SELAMAT DATANG | TERIMA KASIH KERANA BERKUNJUNG KE BLOG INI, SILA DATANG LAGI
@ybterjah

PDF Lynas: Usahlah Terus Mainkan Rakyat Dengan Sentimen Takut Mati Kerana Radiasi, Walhal Demu Undi !

Ada orang cakap, aku tak layak untuk bicara soal Lynas sebab aku bukan wakil rakyat atau YB.  Tapi mereka lupa, aku ini antara orang terawal yang jadi aktivis anti Lynas bersama rakan-rakan yang lain. Aku pernah ditangkap, dilokap, dibelasah, dihenyak oleh pihak tertentu kerana begitu emosi dalam perjuangan menentang projek Lynas. 

Pantang adanya himpunan anti Lynas baik di Kuantan, atau pun di Kuala Lumpur pasti aku akan pergi untuk berdemontrasi secara haram. Macam-macam  yang aku rasa dek tindakan pihak berkuasa termasuk dipukul, diketuk malah disembur gas pemedih mata dan water canon oleh FRU dulu. Tapi hari ini yang menikmati kemenangan bukan aku tapi orang lain. Mereka yang dulu tidak pernah hadapi penderitaan sebegini, kini menikmati keseronokan dengan habuan dan jawatan.

Aku masih ingat, pernah satu ketika nyawa aku hampir melayang gara-gara mengikut arahan 'dia' yang menyuruh aku mendengar taklimat Lynas di rumah pemimpin besar kerajaan. Aku diarahkan menjadi 'spy' untuk mendengar dan dapatkan maklumat tentang taklimat itu.

'Dia'  tiada, tapi aku pergi sendirian dengan harapan orang ramai tidak perasan. Namun, kekecohan berlaku, orang ramai sedar kehadiran aku dan mula cuba mengambil tindakan. Nasib aku bagaikan telur dihujung tanduk, gara-gara 'dia' yang bagi arahan. Aku akur dengan arahan kerana merasa berada di pihak yang benar.

Mujurlah ada pihak selamatkan aku, sedangkan dia bersenang-lenang di atas tilam empuk di rumahnya. Aku mengadu pada dia nasibku, dia gelakkan saja. Aku sanggup jadi 'balaci' kerana taksub dengan perjuangan 'dia' ketika itu.

Banyak kali aku terancam setiap kali himounan anti Lynas dijalankan. Aku antara orang yang banyak membakar sentimen anti Lynas demi memburukkan kerajaan dan memastikan rakyat menolak melalui undi pilihanraya. Aku bangga dengan apa yang aku lakukan. 'Dia'  pula jadi gembira sebab ada orang-orang macam aku yang 'hardcore' dalam perjuangan anti Lynas. 

Selepas lebih lebih 10 tahun berjuang, aku akhirnya tercampak keluar dari kumpulan itu. Aku umpama 'kain buruk'. Jasa dan segala pengorbanan ku bantu buat provokasi hingga mereka berjaya capai kemenangan langsung tidak dikenang hingga hari ini. Aku umpama 'melukut di tepi gantang'. Seolah-olah aku ini tidak wujud dalam hidup mereka.

Walhal beribu-ribu tulisan 'panas'  aku termasuk isu Lynas menyebabkan rakyat berubah arah untuk menolak kerajaan sedia ada dan menyokong mereka. Usahkan nak bertanya khabar, hidup atau tidak aku langsung tiada dalam kamus 'dia' dan mereka sebenarnya. Aku pasrah, sebab ini adalah adat seorang pejuang. 

Namun, dalam perjuangan anti Lynas aku sangka mereka itu jujur berjuang. Tetapi selepas mereka menang dan jadi kerajaan, maka irama dan lagunya agak 'kendur' dan 'perlahan' selama 22 bulan. Termasuk juga 'dia', nada sudah agak berlainan dan 'intonasinya' agak 'lembut' dan 'mesra'. Tidak seperti ketika jadi pembangkang dulu. Tiada lagi dilihat himpunan bantahan anti Lynas yang dianjurkan oleh mana-mana pihak secara besar-besaran.

Jika ada pun, sekadar kecil-kecilan di pintu masuk parlimen. Itu pun beberapa kerat warga Kuantan kaum Tionghua yang diberi makan dan diangkut dengan bas ke sana. Bukan lagi atas dasar sukarela kerana faham dengan apa yang diperjuangkan. Kewujudan kilang Lynas seolah-olah tiada masalah lagi bagi mereka. Tetapi, akibat provakasi dan mainan politik 'membakar' jiwa mereka, maka sanggup ikut serta agar rakyat nampak kononnya isu ini masih hangat dan terus diperjuangankan.

Aku bukan tak tahu, NGO anti Lynas yang ditubuhkan banyak dapat dana disumbang oleh peniaga dalam bandar Kuantan. Mereka ada dana yang banyak, tapi bila ada pihak yang bersuara bertanyakan jumlah dana, orang itu akan diterajang. Hanya 'dia' dan beberapa kerat 'proksi' sahaja yang perlu tahu duit yang ada.

Orang yang bagi maklumat kat aku sudah cerita segalanya dulu. Cuma aku tak dedahkan sebab sayangkan perjuangan. Mereka guna NGO untuk kutip duit yang banyak, dengan membakar sentimen kononnya kena lawan Lynas sebab radiasi daripada nadir bumi itu akan mencacatkan manusia, malah boleh membunuh. Kena lawan bermati-matian. 

Anehnya, bila sudah dapat kuasa semua pejuang bersetuju dengan langkah yang dibuat oleh kerajaan iaitu benarkan Lynas terus beroperasi. Kononnya kerana pelaburan berbilion oleh Lynas Corporation dari Australia di Gebeng. Jika tutup kilang Lynas, takut nanti pelabur lain takut dan lari dari negara ini. Tiada lagi bunyi suara nyaring menentang Lynas. Isu ini seolah-olah terkubur begitu sahaja. Rakyat Kuantan sudah lupa dengan cerita radiaisi Lynas. Malah, 'dia' juga mula menyepi. Cuma sesekali bersuara agar rakyat nampak masih konsisten dengan perjuangan. Walhal, dalam kabinet aku rasa 'dia' pun 'terdiam menikus'. 

Selepas lebih 10 tahun aku tiada dengar adanya orang Kuantan yang mati kena radiasi dr Lynas. Malah ramai warga Kuantan berkerja di kilang terbabit termasuk yg rapat dengan pejuang anti Lynas itu sendiri. Tiba2 mutakhir ini isu Lynas kembali panas bila Malaysiakini mainkan soal projek Pelupusan  Kekal (Permanent Disposal Facility, PDF) di Bukit Ketam (lokasi sempadan Pahang / Terengganu). Mulalah ada pemimpin yang sekian lama sepi dengan isu Lynas itu bangkit semula bersuara, memainkan isu ini.

Apakah isu Lynas ini hanya laku setiap kali ada pilihanraya umum sahaja? Di waktu lain, isu ini seolah-olah dipinggirkan oleh mereka. Aku tahu ada pejuang berstatus menteri dan timbalan menteri termasuklah 'dia' mendakwa ada bersuara. Tapi isunya kenapa tidak selantang ketika jadi pembangkang. Sepatutnya bila fah jadi kerajaan lagilah mudah untuk buat tindakan. Namun ia tidak berlaku, aku hairan. 

Aku tahu 'dia' ada bersuara keluarkan kenyataan pasal projek Pelupusan  Kekal (Permanent Disposal Facility, PDF) Lynas ketika itu. Namun nadanya agak 'sentimental' dan 'berhati-hati', maklumlah ketika itu kerajaan yang 'dia' sokong menjadi pemerintah. Jika kuat sangat berbunyi, takut pula nanti jadi hilang jawatan. Maka, bunyi sikit-sikit dalam media sosial sahaja. Itu pun antara ada dengan tak ada nadanya. Himpunan? memang takkan adalah sebab nanti pucuk pimpinan akan marah dan anggap menentang kerajaan. 

Tapi kini, menjelang PRU-15 maka berbunyilah mereka termasuk 'dia' ini dengan bangganya  pertikaikan segala-galanya berkaitan Lynas termasuk PDF yang telah diluluskan oleh kerajaan di Bukit Ketam. Mereka mula main isu dengan dibantu oleh portal Malaysiakini. Pelik, bukan Lynas yang diserang kali ini tetapi Gading Sengara Sdn Bhd (GSSB) ialah syarikat yang dilantik sebagai kontraktor bagi menguruskan kesemua projek Pelupusan  Kekal (Permanent Disposal Facility, PDF) di Bukit Ketam bagi sisa penulenan air larut lesap (WLP) daripada kilang nadir bumi  Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) itu. 

'Dia' pun tahu Lynas Malaysia telah melantik GSSB sebagai kontraktor bagi menguruskan kesemua projek PDF termasuk rekaan, pembinaan dan operasinya di Bukit Ketam.

GSSB ialah ahli Kumpulan Syarikat Gading yang mana perniagaannya termasuk aeroangkasa, pertahanan, maritim, pembangunan, pembinaan, komoditi tenaga, dagangan, minyak dan gas.

GSSB juga merupakan pemegang konsesi yang dilantik oleh kerajaan dengan lesen untuk pelupusan sisa industri bagi kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia.

Mereka kaitkan pula kerabat raja dibelakang GSSB dan seorang pemimpin UMNO bahagian.  Nama institusi raja Pahang cuba diburukkan agar rakyat membencinya. Namun, bagi tidak mahu membuatkan mereka terus kecewa dan menyerang, kedua-dua pihak terbabit telah mengumumkan menarik diri dan melepaskan kepentingan mereka dalam GSSB baru-baru ini. 

Apa pun, pasti akan ada lagi alasan lain yang direka cipta untuk memastikan rakyat marhaen termakan dengan provokasi mereka kali ini. Sebelum ini mereka mainkan sentimen aliran anak sungai menjadi sumber bekalan air berdekatan dengan lokasi PDF. Ia dinafikan oleh Kerajaan Negeri Pahang di sidang DUN Pahang. Kini kontraktor terbabit pula pasti akan diserang bertalu-talu bagi memastikan perjuangan mereka berjaya. Apa yang pasti, isu  ini hangat kembali menjelang pilihanraya umum ke-15 tidak lama lagi gamaknya. 

Walhal masa jadi kerajaan tidak berani nak bersuara lantang. Mulalah dedahkn syarikat kontraktor ada kaitan dengan kerabat dan bagai-bagai lagi. Mula mainkan sentimen takut-takutkan rakyat Kuantan konon di Bukit Ketam ada aliran sungai yang akan bahayakan sumber air warga Kuantan. Sama macam dulu juga, diawal perjuangan Lynas pada 2010. 

Bagi aku macam kata Awie Wings, "ini semua poyo!!". Sentimen persepsi, provokasi dan juga spekulasi menakutkan rakyat mula dimainkan.  Bila rakyat takut, murahlah pancing undi untuk menang pilihanraya. Inilah yang berlaku pada sesetangah orang-orang tua kita dulu. Gemar takutkan anak-anak dengan" gelap ada hantu" dan "kubur ada hantu". Hingga anak-anak jadi takut sampai besar. Sampai nak pegi kubur pun takut sebab terbayang ada hantu. Bergelap jer sikit, takut sebab ada hantu. Akhirnya kita jadi hidup dalam ketakutan pada bayang-bayang sendiri sejak dulu, kini dan selama-lamanya.

Samalah dalam isu nadir bumi Lynas, radiasi dan lain-lain lagi. Rakyat ditakut-takutkan oleh mereka yang mencari kepentingan untuk raih sokongan. Aku tidak berpihak kepada sesiapa, namun sebagai aktivis bebas aku harapkan hentikanlah semua ini. Kita mahu memandang ke hadapan dan melihat masa depan. Aku pun dah jemu dengan mainan persepsi yang buatkn kita tidur tak lena gara-gara takutkan radiasi kilang Lynas di Gebeng dulu. Namun sehingga kini kita masih mampu hidup menghidu udara segar di atas muka bumi Allah ini. Justeru usah terus memomokkan rakyat dengan sesuatu benda yang terkadang bercakap atas dasar politik dan emosi. Ubahlah demi masa depan.

MOHD SHUKRI B MOHD

RAMLI @ JAMALUDDIN

[ Blogger Cucumatkikau ] 


http://cucumatkilau.blogspot.com/2011/05/cmk-sertai-himpunan-rakyat-bantah-lynas.html?m=1

Read more »

Covid-19 Masih Merebak, Apa Rasional Kerajaan Benarkan Premis Pun Dan Kelab Malam Beroperasi ?

 

Saya sungguh terkejut bila mendapat info dari sahabat yang mengatakan kerajaan telah membenar pengusaha-pengusaha kelab malam dan pub meneruskan operasi sehingga pukul 10 malam.

Menurut Prosedur Operasi Standard (SOP) kemakini 4 Februari 2021 yang dipapar dalam laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN), pengusaha-pengusaha pub dan kelab malam dibenar beroperasi dari pukul 6 pagi sehingga 10malam. Klik link untuk melihat bukti https://www.mkn.gov.my/web/ms/sop-pkp-pemulihan/

Walau bagaimanapun, kebenaran ini tertakluk kepada beberapa syarat.Di antaranya penjualan makanan hanya dibenarkan secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran.

Prosedur Operasi Standard (SOP) ini telah dikemaskini pada 4 Februari 2021, susulan sidang media Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Namun sebagai rakyat marhaen, apa asasnya kerajaan perlu membenarkan aktiviti perniagaan terbabit beroperasi. Sedangkan dalam keadaan sebelum ini pun bersepah premis terbabit beroperasi secara haram terutamanya di bandar-bandar besar.

Amatlah tidak logik dan masuk dek akal ada syarat penjualan makanan hanya dibenarkan secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran. Kerajaan perlu ingat, premis ini bukan restoran biasa-biasa, ia tempat orang ramai berpoya-poya sebenarnya.

Pelanggan yang datang juga ramai terdiri dari bangsa kita yang mengambil peluang "release tension" sambil bergaul bebas lelaki perempuan dan meneguk minuman keras. Ini adalah norma biasa bagi premis hiburan seperti itu sebenarnya. Membenarkan ia dibuka hingga jam 10.00 malam seolah-olah kerajaan memberi laluan dan membuka semula "pintu maksiat" yang sudah lama tertutup rapat.

Malahan, premis seperti itu bukanlah isu yang mendesak dan diperlukan oleh majoriti rakyat. Hanya orang tertentu sahaja berkunjung ke lokasi terbabit sebenarnya. Adalah lebih baik kerajaan juga benarkan orang awam makan di premia restoran, kedai makan, cafe dan lain-lain premis dengan syarat yang ketat.

Ia lebih elok dari membenarkan premis yang tidak sepatutnya beroperasi seperti itu. Jangan mengundang bala Allah ketika pandemik Covid-19 masih berleluasa sekarang ini. Seeloknya aktiviti premis seperti itu dihentikan dulu sekarang malah sampai bila-bila. Kerana ia langsung tidak mendatangkan kebaikan untuk rakyat marhaen dulu, kini dan selamanya.

Apakah rasional kerajaan benarkan premis hiburan pub dan kelab malam membuka perniagaan dari jam 6.00 pagi hingga 10.00 malam? Apakah kerajaan terfikir aktivitinya sama seperti perniagaan biasa? Janganlah ulangi kesilapan yang disengajakan seperti ini. 

Read more »

Gara-Gara Ekonomi Keluar Mendesak, Kerajaan Di Gesa Mudahkan Urusan COD Demi Kelangsungan Hidup Di Musim PKP !

Sedih rasanya, saya mndapat aduan dari seorang suri rumah bertanya apalah nasib mereka yang mencari rezeki membantu ekonomi keluarga di musim PKP sekarang ini. Jika dulu pihak PBT (Majlis Perbandaran Kuantan) mudahkn urusan pengeluaran permit untuk COD. Tapi disebabkn ada yang ambil kesempatan, PBT kini berhati2 untuk mengelakkan perkara yang tidak dingini. 

Tapi permit masih lagi dikeluarkan PBT, namun masing2 terpaksa uruskan diri sendiri dengan syarat tidak keluar daerah atau dlm lingkungan 10 kilometer.  Selebihnya mereka kenalah ada surat polis. Akibat bermacam-macam permit, PBT dan PDRM inilah maka ramai usahawan yang menjalankan urusan COD akhirnya buat dulu kerana bisnes mereka juga tidak berkala. Malah mereka takut permit itu tidak diluluskan sebab terlalu ramai yang buat COD di Kuantan. 

Kerajaan sepatutnya berikanlah sedikit ruang kelonggaran kepada mereka yg keluar rumah untuk buat COD dengan syarat mematuhi SOP ditetapkan. Dlm kes yg ditularkan ini, seorang mangsa telah dikenakn denda RM1, 000 pada jam 6.30 petang 6 Feb 2021 yg lalu di hadapan Pondok Polis Permatang Badak dekat Kuantan. 

Bayangkan, hanya nak mencari rezeki tambahn dengan COD makanan kpd pelanggan mereka terpaksa berhadapan dengan hukuman yang cukup membebankan. Mereka bukannya keluar rumah saja2 nak "jalan-jalan makan angin" tapi desakan hidup untuk membangunkan ekonomi seperti yg digalakkan oleh kerajaan. Jika begini hukuman yang diterima, apakah kerajaan mahu rakyat yang terbeban dgn pandemik Covid-19 sekarang ini harus biarkan "dapur tak berasap".

Mereka yang buat COD ini pula ramai diantara mereka tidak mendapat apa-apa bantuan drpd pihak kerajaan sebenarnya. Justeru, beri sedikit pertimbangan terutamanya disiang hari. Usah terlalu menekan rakyat sedangkan mereka yg buat COD ini kebanyakannya ialah suri rumah yang  berniaga kecil-kecilan. Jika pasar malam, kedai gunting dan car wash boleh dibuka dgn bersyarat, kenapalah urusan COD disulitkan?? 

Mereka yg buat COD ini bukanlah orang senang dan mempunyai pendapatan tetap. Majoritinya terpaksa mencari rezeki begitu selepas punca pendapatan keluarga terjejas. Mereka tak dpat i-Sinar dan bantuan lain. Mereka bukan warga asing yang perlu terus dihukum RM1, 000 atas keuntungan harian pun yg tak sampai RM100.  Kasihanilah rakyat marhaen, guna budi bicara dan pertimbangan sewajarnya demi keadilan.  Besar manakah dosa mereka hingga tidak ada langsung belas ehsan terhadap suri rumah yg nak menjalankan aktiviti COD ini gamaknya? 

Mohon pihak berkuasa memahami situasi dan jangan terlalu menghukum atas kesalahan yg  mendesak seperti ini. Ada kes, ketua keluarga (suami) diberhentikan kerja dan desakan COD hanyalah jalan terbaik tambah rezeki waktu ini. Mohon perkara ini dapatlah dipertimbangkan.

#caknademirakyat #suararakyatsuarakeramat

Read more »