambil perhatian oleh semua pihak. Saya sekadar menegur demi kebaikan kita rakyat Malaysia. Salam terjah.
Pandangan Ikhlas,
MOHD SHUKRI B MOHD
RAMLI @ JAMALUDDIN
(Blogger Cucumatkilau @ CMK )
0 Komen Artikel Ini:
Catat Ulasan