SELAMAT DATANG | TERIMA KASIH KERANA BERKUNJUNG KE BLOG INI, SILA DATANG LAGI
@ybterjah

Lokman-Ezam: "Sejarah Yang Hilang", Dari Sebalik Tirai Perjuangan Blogger Cucumatkilau (2003-2004)


Pertama kali, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada sahabat Datuk Lokman Noor Adam dilantik sebagai Pengarah Komunikasi Strategik di Kementerian Kewangan berkuat kuasa 8 Disember 2016.  Saya tidak hairan dengan kedudukan Lokman sekarang, kerana beliau sememangnya sesuai untuk jawatan tersebut memandangkan dia telah melaksanakan tugasnya dengan baik untuk membantu kerajaan UMNO BN pimpinan Najib selama ini.  

Lokman dilantik sebagai Pengarah setelah melepaskan jawatannya sebagai Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang dijawatnya selama enam tahun enam bulan. Cuma saya terpanggil untuk pengkisahan semula sejarah dari sebelaik tirai perjuangan "Lokman-Ezam" yang pernah saya lalui bersama mereka sekitar tahun 2003-2004 dulu. 



Kehebatan Lokman memang sudah dapat dilihat sejak beliau kembali menyertai UMNO pada 2008. Beliau lebih kehadapan daripada lain-lain pemimpin Keadilan yang turut bersama parti itu seperti Ruslan Kassim, Zahid Md Arip, Zulkifli Nordin bahkan Ezam sendiri. Beliau banyak membantu gerakan akar umbi UMNO hingga berjaya menarik semula sokongan generasi muda terhadap parti tu. 

Maka tidak hairan bila Najib mengangkat Lokman ke jawatan baharunya di Kementerian Kewangan. Diketika kedudukan Lokman semakin selesa, situasi yang berbeza pula berlaku kepada Ezam. Ketika Ezam sertai UMNO dulu, saya melihat masa depan politik beliau pasti akan bersinar. Namun, sebaliknya pula yang berlaku. Mungkin kerana Ezam masuk UMNO pada zaman Pak Lah jadi PM, dan masa depan beliau semakin kelam selepas Najib mengambil alih tampuk pemerintahan negara. 



Beliau sebelum itu telah mengumumkan keluar dari UMNO dan menyertai Tun Dr Mahathir dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). 



Tindakan Ezam ini semenangnya sudah saya jangka sejak sekian lama. Ezam masih termakan badi "Sumpah Keramat" yang dilaun-laungkannya suatu ketika dulu. Maka, manusia seperti Ezam tidak sesuai berada di "kerusi empuk", beliau lebih sesuai turun padang dan kembali ke pentas ceramah politik. 




Ketika Ezam meninggalkan Keadilan dulu, saya juga antara orang yang banyak mempertahankan beliau. Banyak artikel yang saya tulis dan disiarkan dalam laman-laman reformasi. Bagai saya kelibat Ezam sudah sinonim dengan perjuangan rakyat. Maka, bila dia tinggalkan Keadilan ia merupakan malapetaka besar buat parti itu. Mungkin kerana hubungan rapat Ezam dengan Anwar itu sendiri. Dalam masa yang sama juga saya mencabar beliau menjawab "Sumpah Lokman" sebelum mencabar Anwar Ibrahim. Artikel itu saya tulis selepas Ezam tinggalkan Keadilan sebenarnya. 



Apa yang berlaku kepada Ezam amat "tragis" jika dibandingkan dengan Lokman Noor Adam. Sebagai sahabat yang sama-sama berjuang dalam Keadilan satu ketika dulu saya merasa terpanggil untuk membicarakan kisah belakang tabir kedua-dua individu ini. 

Tambahan pula, saya melalui saat-saat getir ketika bersama Ezam dan Lokman suatu ketika dulu. Cuma bezanya, saya tidak bersama Keadilan dan tidak sertai mana-mana parti atau agensi seperti kedua-dua pemimpin terbabit. Malah, saya hanyalah pejuang kerdil yang lebih banyak berada di belakang tabir politik negara selama ini. 



Saya masih ingat ketika perbalahan beliau dengan Lokman Noor Adam "sumpah Lokman" di Masjid Negara (foto) pada 19 Feb 2004 dulu? 
Dalam sumpahnya sambil junjung Quran Lokman mendakwa bahawa cerita Ezam ambil duit RM 1 Juta Estrada (Presiden Filipina), sumbangan Ketua Pemuda Terengganu sebanyak RM 300,000 adalah benar. Beliau sedia dilaknat Allah s.w.t. jika dakwaannya tidak benar. Lokman cabar Ezam untuk lafaz sumpah junjung Quran ditempat yang sama pada 21 Feb 2004 tepat jam 11.00 pagi untuk menafikan dakwaannya itu. Beliau bersumpah selepas dipecat dari menjadi ahli Keadilan atas tuduhan membuat tuduhan liar tanpa bukti, memujuk orang untuk masuk UMNO dan memburukkan nama Keadilan di media massa.
Lokman dipecat daripada Parti Keadilan Nasional (PKN) gara-gara pengaruh Ezam dalam Keadilan ketika itu. Ketika inilah hubungan rapat saya dengan Lokman bermula. Beliau telah menghubungi saya untuk mengadakan pertemuan di Kuantan. 



Kami telah berjumpa di Restoran Selera Zuzana, Indera Mahkota. Ketika itu Lokman sering ke Kuantan kerana mempunyai "saudara" di Kampung Tiram. Saya mendengar dengan teliti penjelasan demi penjelasan daripada Lokman Noor Adam, berkaitan dirinya yang telah dipecat daripada Keadilan tanpa pembelaan. Saya berjanji untuk membantu beliau.

Sebelum saya mengambil keputusan tersebut, saya telah bertemu dengan Ezam di sebuah restoran berhadapan Kem Batu 10, Jalan Gambang pada 9 Mac 2004. Ezam ketika itu baru habis ceramahnya di Chini, Pekan. Saya bersama Allahyarham Wan Jusoh Wan Kolok (Ketua Bahagian PKN Paya Besar) dan Ariffin Ismail (Setiausaha) mengambil masa hampir sejam untuk dapatkan penjelasan lanjut tentang pemecatan Lokman dan apa yang didedahkan. 

Saya mahu Ezam beri penjelasan adakah ia benar atau sekadar fitnah semata-mata. Namun Ezam gagal memberikan jawapan yang meyakinkan. Ketika itu nama saya naik sebagai calon PKN di DUN Lepar dan Wan Jusoh pula Parlimen Paya Besar. 
Wan Jusoh Wan Kolok meninggal dunia semasa mengerjakan umrah di Tanah Suci Mekah pada 11 Dismber 2016 baru-baru ini. Al-Fatihah, moga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang beriman dan beramal soleh
Kami bersimpati terhadap Lokman Nor Adam dan berpihak kepada beliau, hingga membawa kepada pembubaran Parti Keadilan Nasional (PKN) Bahagian Paya Besar. Semuanya angkara tindakan Ezam yang membawa usul kami berpihak kepada Lokman Noor Adam, lantara nama saya dan Wan Jusoh ditukarkan kepada Shaari Sungib bagi kerusi Parlimen Paya Besar.  Artikel berkenaan isu tersebut telah diviralkan pada 13 Mac 2004.


Kekuatan saya untuk membela Lokman Noor Adam ketika ini ialah kerana saya melihat perwatakan beliau lebih "mulia" dari Ezam. Lokman saya kenal sejak kami sama-sama belajar di Institut Teknologi Mara, Cawangan Perak (Bandar Seri Manjung, Sitiawan). Saya mengambil jurusan Perancangan Bandar dan beliau Sains Kesetiausahaan (SS10). 

Ketika saya menjadi Naib Presiden Jawatankuasa Perwakilan Pelajar ITM Perak, beliau masih baru dan hubungan kami tidak terlalu rapat ketika itu. Cuma saya melihat beliau adalah jenis "sembahyang bang" iaitu individu yang tidak tinggalkan solat walau dalam apa jua keadaan sekali pun, maka saya lebih percaya kepada kata-kata beliau daripada Ezam. Saya akhirnya membantu Lokman Noor Adam dengan menerbitkan artikel berikut. 


Selepas pembubaran Parti Keadilan Nasional (PKN) Paya Besar, kami (saya dan Lokman) telah "dikurantin" selama beberapa haridi Hotel Grand Continental Kuantan. Sepanjang tempoh tersebut kami telah dibawa mengadap Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Adnan Yaakob di kediaman beliau sebanyak enam kali. Turut mengadap ialah Wan Jusoh Wan Kolok dan Ariffin Ismail. 



Ketika itu bahang Pilihanraya Umum Ke-11 kian terasa, kerana parlimen bila-bila masa saja akan dibubarkan. Semangat untuk melawan semakin membara, tambahan pula Lokman, saya dan beberapa orang pimpinan Keadilan Paya Besar telah dituduh pengkhianat oleh parti sendiri. Lokman banyak mengajar saya erti perjuangan, walau pun dari segi usia saya lebih tua dari beliau. 

Dalam pertemuan dengan MB Pahang, Lokman menerangkan beberapa perkara dan dokumen penting termasuk video untuk diterbitkan bagi menolak sokongan rakyat terhadap Keadilan. Akibat kelewatan dan kesibukan tugas, MB Pahang lambat memberikan kerjasama terbaik kepada Lokman dan saya diarahkan membuat pertemuan pula dengan Timbalan Perdana Menteri (ketika itu), Dato' Sri Najib Tun Razak di Pekan.



Masa sudah  terlalu singkat ketika itu dan akhirnya saya berjaya mengatur pertemuan Lokman dengan Najib di Pekan. Pertemuan dengan Najib telah diuruskan oleh sahabat saya  iaitu Allahyarham Dato' Drs Abdul Manaf Abdullah, bekas ADUN Kuala Pahang. 
Allahyarham Abdul Manaf, 74, meninggal dunia di kediaman anaknya di Bandar Baru Bangi kira-kira 6.30 pagi 9 Ogos 2016 kerana sakit tua. Jenazah dikebumikan di Kampung Mengkasar, Pekan. Al-Fatihah, moga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang beriman dan beramal soleh
Pertemuan tidak rasmi antara Dato' Sri Najib dengan Lokman Nor Adam itu turut dihadiri oleh Allahyarham Wan Jusoh Wan Kolok (Ketua Bahagian) dan Ariffin Ismail (Setiausaha). Keadaan sangat genting ketika itu kerana Ezam dilaporkan akan menentang Najib di Parlimen Pekan. Pada pertemuan tersebut, Lokman telah berjaya meyakinkan Najib bahawa kami akan membantu beliau di Pekan. 

Saya turut berada di dalam bilik sulit ketika pertemuan. Najib mendengar dengan tenang apa yang Lokman sampaikan tentang Ezam. Hasilnya, Ezam gagal lawan Najib di Pekan ketika itu.

Sebelum beredar kami sempat disajikan dengan sarapan pagi "Nasi Lemak Zaman" selepas pertemuan tersebut. Turut bersama ialah isteri PM ketika itu, Datin Sri Rosmah Mansor. 



Pertemuan sekitar 45 minit itulah menjadi asas kejayaan Lokman Nor Adam pada hari ini. Saya masih ingat Najib ada memberi kata dua supaya kami sama-sama bertemu beliau di Putrajaya selepas pilihanraya umum ke-11. Lokman bernasib baik kerana laluan politiknya kembali bersinar selepas tenggelam gara-gara dipecat oleh Keadilan. 

Saya juga sempat membawa Lokman keliling bandar Pekan bersama ADC Musa Safri (Polis Pengiring Najib) di dalam kenderaan yang saya pandu sendiri. Saya mendengar apa saja perbualan mereka namun tidak menyampuk bagi menghormati Lokman.

Saya sempat bertemu Lokman di Shah Alam selepas pertemuan dengan Najib itu. Pertemuan diatur dalam usaha untuk berjumpa dengan Najib di Putrajaya. Selepas itu hubungan saya dengan Lokman terus terpisah, hinggalah pada tahun 2008 iaitu ketika kempen Pilihanraya Kecil Permatang Pauh. Saya terkejut melihat Lokman duduk sepentas dengan Ezam. Ketika itu calon Keadilan ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri, selepas isterinya Datuk Seri Wan Azizah Ismail melepaskan jawatan Ahli Parlimen.



Ezam berceramah sepentas dengan Lokman, sambil saya hanya melihat dari jauh. Saya juga dengar Ezam sertai UMNO, dilantik jadi Senator dan kemudian menjadi Pengarah Strategi Komunikasi Kementerian Kewangan. Begitu juga Lokman Noor Adam, saya melihat beliau kembali kepada UMNO. 

Asalnya dia sendiri tidak pernah meluahkan hasrat untuk kembali kepada UMNO. Jika ada pun dia mengajak saya  masuk UMNO di Johor Bahru, kerana Ketua Bahagian Datuk Shahrir Samad sendiri pun pernah khianat kepada UMNO dengan menyertai Semangat 46 dulu. Maka tiada isu jika masuk UMNO di sana. Namun, saya tidak bersama Lokman dan dengar dia cemerlang dalam UMNO sekarang. 

Saya hanya tumpang berbangga. Nukilan ini bukanlah untuk mengungkit, tapi sekadar mengingatkan sahabat bahawa ada orang lain yang turut membantu menaikkan semula karier politik beliau. Jika tidak kerana  "sejarah" ini, pasti nama Lokman Noor Adam pasti akan hilang dari lipatan kenangan selepas dipecat dari Keadilan pada 2004.



Atas alasan saya kononya  setia dengan perjuangan Keadilan maka pada 2007, saya kembali sertai parti itu dan terpiluh pula menjadi calon Pilihanraya Umum Ke-12  (2008) bagi kerusi DUN Kemayan, Parlimen Bera. 

Kemasukan saya semula ke dalam PKR atas sokongan Fuziah Salleh, Ketua Keadilan Kuantan. Ramai pimpinan Bahagian Kuantan tidak setuju dengan kemasukan semula saya ke dalam Keadilan, mungkin kerana saya pernah khianat dan meninggalkan parti pada 2004. Pada PRU12 itu, saya tewas di kerusi DUN Kemayan dan kemudian bergerak sebagai Ketua Penerangan AMK Keadilan Negeri Pahang hingga bulan Ogos 2008.



Dan ketika ini Ezam Mohamad Nor dan Datuk Lokman Noor Adam berada di puncak, saya pula terus dipinggirkan dari arus perjuangan. Apapun saya masih meneruskan perjuangan rakyat dengan platform sendiri iaitu bersama NGO, Angkatan Pembela Rakyat (Angkara).

Saya tidak menolak kemungkinan untuk bersama parti politik semula pada masa akan datang, tapi apa yang saya mahu perkatakan ialah, beginilah "resam politik", hari ini mereka kawan dan esok jadi lawan kemudian jadi kawan balik. Saya membela Lokman sebab  lawan Ezam, akhirnya mereka bersama dan kini menjadi musuh politik semula. Sedangkan saya terus begini dan begini dari sebalik tabir perjuangan. Salam perjuangan leluhur buat sahabat semua.

BLOGGER CUCUMATKILAU
www.cucumatkilau.blogspot.my

Read more »

NGO Gesa Isu "Rozita" Di Tutup, Si Mati Orang Asli Beragama Kristian


KUANTAN: Orang ramai digesa menghentikan penyebaran gambar wanita orang asli "Rozita Binti Othman" yang mengelirukan semua pihak baru-baru ini. Ia berikutan terdapat kenyataan kononnya wanita terbabit berbangsa Melayu dan beragama Islam, tapi anehnya di kebumikan di perkuburan Kristian Taman Gelora dekat sini.

Mengulas lanjut perkara itu, Penyelaras NGO Angkatan Pembela Rakyat (Angkara), Mohd Shukri Mohd Ramli (foto) berkata, isu ini sebenarnya bukanlah "fitnah" tetapi "salah faham" dan "kekeliruan" di kalangan umat Islam.

Mereka keliru, kenapa nama itu ada "binti" kalau ia menjurus ke aras orang asli sedangkan sudah termaktub sejak sekian lama perkataan itu khas untuk "orang Islam" sahaja. 

Di dalam bahasa Melayu dan Arab, Bin merupakan satu istilah yang bererti "anak lelaki kepada" manakala Binti pula mewakili "anak perempuan kepada". Ia berasal dari perkataan Arab iaitu "ibn" (ابن) yang membubuh gelaran anak lelaki atau "binte" (بنت) bagi anak perempuan. Sebagai contoh, Mahathir bin Mohamad bererti Mahathir anak lelaki kepada Mohamad. Ini merupakan satu bentuk patronimik iaitu sistem penamaan menurut susur galur bapa berbanding matronimik yang bererti sistem penamaan menurut susur galur ibu seperti Isa bin Mariam.

Penggunaan perkataan "bin" atau "ibn" dalam bahasa Arab bergantung kepada kedudukannya dalam ayat. "Ibn" adalah tranliterasi daripada alef-ba-nun yang digunakan pada awalan nama. Sekiranya istilah muncul di tengah-tengah nama, huruf alef ditinggalkan dan istilah itu ditulis sebagai "bin" (بن). Kedua-dua transliterasi sejajar dengan perbezaan sebutan dalam bahasa Arab.

Bin dalam Islam adalah menurut perintah Allah dalam Surah Al-Ahzab, Ayat 5:-

Panggillah anak-anak angkat itu dengan ber"bin"kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggilah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seagama dan sebagai "maula-maula" kamu dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Surah Al-Ahzab, Ayat 5 (rujuk  https://ms.wikipedia.org/wiki/Bin)

"Persoalannya kenapa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak cakna benda-benda macam ini?. Isu tak timbul jika perkuburan Islam itu berada di lokasi majoriti bukan Islam. Namun perkuburan Kristian Taman Gelora terletak berdekatan masjid yang didiami oleh majoriti Melayu di Kampung Tanjung Api... inilah yang menyebabkan orang ramai yang terpandang papan tanda di kubur itu jadi keliru sebenarnya", kata Shukri.


"Tidak ramai orang Islam yang tahu penggunaan bin dan binti kini dibolehkan kepada orang asli dan kaum-kaum lain di Sabah serta Sarawak. Inilah yang berlaku dalam kes ini. Bukan soal mahu menghina si mati atau sebaliknya, cuma kekeliruan itu pokoknya. semua orang keliru sebab mereka tidak tahu menahu. Bagi orang asli memanglah akan marah seolah-olah menjatuhkan maruah mereka... tapi papan tanda di kuburan itu mana ada tulis si mati orang asli...makanya ... kekeliruan itulah menyebabkan isu ini diviralkan", katanya.

Beliau turut mendakwa menerima maklumat dari ahli keluarga terbabit selepas isu tersebut diviralkan dan telah memohon maaf bagi semua pihak atas kesilapan yang berlaku. "Semua pihak terutamanya mereka yang viralkan isu ini perlu memohon maaf secara terbuka kepada keluarga terbabit... soal mereka membuat laporan polis kononnya di fitnah itu hak keluarga berkenaan. Bagi saya isu ini harus di tutup demi keharmoniam kaum di negara kita. Ini bukan soal perkauman cuma kekeliruan yang tidak disengajakan", jelas beliau.

Justeru NGO Angkatan Pembela Rakyat (Angkara) menggesa semau posting terhadap isu ini dipadamkan serta merta demi menjaga imej dan maruah keluarga berkenaan. "Itulah yang terbaik dan tutup buku isu ini dari terus diviralkan..Semoga kesilapan begini tidak berlaku lagi pada masa-masa yang akan datang hendaknya", katanya. #sumber

Read more »

Angkatan Pembela Rakyat Setuju, Adnan Kekal Sebagai MB !


Angkatan Pembela Rakyat (Angkara) dengan ini menyatakan sokongan agar Menteri Besar Pahang, Dato' Sri DiRaja Adnan Yaakob dikekalkan sebagai Menteri Besar Pahang.

Ini berikutan kami melihat kepada senario politik negeri Pahang yang berlaku sekarang maka saya lebih bersetuju agar Adnan dikekalkan sebagai MB, sekurang-kurangnya menjelang Pilihanraya Umum Ke-14 nanti.

Petang tadi, kesemua ADUN Barisan Nasional Pahang telah menyatakan sokongan mereka supaya Menteri Besar Pahang itu dikekalkan. "Solidariti ADUN BN Pahang kepada DSDR Menteri Besar Pahang" telah menghantar memorandum kepada Adnan selepas itu.

Sebelum ini terdengar ura-ura Adnan akan ditukarkan sebelum PRU-14. Malah, ada "khabar angin" mengatakan satu majlis perlantikan MB baru telah diadakan di Kuala Lumpur baru-baru namun ia gagal kerana tidak mendapat perkenan pihak tertentu.

Adnan dan barisan exconya ketika itu sedang berada dalam satu majlis di luar negara. Adnan juga sebelum ini menyatakan kesediaan beliau untuk  mengudur diri dan tidak lagi bertanding pada pilihanraya umum akan datang. 

Saya merasakan adalah lebih elok Adnan di kekalkan kerana khidmat beliau masih diperlukan oleh rakyat Pahang. Walau pun Adnan dikatakan tidak berpotensi untuk memastikan kemenangan besar BN pada PRU-14 nanti, namun menukarkan beliau dengan pemimpin lain pasti akan lebih merumitkan UMNO BN sebenarnya.

Saya mengenali keperibadian Adnan sejak dari beliau menjadi exco di zaman Tun Khalil Yaakob sebagai MB Pahang lagi. Walau pun saya tidak berpeluang bersama beliau dalam perjuangan politik namun saya tetap hormatinya sebagai kawan. Dia tidak menyimpan dendam kesumat seperti orang lain. 

Dia mudah memaafkan musuh politiknya dan senantiasa bersikap terbuka menerima kritikan... Malah saya sendiri sudah banyak mengkritik pentadbiran Adnan sejak awal-awal dia menjadi MB dulu.

Adnan bukanlah seperti yang disangka, diluar memang dia nampak garang tapi dalam hati ada taman... bagi mereka yang rapat dengan beliau pasti lebih tahu mengenainya. Saya tidak nampak pemimpin lain dalam UMNO BN Pahang yang boleh menggantikan beliau buat masa ini.

Menggantikan Adnan bermakna membina jerangkap samar untuk BN pada PRU akan datang.. maka lebih baik mengekalkan beliau.

Sementara itu, Shukri turut menegaskan pasti ramai akan berkata pembangkang ada calun untuk mengantikan Adnan jika mereka berjaya menang di Pahang kali ini. Namun baginya dalam keadaan parti pembangkang yang berpecah-pecah sekarang, mereka tidak mungkin boleh menjadi sebuah kerajaan yang baik sebenarnya.

PAS dengan PKR dan DAP sudah berpecah-pecah, ditambah lagi dengan kehadiran Amanah dan Bersatu. Saya tidak nampak negeri Pahang akan tumbang jika PAS dan Pakatan Harapan tidak membentuk satu kumpulan pada PRU-14 nanti. 

Jika berlaku pertembungan tiga penjuru, pasti BN akan menyapu bersih kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), malahan juga kerusi parlimen di negeri ini.. Maka, langkah terbaik kekalkan Adnan jika tidak mahu UMNO BN itu sendiri berpecah.

Harus diingat, dalam negara kita ada pemimpin kerajaan yang lebih lama berkuasa mentadbir negara dan negeri sebelum ini seperti Tun Mahathir selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri Malaysia dan Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dekat 30 tahun memerintah Sarawak.

Maka jika dihitung bermula 25 Mei 1999, Adnan baru 17 tahun menjadi Menteri Besar Pahang.. Ramai lagi pemimpin UMNO yang lebih berumur masih berkhidmat kepada rakyat sekarang ini.

Saya juga sedar kenyataan panasnya ini akan dipandang serong oleh semua pihak. Namun, sebagai NGO bebas yang pro-rakyat beliau punyai hak untuk berkata demikian. 

Sebagai NGO saya lebih suka mempunyai hubungan rapat dengan pentadbiran kerajaan negeri agar memudahkan banyak isu rakyat dapat diselesaikan tanpa ada karenah birokrasi. 

Tambahan pula Adnan mempunyai hubungan yang cukup erat dengan istana Pahang sebenarnya. Namun semuanya terletak ditangan Perdana Menteri untuk menentukan kedudukan politik Adnan selepas ini.

MOHD SHUKRI B MOHD
RAMLI @ JAMALUDDIN

Penyelaras NGO
Angkatan Pembela Rakyat
[    A   N   G   K   A   R   A    ]
www.angkaraterjah.blogspot.my

*** Ada Isu Rakyat? Laporkan Kepada Skuad Terjah., Sila LIKE Pages Terjah https://www.facebook.com/angkatanpembelarakyat

*** Jom Bicara Isu-Isu Rakyat?. Sila Joint Group Terjah Di https://www.facebook.com/groups/angkaraterjah/

Read more »

Penganjur Cuai, Ada Satu Lagi Kes Sebelum Kejadian Di Rahsiakan !


KUANTAN: Angkatan Pembela Rakyat (Angkara) hari ini mendedahkan satu bukti kecuaian penganjur Perlumbaan Automatif dan Inovasi Pendidikan (EIMARace) 2016 di sini baru-baru ini yang gagal mendedahkan telah berlaku satu kemalangan di kawasan litar sebelum perlumbaan sebenar acara itu dijalankan keesokan harinya.  Kecuaian tersebut menyebabkan Izwan Isa, 39, dan anak perempuannya Nur Zulaikha, 4, telah maut akibat dilanggar oleh kereta go-kart yang terbabas. 

Penyelaras NGO Angkara, Mohd Shukri Mohd Ramli (foto) berkata beliau hairan dengan penjelasan yang dibuat oleh Pengarah program berkenaan Prof Madya Dr Aminudin Abu dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM)  yang mendakwa selepas sembilan kali menganjur program tersebut, tidak pernah berlaku kejadian yang tidak diingini.



Justeru menurut Shukri, beliau menggesa Dr Aminuddin supaya kerap turun padang apabila ada sesuatu perlumbaan anjuran mereka selepas ini. 


"Daripada sumber-sumber yang boleh dipercayai, kejadian sebelum hari perlumbaan (Ahad) berlaku pada (Sabtu) ketika para pelumba mengadakan latihan perlumbaan. Sebuah kenderaan telah terbabas dan melanggar barrier kosong dan kenderaan awam yang diletakkan di tepi litar.. namun difahamkan pemandu hanya cedera ringan (kaki luka) sahaja.. maun sya hairan kenapa perkara ini tidak didedahkan kepada umum dan mereka merahsikannya?", kata Shukri.


"Saya pelik, sebagai Pengarah Program kenapa Dr Aminuddin tidak tahu menahu kejadian pertama itu, sedangkan ia sudah viral di laman sosial. Malah mungkin juga ada pihak cuba merahsiakannya supaya perlumbaan sebenar keesokannya tidak dibatalkan. Sepatutnya penganjur memperbetulkan masalah yang terjadi.. wajarkan barrier kosong dan kenderaan awam diletakkan ditepi litar tanpa ada halangan?. Mereka pernahkah fikirkan aspek keselamatan pemandu.. jika bukan orang awam sekali pun?. Mungkin kemalangan maut tempohari tidak berlaku jika ia dibatalkan gara-gara kemalangan pertama itu.", tambah Shukri.

Video kemalangan yang berlaku pada Sabtu (sebelum perlumbaan)

Menurut Shukri, beliau percaya kemalangan tersebut juga disembunyikan daripada pihak Kerajaan Negeri Pahang, Tourism Pahang, Tourism Malaysia  dan Persatuan Permotoran Malaysia (MAM). Lantaran itu semua pihak terbabit tidak tahu menahu kejadian yang berlaku. Ini menyebabkan mereka sangka penganjur telah melaksanakan aspek keselamatan, sedangkan ia jelas sekali gagal  katanya.

Video kemalangan yang berlaku pada hari perlumbaan (Ahad)

"Andainya berita kemalangan pertama ini dihebahkan, maka sudah pasti MAM boleh kenal pasti puncanya dan pastikan water barrier yang dijanjikan digunakan pada hari perlumbaan sebenar. Gara-gara cuai dan tidak mementingkan aspek keselamatan akhirnya orang awam menjadi mangsa pada keesokan harinya. Maka kami menyokong keluarga mangsa failkan tindakan saman di  mahkamah terhadap kes ini.. Ia bukan sekadar takdir tetapi ada pihak yang sengaja cuai aspek keselamatan. Bayangkan jika post morten kemalangan pertama dilakukan, maka sudah pasti penambahbaikan akan dilakukan termasuk penyediaan water barrier, yang mana impaknya tidak terlalu kuat jika berlaku kemalangan", tambah Shukri lagi. #sumber

Read more »

Tragedi Go-Kart: ANGKARA Akan Buat Laporan Polis Esok !


KUANTAN: Susulan kejadian kemalangan Go-Kart yang mengorbankan nyawa dua anak beranak di Indera Mahkota Ahad lalu, NGO Angkatan Pembela Rakyat (Angkara) akan membuat satu laporan polis terhadap penganjur program EIMARace 2016.

Laporan akan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada jam 3.00 petang, pada Khamis, 29 September 2016 ini.



Menurut Penyeleras Angkara, Mohd Shukri Mohd Ramli (foto) berkata laporan polis terpaksa di buat selepas beliau melihat itulah jalan terbaik untuk membongkar segala kelemahan yang berlaku semasa acara itu berjalan baru-baru ini.


"Saya mahu keluarga mangsa terlibat terbela dan mendapat pampasan yang setimpal daripada pihak berkenaan atas kecuaian mereka. Soal alasan demi alasan yang diberikan oleh penganjur itu hak mereka. Katalah apa saja, termasuk mendakwa lokasi kejadian bukan dikhaskan kepada penonton, kawasan larangan dan sebagainya... saya mempunyai dokumen lengkap untuk mengaitkan penganjur atas kecuaian ini.. semua dokumen akan saya serahkan kepada keluarga mangsa sekiranya mereka mahu membawa kes ini ke mahkamah", kata Shukri.


Sementara itu, orang ramai yang ditemui di sini juga kecewa dengan sikap penganjur yang seolah-olah mahu "lepas tangan" dalam kes ini.

"Penganjur wajar bertanggungjawab, dua nyawa manusia sudah hilang. Maka, saya amatlah berharap keluarga mangsa mendapat pembelaan yang sewajarnya. Sikap saling memberi alasan dan menyalahkan penonton, memungkin kes ini bertambah panas dan semakin kontroversi... satu persatu maklumat panas telah diperolehi. Semua dokumen ini akan saya serahkan kepada pihak polis... Benar dakwaan sesetengah pihak bahawa polis sudah menjalankan siasatan kes ini.. namun polis hanya menyiasat insiden kemalangan maut yang berlaku dengan mengambil keterangan daripada kedua-dua belah pihak... Kami mahu keadilan di tegakkan dalam kes ini", tambah Shukri lagi.


Justeru, beliau menyeru orang ramai yang simpati, prihatin dan cakna kes ini untuk sama-sama turun ke IPD Kuantan, petang esok. Sama-sama kita beri sokongan kepada keluarga mangsa terutamanya isteri arwah yang kehilangan tempat bergantung dan anak bongsunya. "Jika kes ini dibiarkan, maka sudah pasti keluarga mangsa tidak akan mendapat pembelaan yang sewajarnya.. Saya akan serahkan bukti-bukti kukuh yang mengaitkan kesalahan penganjur tentang aspek keselamatan hingga menyebabkan mangsa terkorban", jelasnya lagi.


"Orang ramai diminta berkumpul di kawasan lapang dan parkir depan IPD Kuantan bermula jam 2.30 petang sebelum beberapa orang wakil akan bergerak ke dalam kawasan balai untuk membuat laporan polis... satu sidang media akan diadakan selepas itu", tambah beliau lagi. #sumber

Read more »

Kemalangan Maut Litar Go-Kart: Aspek Keselamatan, Penganjur Wajar Di Persalahkan !


KUANTAN: Susulan kejadian dua beranak maut  dirempuh sebuah kereta go-kart ketika menyaksikan perlumbaan sukan bermotor EIMARACE di Indera Mahkota pagi tadi, maka ramai pihak yang mempersoalkan tentang ciri-ciri keselamatan di lokasi terbabit.


Menurut Penyelaras NGO, Angkatan Pembela Rakyat (Angkara) Mohd Shukri Mohd Ramli (foto) berkata kejadian dapat dielakkan sekirannya aspek keselamatan orang awam dapat diambil berat oleh pihak penganjur.

Kereta Go Kart MMU Team Racing yang terlibat dalam kemalangan terbabit

"Saya melihat, kejadian yang berlaku begitu pantas apabila sebuah kereta go-kart tiba-tiba terbabas dan melanggar mangsa. Cuma agak hairan kenapa acara ini diadakan di atas litar seperti itu?. Tiada langsung aspek keselamatan.. hanya ada barrier  (penghadang) kosong yang digunakan. Sepatutnya, water barrier diletakkan di sekeliling litar.. agar kemalangan yang berlaku tidak mengancam nyawa penonton... ini yang ada hanya barrier kosong.. sebab itu ia membahayakan penonton", kata Shukri.


"Sekarang sudah terjadi,... bukan satu nyawa melayang.. susah pasti semua pihak akan lepas tangan termasuk penganjur sendiri.. Jika penganjur peka dan profesional, sepatutnya aspek keselamatan ini lebih utama. Benar, ini kali kedua diadakan di lokasi yang sama.. tapi malang tak berbau dan kini ada orang awam yang kehilangan ahli keluarga mereka", tambah Shukri lagi.

Hanya barrier kosong sahaja yang diletakkan penganjur di lokasi kejadian

Beliau turut mempersoalkan, penganjur gagal mematuhi keperluan kejohanan iaitu pengguna water barrier?. Walhal ia termasuk dalam senarai dan aspek yang perlu diambil berat oleh penganjur sebenarnya. Justeru, mereka tidak boleh "lepas tangan" begitu saja dalam tragedi yang berlaku ini. Lihat bukti dibawah, yang diambil dari laman web rasmi http://utm-eimarace.com/v2/2016-2/ (Track 2016).


"Jelas sekali dilokasi kemalangan (bulatan merah), tiada arahan penggunaan water barrier sebagai ciri-ciri keselamatan untuk penonton. Inilah punca utama yang menyebabkan mangsa dilanggar oleh kenderaan yang terbabas sebenarnya.. Justeru dalam kejadian ini penganjur wajar dipersalahkan kerana gagal menyediakan aspek  keselamatan secukupnya ketika perlumabaan di adakan", jelas Shukri. 


Program peringkat kebangsaan anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pahang yang diadakan sempena Tahun Melawat Pahang 2017 itu telah dibatalkan selepas kejadian kemalangan tersebut. 



"Satu persoalan yang timbul di sini ialah kenapa acara hebat ini tidak diadakan di litar G-Kart Taman Tasik Sultan Abu Bakar di Pekan?. Bukankah kerajaan yang menyediakan kemudahan untuk acara itu, tetapi kenapa ia tidak digunakan untuk kejohanan besar seperti EIMARACE?. Kenapa perlu diadakan di kawasan Taman Bandar, tempat orang beriadah?."


"Laluan kemalangan itu jelas sekali di tepi Tasik Taman Bandar, Indera Mahkota. Sepatutnya buatlah acara seperti di litar rasmi..bukannya litar pasang siap seperti sekarang.. Litar di Pekan siap ada tayar-tayar di sekelilingnya untuk menggelakkan kejadian tidak diingini... Ciri-ciri keselamatan terbaik..kenapa kerajaan bazirkan wang jutaan ringgit bina litar di Pekan tapi ia tidak digunakan dalam kejohanan gah seperti ini?. Kerajaan Negeri Pahang wajar membuat post morten kejadian ini dari aspek keselamatan seperti yang kami dedahkan ini", jelas Shukri lagi.

Litar Go Kart Pekan lebih selamat dan sesuai untuk acara sukan permotoran 

Justeru, kata Shukri ambillah ikhtibar atas kejadian seperti ini. Katanya, malang memang tidak berbau dan apa yang  berlaku adalah tragedi. Namun, jika aspek keselamatan dititikberatkan  beliau rasa kemalangan jiwa dapat dielakkan. 


"Saya ucapkan takziah kepada keluarga mangsa, semoa roh kedua-dua mangsa yang meninggal dunia itu dirahmati Allah dan ditempatkan dikalangan orang-orang beriman dan beramal soleh hendaknya. Saya juga menyarankan keluarga mangsa mengambil tindakan undang-undang di atas kecuaian ini, agar kejadian yang sama tidak berulang lagi pada masa akan datang", kata beliau. #sumber

Read more »

Projek Jalan RM35 Juta, NGO Kesal Syarikat Tempatan Di Anaktirikan !


KUANTAN: "Kenapa syarikat dari Pahang tidak diberi keutamaan untuk projek jalan di negeri sendiri?. Kenapa perlu memilih syarikat dari luar sedangkan banyak syarikat Pahang yang berwibawa dan mampu melaksanakan tanggungjawab tersebut", kata Penyelaras NGO Angkatan Pembela Rakyat (Angkara), Mohd Shukri Mohd Ramli (foto) ketika dihubungi PDO pagi tadi.

Semalam, surat tawaran kerja terima tender "Kontrak Jangka Panjang Penyelenggaraan Jalan Kampung Dan Jalan Luar Bandar Dan Kerja-Kerja Berkaitan Di Seluruh Negeri Pahang Darul Makmur" kepada syarikat Muhibbah Bina Sdn Bhd dari Ipoh, Perak telah viral di media sosial. 


Orang ramai mempertikaikan tindakan JKR Negeri Pahang memilih kontraktor luar untuk melaksanakan projek bernilai RM35 juta itu.  Menurut Shukri lagi, beliau tidak kisah jika kontraktor yang mendapat projek tersebut adalah "anak jati Pahang", masalahnya dari Ipoh, Perak. 


"Syarikat yang mendapat projek ini pula dipercayai mempunyai  masalah dengan CTOS berdasarkan semakan yang dibuat oleh orang ramai di internet (foto). Bahkan, carian di dalam google search juga hanya mendapati dua perkara saja tentang syarikat terbabit iaitu hal CTOS dan Malaysia Business Directory... tiada laman web rasmi syarikat dijumpai... tiada carian yang menggambarkan syarikat ini berpengalaman luas dalam bidang terbabit... mana mungkin projek RM35 juta diberikan kepada sebuah syarikat sebegini?", tambah Shukri lagi.



"Saya simpati dengan nasib kontraktor tempatan yang seringkali "dianaktirikan" dalam pengagihan projek-projek besar di negeri ini. Sedangkan mereka juga berupaya melaksanakan tanggungjawab tersebut. Kerajaan Negeri Pahang  harus memainkan peranan serius dalam membantu kontraktor negeri ini. Mereka juga perlukan projek untuk menanggung kos operasi. Malah, banyak kontraktor kelas F yang terpaksa gulung tikar akibat perkara sebegini.. mereka terpaksa mengambil kerja dengan harga yang mahal melalui kontraktor utama... inikan pula kontraktor dari luar Pahang... Bantulah kontraktor tempatan untuk hidup... ", katanya. #sumber

Read more »

Abadikan Nama "Tun Razak" Pada Jalan Utama Di Kuantan


Kenapa nama Allahyarham Tun Abdul Razak langsung tidak diabadikan pada jalan-jalan utama di bandar ini?.  Beliau adalah anak jati negeri Pahang yang pernah mengharumkan nama negeri ini.. malah jasanya saya kira lebih besar dari jasa-jasa pemimpin lain yang nama mereka tertera pada nama jalan sekarang ini.


Selaras dengan sambutan Hari Malaysia esok, tanggal 16 September 2016 maka kami mencadangkan supaya Kerajaan Negeri Pahang mewujudkan nama "Jalan Tun Razak" di bandar ini. 

Tun Abdul Razak lebih dikenali sebagai Bapa Pembangunan Malaysia oleh rakyat yang menyanjunginya kerana jasa dan sumbangan beliau untuk kemakmuran dan kemajuan rakyat serta negara Malaysia. Beliau dilahirkan di Pulau Keladi, Pekan, Pahang pada tanggal 11 Mac 1922. 

Tun Razak merupakan anak sulung kepada Dato' Hussein bin Mohd Taib dan Hajah Teh Fatimah bt Daud. Beliau telah dilantik untuk menggantikan Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-2 pada tahun 1971. 


Sepanjang perkhidmatannya sebagai anggota kerajaan, beliau telah banyak memberikan sumbangan khasnya dalam pembangunan negara dan luar bandar. Beliau meninggal dunia sewaktu masih berkhidmat sebagai Perdana Menteri pada 14 Januari 1976.

Jasa Tun Razak tidak perlu diragui lagi. Bahkan di negara kita banyak jalan-jalan utama mengabadikan nama beliau seperti Jalan Tun Razak di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru, Ipoh, Melaka, Kangar, Kuching dan sebagainya. Malah, bandar-bandar kecil seperti Kuala Kangsar dan Bintulu. Di Pahang, Jalan Tun Razak hanya ada di Raub sahaja sebaliknya di ibu negeri Pahang sendiri iaitu Kuantan tiada langsung diabadikan nama pemimpin negara itu sejak sekian lama.


Saya mengesyorkan jalan utama di bandar Kuantan iaitu "Jalan Mahkota" atau pun "Jalan Besar" ditukarkan namanya kepada Jalan Tun Razak sempena Hari Malaysia ini. Dua jalan itu agak sesuai ditukar kerana ia tidak membabitkan nama mana-mana pemimpin negara atau negeri berbanding Jalan Tun Ismail, Jalan Wong Ah Jang, Jalan Lim Hoe Lek dan sebagainya. 


Apapun, ia sekadar cadangan  kami semata-mata dan terpulang kepada Kerajaan Negeri Pahang untuk memikirkannya. Saya kira idea ini amat bagus, tambahan pula Perdana Menteri yang ada sekarang juga adalah anak kepada Tun Razak. Maka ia pasti dipersetujui dan disokong oleh Dato' Sri Najib Tun Razak sendiri sebenarnya. Mana mungkin Jalan Tun Razak boleh tersergam indah di tempat lain, tapi tidak di negeri Pahang sendiri. #CMK

Read more »