Masalah dadah di kawasan tanah rancangan Felda, terutamanya di daerah ini boleh diselesaikan sekiranya pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pihak pengedar dadah atau 'tokan', bukan hanya tertumpu menangkap penagih dadah semata-mata.
Saya mengulas lanjut berkenaan kebimbangan Sultan Pahang terhadap masalah dadah di kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di negeri ini dan tidak mahu tanah rancangan itu dijadikan "sarang" dadah.
Kenyataan tersebut dizahirkan oleh baginda ketika bertitah menyempurnakan Majlis Penutup Jelajah Pahang Teguh Dadah Terkawal (PTDT) sempena Sambutan Peringatan Hari Antidadah peringkat negeri di Dewan Balora Mastika dekat Maran baru-baru ini.
Selagi 'tokan dadah' dibiarkan atau dilindungi maka isu berkenaan tidak akan pernah selesai sejak zaman berzaman.
Malahan, pihak terbabit kaya-raya hasil jualan dadah yang merosakkan anak-anak muda terutamanya generasi kedua dan ketiga peneroka Felda.
Ramai yang kenal tokan dadah di kawasan Felda ini sebenarnya, namun mereka kecewa untuk membuat laporan akibat takut dengan tindakan yang akan dihadapi mereka. Malah, ada tokan dadah yang dilindungi oleh pihak berkuasa sendiri sebenarnya.
Bila ada operasi, hanya penagih dadah yang ditangkap. Bila keluar penjara, mereka kembali menagih kerana pasaran dadah masih terbuka akibat kewujudan tokan-tokan dikalangan anak peneroka Felda itu sendiri.
Akhirnya, operasi sekadar 'melepaskan batuk ditangga semata-mata' atau 'masuk angin keluar asap'. Sedangkan pihak yang menjalankan operasi perniagaan dadah tidak ditumpaskan secara menyeluruh di kawasan Felda itu sendiri sebenarnya.
Siapa yang cuba membuat laporan, mereka pula akan ditangkap dan dituduh menagih atau mengedar dadah. Hanya dengan sekali 'petik nama' mereka boleh merengkok dalam penjara berbulan-bulan lamanya.
Akibatnya, ramai yang ambil sikap berdiam diri dan tidak berani untuk bersuara atau membuat laporan. Mereka bimbang, ia bocor dan mereka pula yang akan diambil tindakan oleh pihak berkuasa. Inilah hakikat sebenarnya masalah dadah di kawasan Felda tidak pernah dapat dibenteras sejak dulu, kini dan selamanya.
Justeru, susulan daripada keprihatinan Sultan Pahang terhadap perkara ini maka beliau menyeru pihak berkuasa menjalankan amanah dengan jujur, amanah dan bertanggungjawab selepas ini.
Rakyat melihat adengan ini sejak sekian lama. Malah mereka juga amat kenal dengan pengedar serta tokan dadah yang mencari makan hasil haram ini dan senantiasa dilindungi oleh pihak-pihak tertentu sebenarnya.
Saya menggesa semua pihak berkerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti 'tokan dadah' dari masa ke semasa. Sudah tiba masa rakyat menjadi 'mata dan telinga' Istana Pahang dalam membenteras isu ini daripada terus merosakkan masa depan generasi akan datang. #CMK
0 Komen Artikel Ini:
Catat Ulasan