SELAMAT DATANG KE BLOG PERIBADI BLOGGER CUCUMATKILAU (CMK)

TV3 Di Gesa Lebih Berhati-Hati Melapor Isu Air Selangor, Takut Rakyat Meluat Dan Undi Pembangkang !


 Media arus perdana terutamanya TV3 digesa menghentikan provokasi berlebihan terhadap masalah air yang melanda negeri-negeri yang ditadbir pembangkang terutamanya Selangor.

Tindakan keterlaluan yang dilakukan oleh TV3 dikhuatiri akan menyebabkan rakyat terutamanya golongan muda menjadi meluat dan menyampah terhadap kerajaan UMNO Barisan Nasional akhirnya.

Saya gusar, kerasukan TV3 menghentam isu air di Selangor akan menyebabkan BN kehilangan sokongan saluran 3 dan 4 pada PRU14 ini.

 Rakyat dah semakin bijak menilai sesuatu isu. Ini bukan zaman dulu.. rakyat hanya bergantung kepada media arus perdana semata-mata. Hari ini rakyat lebih bijak menilai dan mereka mudah mendapatkan maklumat hanya dihujung jari.

Saya amat berharap tindakan provokasi berlebihan akan menyebabkan rakyat terutamanya pengundi muda menjadi simpati kepada pembangkang akhirnya. 

Isu air sebenarnya berlaku di mana-mana. Kenapa asyik menyerang negeri Selangor semata-mata seolah-olah di negeri lain yang ditadbir oleh BN masalah ini tidak berlaku. 

Di Pahang misalnya, isu air yang membelengu sebahagian besar rakyat terutamanya penduduk luar bandar dan peneroka Felda masih belum berkesudahan hingga ke hari ini.


Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sendiri terpaksa menegur isu air di Pahang. Baginda menitahkan Kerajaan Negeri Pahang supaya memberi perhatian serius dan segera mengatasi masalah bekalan air yang berlaku di beberapa buah daerah di negeri ini.  

Tengku Abdullah juga mahukan pihak Pengurusan Air Pahang (PAIP) mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap masalah itu. Titah baginda itu dibuat semasa merasmikan majlis pecah tanah projek pembinaan jambatan baharu merentasi Sungai Kuantan-Tanjung Lumpur pada awal November 2016.

Biar pun sudah dua tahun berlalu, namun isu air masih berlaku di sana sini seluruh negeri Pahang. Malah pada Januari 2018 lalu ia lebih parah kerana melibatkan sebahagian besar penduduk di Daerah Kuantan sebenarnya.

 Tindakan keterlaluan TV3 memaparkan isu air di Selangor seolah-olah berita "double standard" yang bertujuan untuk menghilangkan sokongan rakyat terhadap kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri itu.

Bagi saya, laporan biarlah berpada-pada. Sikit-sikit OK lah.. Ini kalau sampai setengah jam slot Buletin Utama TV3 dipenuhi dengan isu air Selangor semata-mata, maka ia menyebabkan penonton menjadi meluat dan menyampah. 

Tambahan pula bagi rakyat yang mengalami masalah air yang sama di tempat lain. Mereka melihat realiti bukannya sekadar momokan serta dakyah politik yang menjurus ke arah provokasi semata-mata.

Kerajaan perlu nasihatkan TV3 agar berpada-pada dalam melaporkan isu air di Selangor kerana takut kelak akan "makan diri". 

Rakyat tidak boleh selamanya diperbodohkan dengan berita satu hala. Biarkan mereka bijak memilih dan memikirkan sesuatu isu. Tapi jika asyik paparkan isu yang berlaku di negeri yang sama setiap hari, maka akhirnya undi simpati akan diterima oleh pembangkang terutamanya Pakatan Harapan (PH). Ini merugikan masa depan BN untuk menawan semula negeri itu.

"Cakna Demi Rakyat"

MOHD SHUKRI MOHD RAMLI
Penyelaras NGO
Angkatan Pembela Rakyat
[     A  N  G  K  A  R  A     ]
www.angkaraterjah.blogspot.my

0 Komen Artikel Ini: