Mutakhir ini, isu Biro Tata Negara semakin hangat diperkatakan. Ia berikutan tindakan Kerajaan Negeri Selangor mengeluarkan arahan pelajar dari IPT dan kakitangan kerajaan negeri tidak lagi dibenarkan menyertai kursus anjuran BTN. Banyak pandangan yang telah dibuat oleh beberapa orang pemimpin Pakatan Rakyat, terutamanya mereka yang telah menyertai program ini ketika belajar dan bekerja kerajaan satu ketika dulu. Ternyata, BTN banyak menimbulkan kontroversi dikalangan mereka yang pernah menyertainya dulu. Semangat "cintakan negara" yang mahu ditanamkan kepada peserta akhirnya bertukar menjadi propaganda UMNO dan Barisan Nasional itu sendiri. Selain api perkauman yang dimainakan, terkini BTN lebih menjurus kepada meyakinkan peserta tentang isu ketuanan Melayu, PKR Agen Yahudi, DAP Proksi Singapura dan PAS Parti Ajaran Sesat. Lantaran itulah tindakan Kerajaan Negeri Selangor melarang perkara ini amatlah munasabah sekali, dalam usaha menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negeri itu. Dalam satu kenyataan di Pagoh hari ini, TPM Muhyiddin mengatakan bahawa Kursus BTN tidak bertujuan untuk membawa peserta kepada Umno dan Barisan Nasional. Ia tidak mempunyai niat yang jahat dan ia mempunyai tujuan-tujuan yang baik. Kenyataan Muhyiddin itu jelas untuk menutup kelemahan yang ada sebenarnya. Ini kerana peserta yang hadir itu, bukanlah majoriti mereka yang menyokong UMNO dan BN.
Aktiviti senaman dan riadah hanya penghias agenda tersembunyi
kerajaan UMNO dan BN menerusi program BTN sebenarnya
Kenyataan Pengerusi GPMS Wajar Disanggah
Kenyataan Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) negeri, Mohd Faizal Mohd Salleh (foto), kononnya tindakan kerajaan Selangor melarang pelajar dari institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri menyertai kursus anjuran Biro Tata Negara (BTN) telah menyekat kebebasan pelajar dan tidak mendokong prinsip demokrasi. Beliau berkata kerajaan Selangor yang kononnya menyokong demokrasi sepatutnya membenarkan pelajar untuk duduk mendengar pula dari pihak yang lain. "Jangan heret mereka ke kancah politik," katanya dalam satu kenyataan hari ini ekoran pengumuman mengenai larangan itu yang dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor Dr Halimah Ali semalam. Menurut Faizal lagi "Salah satu fungsi BTN adalah untuk menerangkan dasar- dasar kerajaan. Adakah pelajar-pelajar di bawah kerajaan negeri seperti Universiti Industri Selangor (Unisel), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Kolej Antarabangsa INPENS tidak berhak tahu mengenai dasar-dasar kerajaan?" kata Mohd Faizal. Katanya beliau pernah mengikuti kursus Biro Tata Negara (BTN) dan berterima kasih kepada biro itu kerana membantu membangunkan dirinya menjadi warga negara yang baik. "Bagi saya, mereka yang tidak berterima kasih bukanlah warganegara yang baik," kata Mohd Faizal. Kenyataan Faizal ini jelas sekali melambangkan betapa dangkal dan jumudnya minda anak muda ini. Umum mengetahui bahawa Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) sebenarnya dimonopoli oleh pemimpin-pemimpin UMNO dan Barisan Nasional. Maka itu, kita tidak hairan pabila Faizal mengeluarkan kenyataan sedemikian, kerana beliau mungkin salah seorang darinya.Biro Tata Negara Itu Wajar Dimansuhkan
Bagi kami, Kerajaan Negeri Selangor bukan sahaja perlu melarang kakitangan kerajaan dan pelajar negeri ini menyertainya, malah program Biro Tata Negara itu sendiri wajar dimansuhkan sebenarnya. Jika tidak, maka semakin ramai rakyat Malaysia terutamannya golongan muda yang akan rosak minda mereka akibat dihenyak bertubi-tubi oleh fasilator Biro Tata Negara yang dilatih khas untuk memesongkan minda mereka. Pada pandangan kami, program BTN memang tidak ada matlamatnya melainkan untuk memecah belahkan rakyat Malaysia semata-mata. Ada banyak bukti-bukti kukuh tentang konsep yang diamalkan dalam program BTN itu jelas sekali bertentangan dengan semangat demokrasi berbilang kaum di negara ini. Sebelum ini, pemimpin parti kaum Cina terbesar di negara ini iaitu MCA pernah mempertikaikan peruntukan besar dalam setiap kali pembentangan Bajet yang diberikan oleh kerajaan kepada program itu.

Tanam Sentimen Perkauman Kepada Peserta
Awalnya hanya bangsa Melayu yang dibenarkan hadir kursus BTN
Maka senanglah dimainkan sentimen perkauman itu sebenarnya
Tanamkan Sikap Benci Parti Pembangkang
[Dengan pendedahan ini, maka terbuktilah kepada kita bahawa Program Biro Tata Negara (BTN) adalah satu program yang lebih menjurus kepada kepentingan kerajaan UMNO dan Barisan Nasional itu sendiri sebenarnya. Biar apa pun alasan yang diberikan oleh pemimpin politik atau NGO yang berpaksikan UMNO seperti GPMS, namun bagi sebilangan besar peserta yang terlibat dan mempunyai semangat perjuangan untuk membela rakyat, ternyata program ini tidak wajar diteruskan dan harus dimansuhkan sama sekali. Ia ternyata satu agenda tersirat kerajaan untuk memastikan rakyat terus menyokong mereka buat selamanya. Malah, BTN juga dijadikan landasan utama untuk kerajaan memastikan sokongan yang diterima daripada rakyat itu sendiri. Mansuhkan BTN, jika mahu keharmonian dikekalkan. Artikel ini mungkin mengundang kemarahan sesetengah pihak, namun kebenaran harus ditegakkan jua akhirnya].






