SELAMAT DATANG | TERIMA KASIH KERANA BERKUNJUNG KE BLOG INI, SILA DATANG LAGI
@ybterjah

Kematian Go Kart EIMARace, NGO "Terkejut" Keputusan Mahkamah Koroner !


KUANTAN: "Mana mungkin, Mahkamah Koroner hari ini, memutuskan kematian dua beranak semasa menonton Perlumbaan Automatif dan Inovasi Pendidikan (EIMARace) 2016 sebagai kejadian yang tidak dapat dielakkan......", kata Penyelaras NGO Angkatan Pembela Rakyat, Mohd Shukri Mohd Ramli kepada PDO. Laporan Bernama (Kematian dua beranak kejadian tidak dapat dielak)

Beliau terdahulu terkejut dengan kenyataan Koroner Dazuki Ali bahawa penganjur  telah mematuhi standard dan piawaian yang ditetapkan dalam penganjuran perlumbaan serta mengambil langkah sewajarnya dalam aspek keselamatan termasuk keselamatan pelumba.

Dazuki juga memutuskan kematian Izwan Isa, 39, pada 12.20 tengah hari, 25 Sept 2016 dan anak bongsunya Nur Zulaikha, 5, pada 2.20 petang hari sama di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini adalah akibat kemalangan jalan raya.

Sebelum ini, prosiding inkues diberitahu kemalangan itu juga menyebabkan isteri mangsa, Siti Suhaiza Seman, 38, dan anak sulung mereka Muhammad Iz Danial, 7, cedera.

"Bagi saya ini tidak masuk dek akal. Saya sendiri telah mendedahkan banyak bukti kecuaian terhadap insiden ini.. namun mereka kata penganjur sudah mematuhi standard dan piawaian?", kata Shukri. 

Beliau berkata, penganjur gagal mematuhi keperluan kejohanan iaitu pengguna water barrier?. Walhal ia termasuk dalam senarai dan aspek yang perlu diambil berat oleh penganjur sebenarnya. Justeru, mereka tidak boleh "lepas tangan" begitu saja dalam tragedi yang berlaku ini.

"Saya juga pernah membuat laporan polis kes ini dan ada beberapa perkara yang saya dedahkan untuk diambil tindakan, namun hingga ke hari ini tiada apa-apa siasatan yang dilakukan.. malah kes ini senyap begitu sahaja", katanya. (laporan polis)

"Jelas sekali dilokasi kemalangan, tiada arahan penggunaan water barrier sebagai ciri-ciri keselamatan untuk penonton. Inilah punca utama yang menyebabkan mangsa dilanggar oleh kenderaan yang terbabas sebenarnya.. Justeru dalam kejadian ini penganjur wajar dipersalahkan kerana gagal menyediakan aspek  keselamatan secukupnya ketika perlumabaan di adakan", jelas Shukri.

Bahkan kata Shukri, sehari sebelum kejohanan sudah ada kemalangan yang berlaku di lokasi. Maka, sepatutnya kejohanan itu ditangguhkan hingga siasatan selesai. 

"Kemalangan sebelum itu pula dirahsiakan dari pengetahuan semua. Bukankah ini satu kecuaian dan kenapa pula Kroroner Dazuki kata penganjur mematuhi standard. Saya sedih dengan keputusan ini dan harap keluarga mangsa bersabar. Inilah takdir namanya, kita rakyat biasa hanya boleh berdoa agar kebenaran ditegakkan. Namun sebaliknya pula berlaku", tambah Shukri lagi.

"Kes ini menyebabkan kehilangan nyawa manusia, bukan nyawa binatang. Allah lebih mengetahuinya siasatlah betul-betul. Jika kes Datin dera amah boleh dibuka semula untuk penghakiman.. Makanya, saya syorkan kes ini juga dibuka semula untuk siasatan.", kata beliau lagi. #PDO


Read more »

Jawapan NGO Angkatan Pembela Rakyat (Angkara) Terhadap Kenyataan PAIP Maran Dalam Isu Terjah Air Di Felda Jengka 7, Pahang


Susulan kenyataan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) pada 17 Mac 2018 tentang isu air yang melanda Felda Jengka 7 terutamanya Masjid Al-Falah. Isu ini telah didedahkan oleh kami pada 16 Mac 2018 dan sehingga jam 11.00 malam, 19 Mac 2018 video terjah yang di sebarkan telah mendapat 349,826 tontonan. 

Ini menunjukkan isu ini mendapat perhatian, mungkin kerana ia bertembung dengan ambang pilihanraya umum dan juga isu air yang sering dipapar oleh TV3 terhadap dua negeri pembangkang iaitu Selangor dan Pulau Pinang mutakhir ini. 

Justeru, kami terpanggil untuk menjawab kenyataan yang dibuat oleh pihak PAIP Maran terhadap isu ini satu persatu. Ia bagi tidak menimbulkan kekeliruan dan membuka minda orang ramai untuk melihat apa isu sebenarnya dalam kes ini, 

"Saya ingin respon kepada isu bekalan air di Masjid Felda Jengka 7 seperti yang telah diviralkan oleh Mohd Shukri Mohd Ramli atau CMK semalam. Adalah amat dikesalkan kerana berita yang disebarkan di laman sosial adalah tidak tepat berdasarkan situasi dan tidak merujuk kepada pihak yang berkenaan. Dalam masa yang sama pula isu yang tidak benar ini telah di kongsi oleh ramai netizen yang tidak memeriksa kesahihan berita yang mereka kongsikan sama di laman sosial" - PAIP Maran.
Untuk makluman PAIP Maran, berita yang disebarkan adalah diperolehi daripada jemaah Masjid Al-Falah, Felda Jengka 7 sendiri sebenarnya. Mereka mendakwa sudah banyak kali aduan dibuat kepada pihak PAIP Maran. Namun, jawapannya tetap sama.. tiada tindakan yang diambil malahan aduan demi aduan yang dibuat tidak mendapat perhatian sewajarnya oleh pihak PAIP Maran. 

Mungkin sibuk atau merasakan ia tidak terlalu penting untuk diambil tindakan segera, Walhal, masjid itu digunakan untuk solat Jumaat dan setiap kali itu juga air senantiasa tiada. Bermakna, kami merujuk kepada pihak yang berkaitan untuk memanjangkan isu ini dalam edisi terjah. Selepas diterjah barulah PAIP Maran tergesa-gesa datang untuk buat siasatan dan ambil tindakan. Kenapa selama ini diam membisu, hingga pengadu merasa kecewa dan terkilan akibat isu tidak dilayan dengan baik oleh PAIP Maran. 
"Pihak PAIP Maran telah melakukan pemerikasaan hari ini di Felda Jengka 7 dan dapatan adalah seperti berikut. 1. Utk bekalan air di Masjid Jengka 7, setelah dilakukan pemeriksaan pressure mencukupi = 2.0 bar (normal) ss ." - PAIP Maran.
Persoalannya, jika pressure mencukup kenapa isu ini tidak selesai sejak sekian lama?, Pressure mencukup kerana PAIP Maran datang ke Jengka 7, dan sudah semestinya siap sedia buat tindakan (menaikkan pressure bagi menunjukkan tidak ada masalah). Mudah benarlah jika begitu keadaannya, peneroka diperdayakan hidup-hidup konon pressure mencukupi walhal selama ini pressure tidak mencukupi.
"2. Masalah yg berlaku skrg di sebabkan saiz paip yang digunakan tidak praktikal (1 inci) & byk tee direct paip selepas meter. Masalah akan timbul jika jemaah guna air serentak (waktu puncak) spt Solat Jumaat dimana apabila semua tap dibuka serentak akan menyebabkan berlaku low pressure." - PAIP Maran.
Jika saiz paip yang digunakan tidak praktikal (1 inci) kenapa selama ini tidak diperbetulkan?. Banyak kali aduan sudah dibuat, kenapa tidak datang menyiasat dan ambil tindakan agar perkara ini tidak berlaku sejak sekian lama. Kenapa biarkan ia berlaku bertahun-tahun lamanya hingga mengganggu para jemaah untuk bersolat Jumaat. Apakah dengan membiarkan begitu sahaja maka isu akan selesai?. Kenapa tidak ambil tindakan segera terhadap aduan yang dibuat oleh penduduk?.  Kenapa bila dah diterjah, barulah nak ambil tindakan menyiasat isu ini?. 
"3. Sepatutnya Masjid Jengka 7, menggunakan paip 4 inci berbanding 1 inci yang digunakan selepas meter. Terdapat banyak tee selepas meter dan jumlah kepala paip untuk mengambil wuduk dan singki dan adalah tidak praktikal menggunakan paip selepas meter hanya 1 inci" - PAIP Maran

Persoalannya, kenapa penyambungan ini diluluskan dan tidak mendapat kebenaran daripada pihak PAIP Maran. Bukankah ini kawasan masjid dan sepatutnya setiap kontraktor perlu  merujuk kerja-kerja berkaitan kepada pihak PAIP Maran agar ia tidak menyusahkan jemaah pada masa hadapan. Di manakah pemantauan yang dilakukan?.
"4. Pressure standmeter sebelum meter di Masjid Jengka 7, adalah tinggi iaitu 2.0 bar adalah tinggi dan presure yang diambil pada hidrant depan masjid juga pada bacaan adalah 1.2 melepasi syarat di tetapkan SPAN 1.0 bar. Semua bacaan direkodkan hari ini oleh PAIP Maran" - PAIP Maran.
PAIP Maran datang dalam keadaan sudah bersiap sedia menaikan pressure dari loji berdekatan, sebab itu pressure standmeter sebelum masjid naik tinggi. Tapi bagaimana pada hari-hari biasa?. PAIP Maran sudah bersedia sebelum datang, memanglah anda boleh katakan tekanan air amat kuat di kawasan ini. Tapi apa yang berlaku pada hari-hari sebelumnya?. Pernah anda menyiasat?. Jika pressure kuat kenapa penduduk sering melaporkan masalah air berlaku tatkala mahu mengadakan majlis kenduri kendara, selain daripada masalah yang melanda kawasan masjid ini sebenarnya.
"5. Bagi kawasan tinggi di Jengka 7, bacaan tekanan yang diambil hari ini ialah 1.4 bar adalah normal". - PAIP Maran
Bacaan tekanan normal 1.4 bar kerana PAIP Maran datang. Bagaimana pada hari-hari sebelumnya dan hari yang akan datang?. Adakah bacaannya juga sama?. Mudah benar mengatakan tekanan sudah normal kerana PAIP Maran datang untuk buat tindakan. Jika normal kenapa banyak aduan yang terus diterima dari kalangan penduduk pada hari-hari lain (bukan hari PAIP Maran datang)?. 
"6. Kawasan perkampungan Felda Jengka7 telah ditukar paip oleh FELDA & siap sepenuhnya pd 2016. Termasuk bina tangki baru berkapasiti 150,000 gelen. Cuma gangguan bek air akan berlaku jika ada kerja kerja pembaikan. Notis gangguan berjadual @ tidak berjadual di Loji Air Jengka 3-7 akan diberikan." - PAIP Maran.
Persoalan yang timbul, jika semua kawasan kampung sudah ditukar paip oleh Felda dan siap sepenuhnya. Malah sudah dibina tangki baru yang berkapasiti 150,000 gelen maka sepatutnya isu air sudah tidak berlaku pada tahun 2017 dan 2018 ini. 


Masalahnya kenapa ia terus berlaku?. Malah kenapa air yang disalurkan ke kawasan ini masih lagi dari Loji Air Jengka 3-7?. Kenapa tidak dari tangki air yang sudah tersergam indah dengan kos jutaan ringgit itu?. Mana janji, bila tangki siap di bina maka masalah air akan selesai?. 
"Berdasarkan tulisan CMK, banyak menimbulkan kekeliruan dan kegelisahan yang pastinya mempunyai motif motif tertentu. Pihak PAIP Maran sentiasa mengambil perhatian kepada sebarang laporan dari pengguna dan tidak menerima sebarang laporan berkaitan masalah bekalan air dari penduduk Jengka 7, apatah lagi ada beberapa orang kakitangan PAIP Maran merupakan penduduk dan mempunyai keluarga di Jengka 7. Adalah mustahil mereka tidak memaklumkan kepada pihak pengurusan jika mengalami masalah bekalan air." - PAIP Maran.
Jika senantiasa ambil perhatian, kenapa jemaah masjid masih merungut mengatakan PAIP Maran tidak ambil tindakan segera terhadap aduan mereka. Jika ambil tindakan, maka  kenapa masih ada saiz paip yang tidak praktikal di kawasan masjid ini?. Kenapa tidak ditukar dengan saiz yang baru?. Ada kakitangan yang merupakan penduduk di Jengka 7 tidak semestinya mereka cakna isu rakyat kawasan ini. 

Ada kakitangan yang hanya pergi kerja dan jalankan tugas masing-masing sahaja. Malah ada yang mahu jaga nama kononnya tempat sendiri tiada masalah yang berlaku, walhal sebaliknya. Jika PAIP Maran ambil perhatian maka isu ini sudah pasti tidak timbul dan tiada aduan dari kalangan pegawai masjid sendiri. Maknanya isu ini gagal ditangani dengan baik oleh PAIP Maran. Jangan hanya seronok keluarkan kenyataan bertulis semata-mata, tapi hakikatnya penduduk di sini lebih mengetahui hakikat yang berlaku sejak sekian lama.
"Pilihanraya makin hampir, tentunya ada pihak yang tidak beryanggungjawab akan mengambil kesempatan menyebarkan perkara yang tidak benar demi kepentingan politik. Pengguna laman sosial juga perlu berhati hati berkongsi sebarang berita tidak benar kerana penyebaran berita palsu boleh di dakwa dibawah Akta Komunikasi, jadi berhati hati. Sila klik dengan bijak. Sila Share jika ada pecinta kebenaran" - PAIP Maran
Mudah benar menuding jari kononnya isu ini diterjah kerana kepentingan politik menjelang piliharaya. Untuk makluman, aduan yang diterima terhadap isu ini bukan dari penyokong parti pembangkang tetapi dari kalangan penyokong UMNO BN sendiri sebenarnya. Malah,  kami juga bukanlah entiti kepartian, kami adalah NGO yang membela rakyat tanpa membezakan fahaman politik kepartian masing-masing. Jangan menidakkan hakikat yang berlaku dengan mengatakan ianya bermotifkan politik. Sedangkan masalah air yang melanda masih gagak diatasi secara profesional.


Justeru, kami menggesa pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) melaksanakan tanggungjawab untuk mengatasi masalah air yang melanda Felda Jengka 7 sejak sekian lama. Kita tidak mahu ada lagi kejadian seperti ini pada masa akan datang. Malah kami juga tidak mahu anak-anak kampung di perantauan pulang ke kampung halaman dengan kesedihan dan tangisan air mata setiap kali musim cuti dan hari perayaan. 


Sudah lebih 50 tahun merdeka, kenapa isu air ini masih tidak selesai sepenuhnya?. Kenapa sering berlaku masalah yang menyebabkan anak-anak diperantauan trauma untuk pulang ke kampung halaman?. Buatlah tindakan, jangan melenting dan cuba menjawab untuk menutup kebenaran, walhal hakikatnya isu tidak pernah dapat diselesaikan dengan baik. Kami juga merujuk komen-komen daripada anak-anak kampung sendiri terhadap isu ini. 



Kami juga mahu PAIP Maran, buat kenyataan tentang status terkini tangki air di Felda Jengka 7. Apakah ia sudah berfungsi, atau pun tidak?. Banyak aduan mengatakan air yang disalurkan ke kawasan ini masih lagi dari loji air Jengka 3-7. Ini bermakna tangki air masih gagal berfungsi sepenuhnya. 


Jika sudah berfungsi, kenapa masih berlaku tekanan rendah di sana sini hingga menyusahkan penduduk setempat yang mahu mengadakan majlis kenduri kendara?. Jika tiada masalah air, kenapa tempahan homestay dibatalkan gara-gara masalah air tiada di kawasan kampung terbabit?. Inilah yang memusykilkan.


Apa pun, kami ucapkan terima kasih kepada PAIP Maran yang sanggup turun padang memantau situasi ini. Kami sedia berkerjasama untuk mengatasi masalah ini bagi keselesaan penduduk setempat. Kami juga ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang cakna isu ini terutamanya Exco Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato Sri Hajjah Shahaniza Shamsuddin yang begitu prihatin dan memberi pehatian terbaik terhadap isu yang didedahkan. Rakyat didahulukan, Cakna Demi Rakyat.

Yang Menjalankan Tugas;

MOHD SHUKRI B MOHD 
RAMLI @ JAMALUDDIN
159-C, Felda Kenangan Jengka 7
Bandar Tun Razak Jengka

BLOGGER CUCUMATKILAU
www.cucumatkilau.blogspot.my

Penyelaras NGO
Angkatan Pembela Rakyat
(  A N G K A R A  )
www.angkaraterjah.blogspot.my

Read more »

Tak Sampai Pun 24 Jam, Lebih 100 Ribu Netizen 'Tonton Video' Isu Air Jengka 7 !


Tidak sampai 24 jam isu air di Felda Kenanga Jengka 7 diterjah, video yang dipaparkan telah mencecah 107,546 tontonan dari kalangan netizen seluruh dunia (Statistik 3.00 petang 17/3/2018). Pertambahan yang drastik terus berlaku berikutan ia telah dishare oleh 1,547 facebookers.

Sesuatu yang cukup menakjubkan sebenarnya. Kami melihat mungkin kerana isu ini ada kena mengena dengan masalah air di negeri Selangor dan Pulau Pinang yang sering dilaporkan oleh media arus perdana terutamanya TV3.

Ramai dikalangan netizen menganggap, TV3 tidak berlaku adil kerana hanya melaporka masalah air yang berlaku di negeri pembangkang semata-mata. Sedangkan isu air turut berlaku di negeri yang ditadbir oleh Barisan nasional (BN).

Sementara itu, kami difahamkan pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) telah turun padang untuk memantau isu ini sejak awal pagi tadi. Malah, air dilaporkan sudah mengalir laju di kawasan perkampungan Felda Jengka 7.


Ia memberi kelegaan kepada orang ramai terutamanya yang mengadakan majlis perkahwinan hari ini. Biar pun air agak keruh, mungkin ia disalurkan dari loji air yang berdekatan (Jengka 4) dan bukannya dari tangki yang disediakan.

Apapun, persoalan tentang tangki air masih belum terjawab setakat ini. Laporan lanjut menyusul dalam edisi terjah berikutnya. #ANGKARANEWS

Read more »

Bina Tangki Air Bernilai Jutaan Ringgit, Tapi Masalah Air Di Felda Jengka 7 Masih Gagal Di Atasi !


MARAN: Apa sudah jadi?. Tangki air sudah lebih setahun dibina tetapi hingga ke hari ini ia masih belum boleh digunakan. Inilah persoalan yang membelenggu sebahagian besar penduduk Felda Kenangan Jengka 7 dekat sini.

Sepatutnya isu air sudah lama selesai di kawasan ini seperti yang dijanjikan. Namun, segalanya nampak tiada berkesudahan. Tangki yang dibina menelan belanja jutaan ringgit kini menjadi "gajah putih" dan gagal menyelesaikan masalah air yang membelenggu para penduduk sejak 40 tahun lalu.

"Jarak tangki dengan masjid hanya sekitar 500 meter, tapi anehnya bekalan air tidak pernah selesai. Mujurlah ada kolah yang dibina untuk para jemaah. Paip air yang ada gagal berfungsi dengan baik. Ia bertambah kritikal bila waktu solat Jumaat atau solat sunat hari raya susulan kuantiti jemaah meningkat", kata anak watan Jengka 7, Mohd Shukri Mohd Ramli yang ditemui di lokasi.

Beliau yang juga merupakan Penyelaras NGO Angkatan Pembela Rakyat (Angkara) turut merasa hairan kenapa kemudahan tangki itu tidak digunakan sedangkan ia sudah lama di siapkan.

"Ada laporan, tunggu VIP rasmi baru boleh guna. Ada dakwaan tangki yang dibina tak ikut spesifikasi (SOP), ada dakwaan air tak boleh dipam naik ke tangki dan macam-macam lagi. Masalahnya yang jadi mangsa ialah penduduk. Mereka terus menanggung sengsara akibat masalah air yang tidak berkesudahan", kata Shukri.

Masalah air yang membelenggu penduduk Jengka 7 bukanlah perkara baru sebenarnya. Isu ini sudah banyak kali dipaparkan di media arus perdana termasuk juga media sosial yang lain. Namun, sikap acuh tak acuh pihak berkenaan menyelesaikan isu ini menyebabkan penduduk terus berhadapan dengan situasi yang sama.

"Lebih sayu lagi bila tiba musim cuti persekolahan (macam sekarang) atau cuti perayaan tatkala anak cucu mula pulang ke kampung halaman. Bekalan air sering bermasalah dan menyebabkan anak-anak menjadi trauma untuk balik kampung. Ini sudah zaman moden, bukan lagi zaman dahulu kala ketika penduduk mula-mula mendiami kawasan tanah rancangan Felda. Sepatutnya isu ini sudah lama selesai", tambah Shukri lagi. 

Sementara itu, difahamkan isu yang melanda menyebabkan penduduk yang mahu adakan kenduri kendara termasuk majlis perkahwinan berhadapan dengan kesukaran akibat tekanan air rendah dan kadangkala terus tiada.

"Hari ini, ada kenduri kawin. Masalah berlaku bila air tiada. Kasihan saya tengok. Malah pengusaha homestay juga alami kerugian bila tempahan dibatalkan gara-gara ketiadaan air. Sampai bila penduduk di sini harus berhadapan dengan situasi begini?. Tolonglah selesaikan masalah mereka. Jangan biarkan mereka terus dibelenggu dengan masalah ini hingga ke akhir hayat", jelas Shukri lagi.

Beliau menggesa pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) melaporkan status terkini tangki air Felda Jengka 7. "Apa yang berlaku sebenarnya?. Kenapa dah lebih setahun tapi tak boleh digunakan?. Bukankah itu membazir namanya...", katanya. #sumber

Arkib Berita Terdahulu (Sampai sekarang masih belum selesai)

Read more »

TV3 Di Gesa Lebih Berhati-Hati Melapor Isu Air Selangor, Takut Rakyat Meluat Dan Undi Pembangkang !


 Media arus perdana terutamanya TV3 digesa menghentikan provokasi berlebihan terhadap masalah air yang melanda negeri-negeri yang ditadbir pembangkang terutamanya Selangor.

Tindakan keterlaluan yang dilakukan oleh TV3 dikhuatiri akan menyebabkan rakyat terutamanya golongan muda menjadi meluat dan menyampah terhadap kerajaan UMNO Barisan Nasional akhirnya.

Saya gusar, kerasukan TV3 menghentam isu air di Selangor akan menyebabkan BN kehilangan sokongan saluran 3 dan 4 pada PRU14 ini.

 Rakyat dah semakin bijak menilai sesuatu isu. Ini bukan zaman dulu.. rakyat hanya bergantung kepada media arus perdana semata-mata. Hari ini rakyat lebih bijak menilai dan mereka mudah mendapatkan maklumat hanya dihujung jari.

Saya amat berharap tindakan provokasi berlebihan akan menyebabkan rakyat terutamanya pengundi muda menjadi simpati kepada pembangkang akhirnya. 

Isu air sebenarnya berlaku di mana-mana. Kenapa asyik menyerang negeri Selangor semata-mata seolah-olah di negeri lain yang ditadbir oleh BN masalah ini tidak berlaku. 

Di Pahang misalnya, isu air yang membelengu sebahagian besar rakyat terutamanya penduduk luar bandar dan peneroka Felda masih belum berkesudahan hingga ke hari ini.


Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sendiri terpaksa menegur isu air di Pahang. Baginda menitahkan Kerajaan Negeri Pahang supaya memberi perhatian serius dan segera mengatasi masalah bekalan air yang berlaku di beberapa buah daerah di negeri ini.  

Tengku Abdullah juga mahukan pihak Pengurusan Air Pahang (PAIP) mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap masalah itu. Titah baginda itu dibuat semasa merasmikan majlis pecah tanah projek pembinaan jambatan baharu merentasi Sungai Kuantan-Tanjung Lumpur pada awal November 2016.

Biar pun sudah dua tahun berlalu, namun isu air masih berlaku di sana sini seluruh negeri Pahang. Malah pada Januari 2018 lalu ia lebih parah kerana melibatkan sebahagian besar penduduk di Daerah Kuantan sebenarnya.

 Tindakan keterlaluan TV3 memaparkan isu air di Selangor seolah-olah berita "double standard" yang bertujuan untuk menghilangkan sokongan rakyat terhadap kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri itu.

Bagi saya, laporan biarlah berpada-pada. Sikit-sikit OK lah.. Ini kalau sampai setengah jam slot Buletin Utama TV3 dipenuhi dengan isu air Selangor semata-mata, maka ia menyebabkan penonton menjadi meluat dan menyampah. 

Tambahan pula bagi rakyat yang mengalami masalah air yang sama di tempat lain. Mereka melihat realiti bukannya sekadar momokan serta dakyah politik yang menjurus ke arah provokasi semata-mata.

Kerajaan perlu nasihatkan TV3 agar berpada-pada dalam melaporkan isu air di Selangor kerana takut kelak akan "makan diri". 

Rakyat tidak boleh selamanya diperbodohkan dengan berita satu hala. Biarkan mereka bijak memilih dan memikirkan sesuatu isu. Tapi jika asyik paparkan isu yang berlaku di negeri yang sama setiap hari, maka akhirnya undi simpati akan diterima oleh pembangkang terutamanya Pakatan Harapan (PH). Ini merugikan masa depan BN untuk menawan semula negeri itu.

"Cakna Demi Rakyat"

MOHD SHUKRI MOHD RAMLI
Penyelaras NGO
Angkatan Pembela Rakyat
[     A  N  G  K  A  R  A     ]
www.angkaraterjah.blogspot.my

Read more »