SELAMAT DATANG KE BLOG PERIBADI BLOGGER CUCUMATKILAU (CMK)

Bina Tangki Air Bernilai Jutaan Ringgit, Tapi Masalah Air Di Felda Jengka 7 Masih Gagal Di Atasi !


MARAN: Apa sudah jadi?. Tangki air sudah lebih setahun dibina tetapi hingga ke hari ini ia masih belum boleh digunakan. Inilah persoalan yang membelenggu sebahagian besar penduduk Felda Kenangan Jengka 7 dekat sini.

Sepatutnya isu air sudah lama selesai di kawasan ini seperti yang dijanjikan. Namun, segalanya nampak tiada berkesudahan. Tangki yang dibina menelan belanja jutaan ringgit kini menjadi "gajah putih" dan gagal menyelesaikan masalah air yang membelenggu para penduduk sejak 40 tahun lalu.

"Jarak tangki dengan masjid hanya sekitar 500 meter, tapi anehnya bekalan air tidak pernah selesai. Mujurlah ada kolah yang dibina untuk para jemaah. Paip air yang ada gagal berfungsi dengan baik. Ia bertambah kritikal bila waktu solat Jumaat atau solat sunat hari raya susulan kuantiti jemaah meningkat", kata anak watan Jengka 7, Mohd Shukri Mohd Ramli yang ditemui di lokasi.

Beliau yang juga merupakan Penyelaras NGO Angkatan Pembela Rakyat (Angkara) turut merasa hairan kenapa kemudahan tangki itu tidak digunakan sedangkan ia sudah lama di siapkan.

"Ada laporan, tunggu VIP rasmi baru boleh guna. Ada dakwaan tangki yang dibina tak ikut spesifikasi (SOP), ada dakwaan air tak boleh dipam naik ke tangki dan macam-macam lagi. Masalahnya yang jadi mangsa ialah penduduk. Mereka terus menanggung sengsara akibat masalah air yang tidak berkesudahan", kata Shukri.

Masalah air yang membelenggu penduduk Jengka 7 bukanlah perkara baru sebenarnya. Isu ini sudah banyak kali dipaparkan di media arus perdana termasuk juga media sosial yang lain. Namun, sikap acuh tak acuh pihak berkenaan menyelesaikan isu ini menyebabkan penduduk terus berhadapan dengan situasi yang sama.

"Lebih sayu lagi bila tiba musim cuti persekolahan (macam sekarang) atau cuti perayaan tatkala anak cucu mula pulang ke kampung halaman. Bekalan air sering bermasalah dan menyebabkan anak-anak menjadi trauma untuk balik kampung. Ini sudah zaman moden, bukan lagi zaman dahulu kala ketika penduduk mula-mula mendiami kawasan tanah rancangan Felda. Sepatutnya isu ini sudah lama selesai", tambah Shukri lagi. 

Sementara itu, difahamkan isu yang melanda menyebabkan penduduk yang mahu adakan kenduri kendara termasuk majlis perkahwinan berhadapan dengan kesukaran akibat tekanan air rendah dan kadangkala terus tiada.

"Hari ini, ada kenduri kawin. Masalah berlaku bila air tiada. Kasihan saya tengok. Malah pengusaha homestay juga alami kerugian bila tempahan dibatalkan gara-gara ketiadaan air. Sampai bila penduduk di sini harus berhadapan dengan situasi begini?. Tolonglah selesaikan masalah mereka. Jangan biarkan mereka terus dibelenggu dengan masalah ini hingga ke akhir hayat", jelas Shukri lagi.

Beliau menggesa pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) melaporkan status terkini tangki air Felda Jengka 7. "Apa yang berlaku sebenarnya?. Kenapa dah lebih setahun tapi tak boleh digunakan?. Bukankah itu membazir namanya...", katanya. #sumber

Arkib Berita Terdahulu (Sampai sekarang masih belum selesai)

0 Komen Artikel Ini: