Saya tertarik untuk memberi pandangan peribadi berhubung dengan tindakan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman yang mengeluarkan kenyataan, hukum bagi mana-mana umat Islam yang bekerjasama atau bersekongkol dengan DAP adalah haram serta berdosa besar. Isu ini sedang hangat diperkatakan sekarang.
Bagi saya, Mufti Pahang tidak wajar mengeluarkan kenyataan keras seperti itu dalam negara yang demokrasi dan berbilang kaum seperti di Malaysia hari ini. Umum mengetahui, bahawa majoriti kaum Cina di Malaysia sekarang ini menyokong DAP dan pembangkang.
Buktinya, kerusi Parlimen dan DUN dalam ibu negeri Pahang sendiri lumpuh akibat gelombang kebangkitan rakyat yang menolak kerajaan UMNO BN pada Pilihanraya Umum ke-13 lalu.
Maknanya, majoriti pengundi Melayu juga menyokong pembangkang (walau pun DAP tidak bertanding di kawasan Kuantan). Tapi buktinya ada di Parlimen Raub, DUN Mentakab yang dimenangi oleh calon Melayu iaitu Dato Ariff Sabri dan Tengku Zulpuri. Malah,
DAP juga menang di DUN Triang, DUN Tanah Rata, DUN Ketari, DUN Sabai, DUN Bilut dan DUN Tras. Maknanya ramai pengundi Melayu yang beragama Islam turut menangkan DAP di kerusi-kerusi terbabit sebenarnya.
Tindakan Mufti Pahang mengatakan mereka yang bersekongkol dengan DAP bagi mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sanggup menggadaikan prinsipnya sendiri apabila bersekongkol dengan DAP yang nyata menjadi musuh Islam, adalah tidak wajar sama sekali.
Saya melihat isu ini agak komplek, dan Mufti Pahang sebagai penjawat awam harus berhati-hati keluarkan kenyataan berunsur politik seperti ini. Kenyataan wajib ditentang juga amatlah tidak manis dikeluarkan oleh seorang Mufti kerana selain DAP, parti-parti lain yang ada dalam Barisan Nasional sendiri seperti MCA, MIC, Gerakan dan parti bukan Islam di Sabah dan Sarawak juga menentang penubuhan sebuah negara Islam di Malaysia hari ini.
Malahan ada ramai juga pemimpin Melayu (Islam) yang menentang perlaksanaan undang-undang Hudud di negara kita sebenarnya. Maka, kenapa Mufti Pahang hanya tujukan kenyataan kepada mereka yang bersekongkol dengan DAP semata-mata. Sepatutnya ia juga ditujukan kepada pihak yang bersekongkol dengan parti-parti lain di dalam BN.
Saya melihat, dalam kontek politik Malaysia hari ini seorang Mufti tidak wajar keluarkan kenyataan yang berbaur politik seperti itu. Apa akan jadi jika umat Islam mengambil kenyataan itu sebagai fatwa dan memerangi rakan-rakan mereka dalam DAP selepas ini.
Jika Malaysia sebuah negara Islam yang mengamalkan sistem pemerintahan berlandaskan Al-Quran dan Hadis maka, mungkin sesuai kenayataan tersebut. Tapi dalam senario politik kita hari ini, ia amatlah tidak sesuai sama sekali. Saya harap Mufti Pahang lebih berhati-hati keluarkan kenyataan keterlaluan seperti ini, agar umat Islam tidak keliru dan dibelenggu dengan sentimen kebencian yang meluap-luap hingga terjadi sesuatu perkara yang tidak diingini kelak.
Saya menggesa Mufti Pahang menfokuskan kepada memperkasakan agama Islam di negeri Pahang termasuk dalam urusan berkaitan pengagihan wang zakat, naik taraf sekolah-sekolah agama, permantapan institusi Mahkamah Syariah (banyak kes tertunda terlalu lama), percepatkan perlantikan ahli jawatankuasa masjid di seluruh negeri yang sudah tertangguh sejak sekian lama dan selesaikan kemelut yang melanda Masjid Tepian Putra yang masih menjadi kontroversi sehingga ke hari ini.
Itu yang lebih afdal daripada mufti membicarakan isu-isu politik pada bulan Ramadan Al-Mubarak ini. Banyak lagi isu-isu agama yang perlu diperkatakan di Pahang ini. Biarlah Tun Mahathir bersekongkol dengan DAP kerana mungkin ia ada sebab musababnya, terutamanya dalam isu rasuah, ketirisan dan skandal penyelewengan yang berlaku sekarang ini.
Apakah hukumnya pula bagi mereka yang bersekongkol dengan perkara tersebut?. Inilah yang sedang mereka (Mahathir dan DAP) perjuangkan sebenarnya, dan mufti tidak boleh melatah keterlaluan atas perkara ini. Biarkan mereka bersuara dan biarkan orang politik menjawabnya. #CMKNEWS


