SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI, MAAF ZAHIR BATIN DARI CMK SEISI KELUARGA | SEBARANG ADUAN DAN PERTANYAAN BOLEH PM 0 1 2 - 3 8 5 4 4 0 0 (CMK)

Genap Usia 50 Tahun 25 Mei, Perjuangan Hak-Hak Rakyat Bakal Di Teruskan Terutamanya Isu Tanah !

Tanggal 25 Mei 2021 baru2 ini genaplah usia saya  ke-50 (1971). Nampaknya dah 5 series untuk meneruskan perjuangan masa hadapan. Apa pun ia diharap dapat mematangkan lagi perjuangan yang telah saya lalui sejak sekian lama.

Saya tak punya apa-apa kemewahan untuk dibanggakan, kerana saya senantiasa dimusuhi oleh penguasa atau mereka yang berkuasa. Apa tidaknya, sejak 1998 saya sering mendedahkan berbagai bentuk penyelewengan yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan di Pahang khasnya dan di Malaysia amnya.

Apa pun, saya gembira dengan apa yang saya lakukan. Memang kerajaan tidak suka, tapi saya ada rakyat marhaen yang mengharapakan ada pihak yang berani bersuara untuk membangkitkan hak mereka dan berani menyatakan kebenaran biar pun pahit.

Saya tidak suka mengampu terutamanya golongan penguasa yang bertopengkan perjuangan rakyat untuk mengaut keuntungan peribadi mereka. Rakyat hanya digunakan untuk kuasa, bila sudah ada kuasa hak-hak rakyat dinafikan.

Contohnya dalam isu permohonan tanah. Rakyat yang memohon terkadang sampai mati tak dapat. Siapa yang rapat dengan kroni atau proksi pemimpin akan mendapat hasilnya walau sepatutnya tidak layak.

Rakyat marhaen, walau sudah 40 hingga 50 tahun mendiami dan mengusahakan tanah  akhirnya dinafikan hak. Walau pun berkali-kali mereka memohon untuk mendapatkan geran hak milik. Campur tangan orang atasan dan dalang-dalang di pejabat tanah dan daerah antara punca mengapa hak rakyat marhaen dinafikan.

Mereka hanya akan ditawarkan lot-lot tanah tatkala menjelang musim pilihanraya. Ketika itu borang tanah akan diedarkan, maka berbondong-bondong rakyat berbaris untuk membeli tanah di pejabat tanah dan daerah. 

Tanah kelompok dijanjikan, namun selepas pilihanraya 'habuk pun tarak', siapa yang dapat? Mereka yang tidak berkenaan, digunakan nama untuk jadi proksi. Ramai terdiri dari kalangan orang luar, bukan orang tempatan.

Akhirnya orang kampung dinafikan hak dengan kerja yang dibuat oleh pemimpin setempat dengan orang dalam. Tanah itu kemudian dibeli oleh pihak terbabit dengan harga murah.

Biasanya penama setuju jual, sebab mereka bukan orang tempatan. Mereka orang luar yang bekerja di kawasan itu. Kebanyakkannya adalah terdiri dari kalangan guru, sebab mereka selalu bertukar-tukar atau bila pencen akan balik kampung.

Orang kampung yang sepatutnya layak memohon tak dapat, mereka melopong tengok nama yang berjaya kebanyakkan orang luar. Tanah-tanah ini kemudian akan dijual oleh 'broker' kepada tokey-tokey untuk dimajukan sebagai ladang atau perumahan.

Bagi lokasi yang dekat dengan bandar, sudah semestinya dibuat taman perumahan. Inilah peluang 'broker' dapat untung 10-3 dengan tokey pemaju. Bayangkan kalau rumah berharga RM300,000 bukankah mereka yang terlibat ini secara automatik jadi jutawan segera.

Rumah akan diagihkan sesama anak beranak dan selebihnya dijual melalui pemaju perumahan terbabit. Jika di kawasan luar bandar, akan dijual kepada tokey ladang untuk dimajukan sebagai ladang sawit atau sebagainya.

Modus operandi inilah yang telah berlaku sejak zaman berzaman dengan kerjasama orang dalam untuk dapatkan tanah kelompok. Akhirnya siapa yang kaya?. 'Broker' yang rapat dengan proksi orang atasan dan orang dalam.

Ketika pilihanraya mereka gunakan orang-orang kampung untuk berkempen dan sekali lagi menjanjikan lot tanah atau rumah kepada rakyat  marhaen. Isu ini sudah berlaku sejak sekian lama. Sebab itu, pemohon yang sepatutnya layak tidak diberikan surat gagal atau permohonan ditolak. Jika ini berlaku, pasti rakyat akan menolak pihak berkenaan setiap kali pilihanraya.

Saya kesian tengok rakyat yang tidak sealiran dengan pihak berkenaan dinafikan hak sejak sekian lama. Namun, bagi mereka yang sealiran tanah berpuluh ekar dapat ke tangan mereka dengan bantuan orang atasan dan orang dalam.

Ini adalah contoh ketidakadilan yang terang dan nyata sebenarnya. Justeru, saya rela perjuangkan nasib rakyat walau pun saya tidak memiliki tanah 'sekangkang kera'. Saya sendiri temuduga tanah beberapa kali namun tidak pernah dilayan, apatah lagi diluluskan. 

Perjuangan rakyat memerlukan pengorbanan dan semangat. Biar pun saya dituduh dengan berbagai tohmahan. Namun, hingga ke saat ini saya berjaya menangkis segalanya dan meneruskan perjuangan rakyat. 

Justeru, dalam usia 50 tahun ini saya merasakan perjuangan akan lebih disemarakkan. Biarlah saya kalah dalam pertandingan atau pemilikan hartanah, namun akan terus berjuang membela rakyat marhaen walau pun saya bukanlah sesiapa. Tiada pangkat, tiada harta malah tiada sebarang jawatan. Namun segalanya diteruskan dengan semangat perjuangan harmoni.

Saya harap agar rakyat marhaen terus memberikan maklumat sekiranya mereka menjadi mangsa dalam isu sebegini. Iaitu, dipermain-mainkan oleh pihak berkaitan untuk kepentingan masing-masing. Biarlah saya kalah bermaruah, daripada menang merasuah. #CMK

0 Komen Artikel Ini: