SELAMAT DATANG | TERIMA KASIH KERANA BERKUNJUNG KE BLOG INI, SILA DATANG LAGI
@ybterjah

Kes Saman RM1 Juta CMK vs Kerajaan Pahang, Jalan Perdamaian Lebih Baik Daripada Terus Berlawan !

  

Hari ini tanggal 7 Ramadan, dihari baik bulan baik ini saya telah meluangkan masa hadir ke Mahkamah Tinggi Temerloh untuk mendengar pengurusan kes saman RM1 juta saya oleh Kerajaan Pahang terhadap isu banjir lumpur di Bentong pada Disember 2021 lalu. 

Walau pun agak keletihan terpaksa memandu seorang diri dari Kuantan ke Temerloh, namun saya gagahi juga sebagai tanda komitmen terhadap kes ini. Lagi pun peguambela saya dari The Law Office Of Mohd Harris, Raub menarik diri pada 13 Februari lalu. 

Peguam menarik diri atas alasan saya tidak membayar kos, sedangkan dia berjanji untuk beri komisyen kerana saya perkenalkan client juga seorang aktivis yang disaman dalam kes ini. 

Peguam juga mengatakan perbualan terakhir saya dengan beliau pada Julai 2022, sedangkan saya ada bukti kami berhubung melalui whatsapp pada Disember 2022, dia suruh saya deal dengan Kerajaan Pahang agar tarik balik kes ini. 

Saya ada kumpul dana tapi masih belum mencukupi untuk bayar kos guaman. Malah ada meminta nombor akaun untuk buat pembayaran, tapi tidak mendapat sebarang jawapan. 

Lagi pun beliau (peguam) adalah sahabat saya ketika bersama dalam Pakatan Rakyat dulu, dia kuat PAS saya dengan PKR. Tapi kami selalu bertemu dan dia pernah ambil kes rumah saya suatu ketika dulu. 

Apa boleh buat, bila peguam tarik diri terpaksalah saya cari peguam baru. Namun ramai yang takut ambil kes lawan Kerajaan Pahang. Tambahan pula bagi yang ada komitmen guaman dengan kerajaan. Ada pula yang kenakan kos yang terlalu tinggi.

Sebab itulah saya buat keputusan teruskan kes tanpa peguambela. Saya sendiri akan sediakan dokumen pliding mahkamah yang berkaitan. Saya pernah lakukan 10 tahun lalu, dua peguam tarik diri dan saya membela diri sendiri dihadapan hakim Dato' Marina Yusof di Mahkamah Tinggi Kuantan ketika itu. 

Dalam kes hari ini saya maklumkan kepada hakim bahawa saya tiada peguam dan terpakda membela diri sendiri. Dua peguam Kerajaan Pahang, diwakilkan oleh Hidayah Ishak & Partners telah bertemu saya sebelum kes berjalan. 

Turut menenami saya di mahkamah hari ini ialah sahabat Tuan Hj Ahmad Shuhor Awang pemimpin Amanah Maran, selaku bekas calon PH bagi Parlimen Maran pada PRU-15 lalu. 

Hakim menetapkan sebutan semula kes pada 21 Jun 2023 dan tarikh perbicaraan selama lima hari bermula pada 18 hingga 22 Disember 2023. 

Saya sedia membela diri sendiri jika kes ini terus berjalan, sebab saya tahu apa yang telah saya lakukan. Malah saya berada di lokasi pada hari kedua kejadian banjir yang meragut enam nyawa di jambatan Sungai Telemong. 

Sebab itulah saya terpaksa lawan sendiri jika tiada peguam yang sudi membela. Apa boleh buat, dah nasib badan. Kalah kes ini pun saya tetap menang dihati rakyat sebenarnya. 

Belum pernah ada mana-mana kerajaan yang menghalang rakyat bersuara tentang berbagai isu. Fuziah Salleh, bekas Ahli Parlimen Kuantan bersuara isu Lynas. Beberapa kali mengadakan himpunan secara besar-besaran itu pun tidak disaman oleh kerajaan. Inilah kebebasan bersuara dalam negara demokrasi. 

Tapi, kami yang hanya nyatakan apa yang kami lihat depan mata tiba-tiba kena saman jutaan ringgit. Itu pun hanya buat posting di media sosial sahaja. Bertanya soalan dan minta jawapan daripada kerajaan. 

Apa pun, saya berharap Kerajaan Pahang akan menarik balik kes ini dan membuat penyelesaian di luar mahkamah. Itu yang terbaik pada masa ini. Tambahan pula hubungan peribadi saya dengan Kerajaan Pahang termasuk Menteri Besar kini semakin baik sebenarnya. Ini yang amat memusykilkan semua pihak. 

Saya baik dengan kerajaan di luar, tapi dalam mahkamah saya terpaksa lawan Kerajaan Pahang untuk pertahankan diri. Jika saya tak lawan, saya akan kalah dan kena hukum bayar saman RM1 juta. Jika gagal, saya boleh kena tindakan undang-undang termasuk muflis seumur hidup. Saya dah sedia berhadapan dengan situasi ini. 

Sempena hari baik bulan baik, elok kedua-dua pihak berdamai secara terbuka. Bukan dengan saya sahaja, malahan dengan tiga lagi aktivis yang turut menerima nasib yamg sama. 

Banyak kerjasama boleh dilakukan untuk memastikan kelestarian alam di bumi Pahang ini tidak dicemarkan oleh pihak-pihak yang  tidak bertanggung jawab sebenarnya. Daripada terus berbalah, elok berdamai dan berkerjasama. 

Moga dipermudahkan urusan ini hendaknya. Bukan saya takut tindakan undang-undang, tapi saya berdoa agar jalan perdamaian itu yang lebih utama dan lebih menguntungkan semua pihak pada masa akan datang. 

Salam perjuangan untuk semua ~ CMK


Read more »

Syabas Dan Tahniah Kepada Dua Calon Pilihan Yang Menang Pada Pemilihan UMNO Baru-Baru Ini

Pertamanya sempena bulan Ramadan Al-Mubarak ini, saya mengambil kesempatan untuk ucapkan selamat berpuasa kepada muslimin dan muslimat semua. Moga beroleh pahala dan keberkatan daripada Allah SWT.

Saya juga nak ucapkan syabas dan tahniah kepada calon pemilihan UMNO yang menang baru-baru ini.

Saya kempen secara agreasif untuk dua calon yang bertanding iaitu Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Hj Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua UMNO Bahagian Maran, Dato' Sri Shahaniza Shamsuddin. 

Rasa puas bila melihat DS Wan Rosdy menang jawatan Naib Presiden UMNO, manakala DS Shahaniza menang Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Moga kememangan yang dicapai dapat digunakan sebaiknya untuk memulihkan kembali kepercayaan rakyat terutamanya orang muda kepada UMNO Barisan Nasional pada pilihan raya akan datang. 

Selamat menjalankan tugas kepada mereka berdua. Saya perhatikan dari jauh sahaja kerana saya bukanlah sesiapa di sisi mereka. Cuma, saya bantu atas dasar kedua-duanya adalah pilihan untuk menang dari bumi Pahang.

Syabas juga buat calon Timbalan Pengerusi Tetap, Dato' Sri Abd Fattah Abdullah yang turut menang, Dato' Sri Abdul Rahman Mohamad dan Dato' Sri Mohd Sharkar Shamsuddin yang menang jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Ternyata Pahang memang hebat, ada lima pemimpin besar yang berada dalam saf kepimpinan UMNO pusat untuk sesi 2023-2026. Selamat maju jaya semua. 

Read more »

Kerajaan Perlu Batalkan Permit Warga Asing Guna Nama Wanita Tempatan Untuk Buka Premis Perniagaan Di Negara Ini !

 

Isu lambakan premis warga asing hingga mengganggu ekonomi rakyat tempatan kini semakin serius dan kerajaan perlu bertindak segera.

Di sana sini, kini ada saja premis warga asing yang dibuka di seluruh negara kita. Bukan sahaja premis, malah mereka semakin berani membina penempatan yang menjadi perkampungan warga asing. 

Ini sungguh memalukan, malah mereka pula semakin 'besar kepala' gara-gara penguatkuasaan yang terlalu lemah dan membimbangkan.

Saya sudah lama bersuara isu ini, namun anehnya saya pula yang menerima tekanan dan mahu didakwa di mahkamah kononnya membuat fitnah. Saya pernah disiasat polis gara-gara bersuara isu premis warga asing yang 'tumbuh bagaikan cendawan lepas hujan' di Kuantan.

Saya juga diberi amaran oleh bangsa sendiri yang khianat dan mengejar kemewahan dengan 'menjaga' warga asing dengan diberi habuan setiap bulan. Malah, terdapat juga dakwaan pihak berkuasa dan penguatkuasa juga terlibat sama melindungi mereka.

Lantaran itulah warga asing semakin berani mutakhir ini sebenarnya. Apa tidaknya, tindak tanduk mereka ada pihak yang 'jaga'.

Di negara kita premis warga asing ini jelas telah menganggu ekonomi rakyat tempatan. Mereka terlibat membuka premis dalam bidang masing-masing. 

Berdasarkan kajian antara bidang ekonomi yang terkesan akibat terpaksa bersaing dengan warga asing ini ialah Thailand (restoran dan kedai makan), Indonesia (kedai jamu, kecantikan dan ubat-ubatan), Pakistan (perhotelan, perabot dan permaidani), Bangladesh (kontraktor, hardware, mini market, kedai makan, kedai runcit), Myanmar (kedai runcit, kedai makan, jual besi buruk), Kemboja (perikanan, pasar malam, pasar lambak), China (aksesori kenderaan, jentera dan sebagainya). 

Jika dibiarkan, akhirnya semakin banyak perniagaan orang tempatan akan 'gulung tikar'.  Warga asing hanya bayar sewa kedai, mereka tidak bayar cukai kepada kerajaan.

Malahan, sebahagian besar mereka yang datang ke negara kita terlibat dalam industri perladangan dan pembinaan. Permit mereka sebagai buruh, tapi mereka dibiarkan pula membuka perniagaan sesuka hati di negara ini. Lumpuh ekonomi rakyat tempatan, jika senario ini terus dibiarkan.

Modus operandi sebahagian besar warga asing ini ialah membuka perniagaan menggunakan nama rakyat tempatan, sama ada dibayar upah bulanan atau mereka berkahwin dengan wanita tempatan agar lebih mudah untuk buat urusan.

Segala dokumen termasuk daftar perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), daftar permit perniagaan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), membeli kenderaan perniagaan, hinggalah kepada membuka akaun bank dan membuat pinjaman perniagaan, semuanya menggunakan nama rakyat tempatan.

Namun, anehnya pihak berkuasa tidak langsung memandang serius perkara ini dan menganggap ia dibenarkan. Walhal, semua ini akan membawa keburukan kepada negara untuk jangka masa panjang.

Mereka kawal ekonomi setempat, jika terus dibiarkan. Sebab itulah saya terpaksa bangkit bersuara selepas melihat aktivis Ustaz Shopian yang tular bila dia dengan berani terjah premis dan lambakan warga asing yang berniaga di sana sini. Saya bangga masih ada rakyat kita yang prihatin dan cakna isu ini. Sebab itulah saya kembali bangkit bersuara kali ini.

Saya juga menggesa agar kerajaan memperketatkan undang-undang warga asing yang datang ke negara ini  sebagai buruh (berdasarkan permit), namun mereka berkahwin dengan rakyat tempatan untuk memudahkan urusan membuka premis perniagaan di negara ini.

Syor saya (dengan izin), mana-mana wanita tempatan yang berkahwin dengan warga asing yang datang ke negara ini sebagai buruh atau pelarian (kecuali bidang profesional), maka selepas tiga hingga enam bulan, wanita terbabit perlu mengikut suaminya balik ke negara asal. Malah, dilarang sama sekali membuka premis perniagaan atas nama isterinya. Sebab kehadiran mereka ke nagara ini bukan atas tiket untuk berniaga, tetapi buruh ladang, pembinaan atau pelarian.

Kerajaan juga wajar membatalkan lesen perniagaan warga asing yang menggunakan nama wanita tempatan, tidak kira berstatus isteri atau pun yang dibayar upah bulanan oleh mereka untuk mengaburi mata pihak berkuasa. Walhal, sebenarnya semua pihak sudah tahu perkara ini namun sengaja dibiarkan hingga mereka menjadi naik lemak. 

Saya juga menggesa kerajaan menempatkan warga asing berstatus pelarian di satu kawasan berpagar yang tidak membolehkan mereka menganggu ekonomi rakyat tempatan. Lebih elok lagi ditempatkan di pulau-pulau yang terkawal, sama seperti pelarian Vietnam yang diletakkan di Pulau Bidong, Terengganu suatu ketika dulu. Bukankah segala kos berkaitan boleh diuruskan oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), agensi yang dimandatkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sendiri. 

Kerajaan perlu bertindak sesuatu kerana ternyata penguatkusaan telah gagal apabila adanya unsur 'kautim' berlaku. Sebab itulah rakyat macam Ustaz Shopian di Pulau Pinang terpaksa mengambil tindakan sendiri sebab sudah hilang keyakinan kepada pihak berkuasa.

Saya melihat andainya senario ini terus dibiarkan, maka akhirnya warga asing akan kuasai ekonomi negara kita. Apakah kita mahu melihat rakyat tempatan merempat di negara sendiri?. Sedarlah dan lakukan sesuatu demi masa depan generasi akan datang. 

Read more »

Jana Wibawa: Usahlah Gelabah Bila Di Dakwa, Buktikan Di Mahkamah Jika Tak Salah !

  

Saya tertarik untuk mengulas sikit isu pendakwaan yang dibuat terhadap mantan PM, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Rata-rata penyokongnya mendakwa ia bermotifkan politik dan kerajaan sengaja menggunakan isu ini untuk menjatuhkan maruah serta kreadibiliti beliau yang dilihat bersih selama ini.

Malah, ada dakwaan mengatakan ia juga satu strategi untuk menyakinkan rakyat agar menolak Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Baru-baru ini Muhyiddin dikenakan empat pertuduhan salah guna kuasa, dirangka mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, menuduh Muhyiddin menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika itu untuk mendapatkan RM232.5 juta daripada tiga syarikat dan seorang individu antara 1 Mac 2020 dan Ogos 20 2021.

Beliau turut didakwa atas dua lagi pertuduhan pengubahan wang haram, yang dibentangkan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta yang sama, menuduh ahli politik berusia 76 tahun itu menerima RM120 juta hasil daripada aktiviti haram daripada Bukhary Equity Sdn Bhd antara 25 Feb 2021 dan 8 Julai 2022.

Jika dibuktikan bersalah, Ahli Parlimen Pagoh itu boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan terbabit atau RM10,000 yang mana lebih tinggi bagi pertuduhan salah guna kuasa.

Manakala bagi kes pengubahan wang haram, dia boleh dihukum penjara 15 tahun dan didenda lima kali ganda jumlah rasuah terbabit atau RM5 juta, atau mana yang lebih tinggi.

Mengulas lanjut perkara ini, hanya satu sahaja pesanan saya buat Muhyiddin iaitu beliau tidak perlu asyik menafikan dakwaan tersebut diluar mahkamah.

Jika benar tidak bersalah, jawab di mahkamah. Muhyiddin perlu ingat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan buat pertuduhan jika tiada bukti kukuh untuk mensabitkan kesalahan yang berlaku.

SPRM bukan sahaja menyiasat beliau, tapi turut siasat syarikat-syarikat yang di dakwa memberi sumbangan derma kepada parti pimpinan beliau. 


Alasan kononnya, orang nak bagi derma maka ia tidak salah untuk tujuan politik. Tapi saya nak bagi tahu Kalau orang derma guna duit sendiri yang sedia ada mungkin tak jadi masalah. Berapa banyak penderma nak bagi sebab mereka ada dana untuk membuat sumbangan dan tidak mengharapkan apa-apa balasan. 

Masalah yang terjadi dalam kes ini, kerajaan Muhyiddin beri projek bernilai berbilion ringgit kepada penderma itu. Dan sebagai balasannya, maka pihak penderma beri sedekah kepada parti pimpinan beliau (Bersatu).   

Semua ini bagi saya ada unsur-unsur  'salah guna kuasa', adanya berlaku rundingan atau kautim serta  'win win situation'. "Mu bagi projek, baru aku bagi sumbangan derma kat parti mu untuk PRU-15". 

Maka selepas dua-dua pihak bersetuju, barulah semua ini berlaku (sign MOU, derma jalan). Itulah realiti yang terjadi.. Salah tetap salah. Datuk Sri Najib pun lawan dan bila kalah beliau ke dalam (penjara).

Agak hairan, kenapa Muhyiddin jadi takut dan dihantui sindrom penafian? Jika tak salah, lawanlah di mahkamah.

Anwar boleh hadapi kes mahkamah. Najib juga boleh hadapi. Maka kini giliran Muhyiddin pula hadapi. Inilah namanya 'hukum karma'. Tidak perlu menggelabah bila rasa diri tidak bersalah. Moga dipermudahkan segala urusan hendaknya. 

Read more »