Pemusnah Alam Sekitar Tasik Chini Selepas Ia Di Ikhtiraf Rizab Biosfera UNESCO Pada 2009 Perlulah Di Ambil 'Tindakan' Undang-Undang !!

 

Semua pihak yang terlibat dengan kemusnahan alam sekitar di Tasik Chini perlu di bawa ke muka pengadilan. Ini kerana gara-gara mereka, kita melihat kehancuran, kerosakan dan pencemaran yang berlaku di tasik semula jadi kedua terbesar di Malaysia itu. 

Kerajaan Negeri Pahang gagal dalam usaha melindungi Tasik Chini, apabila membenarkan aktiviti guna tanah termasuk perlombongan dan pembalakan dilakukan sewenangnya tanpa memikirkan impaknya hari ini.


Bayang kerajaan boleh meluluskan lesen selepas sahaja Tasik Chini diikhtiraf sebagai Tanah Rizab Bisfera Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 2009. Mereka seolah-olah langsung tidak rasa bertanggungjawab untuk melindungi alam sekitar, sebaliknya meluluskan 14 lesen pajakan melombong di sekitar kawasan tasik tersebut. 

Biar pun Kerajaan Negeri Pahang hari ini mendakwa sudah tidak luluskan lesen selepas 2019, namun sebahagian besar anggota exco keerajaan negeri yang ada hari ini ialah ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang meluluskan 14 lesen pajakan melombong sebelum 2019.


Bahkan Menteri Besar Pahang sendiri pun berada dalam kerajaan terdahulu. Begitu juga beberapa orang exco. Maknanya mereka sama-sama membuat keputusan sebulat suara tanpa bangkang untuk meluluskan 14 lesen pajakan melombong di Tasik Chini.


Maka, bagaimana pihak yang bersama luluskan lesen mahu mengatakan komited menjaga kelestarian alam sekitar Tasik Chini hari ini? Mahu pulihara dan pelihara, walhal mereka juga terlibat membiarkan kehancuran Tasik Chini sebelum itu. 


Mereka ini perlu diambil tindakan berlandaskan undang-undang jika benar kerajaan mahu serius memelihara Tasik Chini hari ini.

Kementerian Alam Sekitar Dan Air (KASA) perlu main peranan mendakwa mereka di atas undang-undang yang telah ditetapkan. Sama seperti majikan yang didakwa bila ada pencemaran alam sekitar.


Kesemua barisan exco yang ada dalam kerajaan terdahulu tidak boleh lepas tangan begitu sahaja, mereka perlu dipertanggungjawabkan. Barulah rakyat akan percaya tahap komited kerajaan untuk mengambil tindakan tegas dalam hal ini. 

Pihak kedua yang perlu diambil tindakan ialah jabatan kerajaan yang terlibat dalam memproses permohonan lesen pajakan melombong. Enam jabatan berkenaan harus bertanggungjawab atas kerosakan dan kemusnahan yang berlaku. Mereka cuai dalam menjalankan tugas dan amanah. Mereka tahu Tasik Chini sepatutnya dilindungi daripada sebarang aktiviti guna tanah, tapi mereka mengikut arahan membuta tuli hingga mengabaikan aspek kemusnahan alam sekitar itu sendiri. 

Pihak terakhir yang harus bertanggungjawab ialah operator pajakan melombong iaitu syarikat yang terlibat dan pemilik lesen berkenaan. 


Ini kerana mereka sewenangnya mengambil hasil mahsul hingga mengabaikan tanggungjawab menjaga kelestarian alam sekitar. Malah ada kes, hingga dikorek tanah dan bukit bukau betul-betul ditepi Tasik Chini. Jelas dapat dilihat daripada bukti video dan gambar yang disebarkan. 


Justeru, kesemua pihak terbabit harus melaksanakan tanggungjawab mereka kerana telah bersama-sama abaikan kesucian Tasik Chini, keindahan flora dan fauna, kejernihan air, kehidupan binatang dan mata pencarian serta ekonomi orang asli yang terjejas.

Mereka ini harus dibawa ke muka keadilan dan didakwa berdasarkan undang-undang.

Jika tidak, kesemua mereka pasti tersenyum melihat apa yang berlaku ini.. Mereka yang terlibat, sebahagiannya mungkin mendapat hasil lumayan atas bahan mineral, sokongan dan kerja yang berkaitan. Rakyat melihat semua ini, jangan ingat rakyat diam. 


Amat tidak wajar kerajaan sendiri keluarkan kos berkaitan untuk usaha pemulihan dan pemeliharaan. Sepatutnya segala kos perlu ditanggung oleh mereka yang terlibat, terutamanya operator pajakan melombong yang mendapat hasil lumayan atas projek yang dijalankan. 

Bukan pejabat hutan tanam pokok, yang menjahanamkan pihak lain. Seolah-olah mereka berak, pejabat hutan cuci najis. Nanti bila pokok besar sudah pasti mereka juga yang akan makan hasil. 

Pemusnah alam sekitar Tasik Chini perlu bertanggungjawab dan didakwa mengikut saluran undang-undang atas segala yang berlaku sebelum tahun 2019.

Saya juga mendapat maklumat, ada papantanda tertera pendaftaran pajakan melombong tahun 2002 dan berakhir 2025. Apa semua ini? PTG dakwa tiada kelulusan selepas 2019. Ini seolah-olah mengelirukan rakyat marhaen. Siasatan perlu dilakukan oleh pihak yang bebas kerana ia selaras dengan dakwaan portal Malaysiakini bahawa ada lesen melombong baharu diluluskan baru-baru ini. 


Banyak sangat agenda tersembunyi dalam isu ini sebenarnya. Maka, rakyat marhaen termasuk orang asli Tasik Chini akan memantau janji-janji yang dibuat oleh kerajaan. Sekiranya ada aktiviti perlombongan dijalankan walau pun sebelah malam, maka mereka akan dedahkan. Rakyat jadi mata dan telinga kerajaan selepas ini. 

Apa pun, saya ucapkan  berbanyak terima kasih atas keprihatinan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memerintahkan aktiviti perlombongan di kawasan Tasik Chini dihentikan.

Baginda juga menitahkan supaya kawasan Hutan Simpan Chini, Pekan seluas 4,600 hektar ditambah bagi menjaga kepentingan flora dan fauna di kawasan Tasik Chini serta kawasan persekitarannya. 


Raja payung rakyat, kepada Tuanku rakyat merayu dan mengadu agak tindakan diambil terhadap pihak yang telah merosakan alam sekitar Tasik Chini sejak tahun 2009. Usah biarkan perkara ini  berulang lagi. Sebab jika berdasarkan janji, sudah acap kali mereka itu berjanji. 

Malah, pada 2012 satu memorandum juga pernah dihantar kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga merupakan Ahli Parlimen Pekan ketika iti. DUN Chini salah satu kerusi dalam. Parlimen Pekan. Apa berlaku? Janji tapi hakikatnya kehancuran demi kehancuran terus berlaku, baik oleh operator berlesen apatah lagi yang beroperasi secara haram. 

MOHD SHUKRI MOHD RAMLI (CMK) 


0 Komen Artikel Ini: