SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI, MAAF ZAHIR BATIN DARI CMK SEISI KELUARGA | SEBARANG ADUAN DAN PERTANYAAN BOLEH PM 0 1 2 - 3 8 5 4 4 0 0 (CMK)

Bahaya, Isu Jambatan Gantung Sungai Dingin Mentakab Pula Tular !

   

TEMERLOH - Baru saja dikejutkan dengan tragedi jambatan gantung yang mengorbankan dua beradik jatuh ke dalam Sungai Keratong di Kampung Rekoh Rompin, kini satu lagi insiden jambatan uzur berlaku di daerah ini yang sedang hangat diperkatakan.

Jambatan gantung yang uzur dan berbahaya itu terletak di Kampung Sungai Dingin, Mentakab dekat sini.


Menurut penduduk sudah beberapa bulan jambatan tersebut rosak akibat banjir pada awal tahun ini, namun sehingga hari ini ia masuh belum diperbaiki oleh pihak berwajib sehingga meresahkan penduduk sekitar. 

Isu jambatan gantung Sungai Dingin ini 'panas' selepas ia ditularkan oleh seorang netizen yang juga merupakan penduduk kampung terbabit iaitu Nur Muhammad Alias.

Menurut beliau dalam posting di facebooknya, keadaan jambatan terbabit amat uzur dan cukup membimbangkan. Malah jambatan yang rosak selepas banjir pada awal Januari lalu, hingga kini masih belum dibaiki hingga sekarang.

"Ini membimbangkan penduduk setempat kerana laluan jambatan ini merupakan laluan utama penduduk dan alternatif jika laluan utama dinaiki air untuk keluar bekerja dan merupakan laluan harian untuk anak ke sekolah," katanya.

Menurut beliau lagi, penduduk menjadi gusar selepas hujan lebat baru-baru ini dan laluan jalan ke kampung mereka tidak boleh dilalui.

"Jambatan gantung ini adalah laluan utama  yang digunakan oleh lebih 450 penduduk dua buah kampung iaitu Kampung Sungai Dingin dan Mambang Berulang. Bagaimanapun, beberapa struktur jambatan itu yang rosak mengundang risiko keselamatan terhadap orang ramai," dakwa beliau.

Tambah menakutkan katanya, tragedi dua beradik yang meninggal dunia akibat terjatuh ke dalam sungai keratong apabila motosikal yang ditunggani ibunya hilang kawalan ketika melalui jambatan gantung Kampung Repoh di Rompin baru-baru ini masih segar dalam ingatan.

Susulan insiden tersebut penduduk menjadi trauma dan gusar ancaman keselamatan mereka.

"Jambatan ini juga merupakan jalan pintas penduduk kerana jalan kereta mengambil masa yang lama untuk smpai ke jalan utama. Baru-baru ini terdapat kemalangan kecil melibat motor tumbang di atas jambatan ini, tetapi penunggang tidak mengalami kecederaan," tambah Nur Muhammad lagi.

Hantaran beliau itu mendapat berbagai komen balas dari kalangan netizen, antaranya ;








Ada juga netizen yang mempertahankan isu ini, dengan mendakwa pihaknya sudah buat tindakan dan masih menunggu peruntukan.








Difahamkan jambatan gantung Sungai Dingin menjadi laluan penduduk untuk pergi ke bandar serta berbagai urusan lain termasuk menghantar anak-anak ke sekolah.

Keadaan jambatan gantung yang rosak mengundang kesulitan kerana penduduk terpaksa menggunakan laluan alternatif lain yang jauh untuk ke jalan utama Temerloh-Mentakab.

Justeru penduduk berharap pihak berkaitan dapat membaiki segera jambatan ini kerana ia laluan utama penduduk sejak berpuluh tahun lalu selain mengundang risiko keselamatan.

Sementara itu menurut penduduk, masalah jambatan juga menjejaskan perkhidmatan lain seperti penghantaran barangan, dokumen atau makanan. Ini kerana posmen, syarikat kurier atau penghantar makanan tidak mahu masuk kerana gusar dengan keadaan jambatan tersebut.

Jambatan gantung Sungai Dingin telah dibina padantahun 1983 dengan jarak sejauh lebih 200 meter. Ia dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sementara itu, susulan hantaran facebook Nur Muhammad Alias tentang isu ini menyebabkan ramai pihak terkejut atas apa yang terjadi.

Ramai yang menganggap, pemimpin setempat sepatutnya cakna isu jambatan uzur ini. Malah, tragedi yang berlaku di jambatan gantung Kg Repoh Rompin sepatutnya dijadikan ikhtibar oleh semua pihak.

Namun, akibat kealpaan dan lewat bertindak menyebabkan rakyat terpaksa mengadu nasib di media sosial.

Sepatutnya isu ini diselesaikan segera, tidak perlu menunggu terlalu lama sampai berbulan lamanya baru mahu bertindak.

"Bila sudar viral, barulah masing-masing bagai cacing kepanasan. Mulalah pemimpin tunjuk muka turun padang untuk ambil kisah. Walhal penduduk sudah banyak kali bertanya sebelum ini. Namun, jawapannya sama tiada tindakan dan akhirnya penduduk terpaksa baiki sendiri pagar-pagar yang telah rosak," kata seorang warga emas yang ditemui semalam.

"Saya sedih, pada zaman moden masih ada jambatan gantung yang sudah hampir 40 tahun  digunakan. Bukankah ia merbahaya dan boleh mengancam nyawa penduduk. Pemimpin wajar turun padang melihat sendiri, bukan hanya dapat laporan dari jauh.

"Saya tahun pihak JKKK, Tok4, Penghulu dan lain-lain pemimpin setempat sudah lakukan tindakan. Namun akibat isu ini tidak diangkat dan diberi keutamaan oleh pihak atasan maka ia dipinggirkan. Hinggalah menjadi viral baru semua pihak menggelabah," katanya lagi.

Isu jambatan uzur ini pernah mendapat perhatian Yang Dipertuan Agong sendiri sebenarnya. Baginda menitahkan ia diberi perhatian segera oleh pihak kerajaan, ketika dimaklumkan oleh pemimpin setempat dalam satu program bantuan banjir di kawasan terbabit awal tahun ini. 

Kampung ini terletak dalam kawasan DUN Mentakab yang diwakili oleh YB Woo Chee Wan  (DAP) dan Parlimen Temerloh yang diwakili oleh YB Mohd Anuar Mohd Tahir (PAN).

Semenjak isu ini viral, difahamkan masih tiada kelibat dua wakil rakyat terbabit setakat ini. Harus diingat, Ahli Parlimen Temerloh adalah merupakan Timbalan Menteri Kerjaraya pada zaman pemerintahan 22 bulan Pakatan Harapan (PH). Sepatutnya isu ini telah diberi perhatian sewajarnya.

Malah, difahamkan hanya Ketua UMNO Bahagian Temerloh, Dato' Sri Hj. Mohd Sharkar Shamsuddin dilihat turun ke lokasi untuk melihat aduan penduduk terbabit. Walhal beliau adalah ADUN Lanchang.

Mungkin atas kapasitinya sebagai Exco Kerajan Negeri Pahang, menyebabkan beliau terpanggil untuk memantau isu ini.

Terkini, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah meletakkan batu penghadang agar orang ramai tidak melalui jambatan gantung itu buat sementara waktu.

Sementara itu, ada penduduk mendakwa mereka bukanlah meminta jambatan baharu yang menelan kos jutaan ringgit untuk dibina.

"Kami hanya mahu jambatan gantung ini dibaiki segera. Pagar yang rosak, laluan berlekuk dan berlubang dibaik pulih. Struktur jambatan diperkukuhkan agar tidak bahaya ketika penduduk melaluinya," kata penduduk terbabit.

Kisah rayuan agar pembinaan jambatan ini juga sudah tersiar dalam akhbar Sinar Harian pada bulan April lalu. 

Justeru, dengan tularnya kisah jambatan gantung ini maka diharapkan segala masalah yang membelenggu penduduk dapat diatasi segera. Keselamatan rakyat perlu diutamakan. Jangan tunggu ada yang jatuh dan terkorban baru semua pihak mahu buat tindakan.

Ada sumber mendakwa, permohonan mendapatkan peruntukan bagi membaik pulih jambatan ini sudah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Pahang, cuma peruntukkannya belum turun untuk tindakan. Namun, penduduk berharap dan merayu kerajaan mempercepatkan peruntukan terbabit demi membelan rakyat marhaen yang memerlukan. 

0 Komen Artikel Ini: