SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI, MAAF ZAHIR BATIN DARI CMK SEISI KELUARGA | SEBARANG ADUAN DAN PERTANYAAN BOLEH PM 0 1 2 - 3 8 5 4 4 0 0 (CMK)

MB Ada Urusan Rasmi Di Luar Negara, 'Zunar' Tak Wajar Pertikaikan Di Mana Beliau Berada Ketika Banjir Melanda !


Susulan kejadian banjir kilat di Janda Baik, Bentong baru-baru ini, saya adalah antara aktivis terawal tiba ke lokasi sebenarnya. 

Saya turun pada  Khamis 12 Mei 2022, iaitu hari yang sama pendengaran kes saman RM1 juta oleh Kerajaan Pahang terhadap saya, terhadap dakwaan fitnah isu banjir di Bentong pada Disember tahun lalu. 

Kehadiran saya ke Janda Baik ialah pada hari yang sama video tular isu banjir di Teratak Malaya disebarkan. Saya menonton video tersebut pada jam 11.30 pagi selepas ia dihantar oleh seorang rakan. 

Demi untuk mengetahui tragedi terbaharu itu dari dekat, maka saya turun juga pada hari yang sama. Saya sampai di Janda Baik sekitar jam 5.30 petang. 

Selepas mengambil beberapa gambar dan video di sekitar kawasan Bukit Tinggi, saya terus ke Teratak Malaya. Sampai di lokasi, suasana agak hening kerana kawasan itu antara yang paling teruk dilanda banjir pada kali ini. Malah, dilaporkan kejadian kali ini lebih buruk daripada Disember lalu. 

Saya sempat merakamkan video dan mengambil gambar di lokasi kejadian, pada hari tersebut. Malah saya difahamkan, pemilik Teratak Malaya telah membuat kenyataan terbaharu berkaitan kejadian. 

Sebelum ini video yang tersebar, dengan jelas pemilik chalet terbabit menyebut 'pembalakan' punca banjir yang melanda. Namun kemudian diperbetulkan, kerana kenyataan yang dilihat itu terlalu emosi dan didakwa lebih kepada cubaan untuk buat provokasi bagi memburuk-burukkan imej kerajaan. Difahamkan kenyataan beliau itu juga telah tersebar pada hari yang sama. 

Susulan itu, apa yang ingin saya pertikai dan persoalkan ialah apakah motif kartunis Zunar ada membuat posting dipagenya Zunar Cartunist Fan Club 'Lagi video banjir di Janda Baik (11 Mei 2022).Tahukah di mana MB Pahang berada sekarang?' https://fb.watch/d1MRI-Obxu/

Sebagai aktivis yang sering membicarakan isu alam sekitar hingga dikenakan tindakan tindakan saman oleh kerajaan Pahang itu sendiri, maka saya bukan mahu berpihak kepada sesiapa baik Zunar atau kerajaan. 

Cuma bagi saya, perkara yang tidak patut dijadikan isu tak perlulah dipertikaikan. Misalnya, kejadian banjir di Janda Baik itu berlaku ketika Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail memang berada di luar negara. 


Difahamkan MB Pahang itu mengiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, ke Pameran Tenun Pahang Diraja di bangunan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square sempena 'London Craft Week' yang berlangsung daripada 9 hingga 15 Mei 2022 lalu. 


Tidak mungkin ada mana-mana pemimpin termasuk dari pembangkang sendiri yang mampu berada di dua lokasi pada masa yang sama. Tambahan pula jika terlibat dengan program rasmi di luar negara. 


Zunar harus faham situasi ini sebelum mengeluarkan kenyataan provokasi yang mengundang kontroversi kepada  netozen. Malah, saya lihat berbagai komen panas dan tuduhan liar dibuat terhadap MB Pahang susulan hantaran yang dibuat beliau itu. 


Saya sendiri pun banyak keluar kenyataan terhadap MB Pahang sebenarnya, tapi dalam isu banjir terbaharu di Janda Baik ini, saya memang mengetahui MB berada di London.  


Maka tak perlulah saya nak persoal beliau berada di mana, kerana program tersebut telah disiarkan dalam semua media arus perdana sebenarnya. Tambahan pula ia melibatkan Raja Permaisuri Agong sendiri.


Malah difahamkan, ada beberapa program rasmi lain yang melibatkan MB Pahang ketika berada di London. Maka itu, sebagai rakyat Pahang saya terpaksa mengakui keberadaan MB di mana dan tidak perlu ada mana-mana pihak cuba menimbulkan isu. 



Ini bermakna sah Menteri Besar Pahang itu berada di London pada hari kejadian banjir di Janda Baik itu. 


Namun, harus diingat saya mendapat maklumat daripada penduduk yang menjadi mangsa kejadian mendakwa mereka telah mendapat bantuan awal daripada Kerajaan Pahang. 


Malah, saya juga dimaklumkan wakil Pejabat Menteri Besar Pahang serta beberapa buah agensi kerajaan yang lain telah ke lokasi lebih dari saya pada hari kejadian. Saya tiba petang, mungkin mereka tiba pada sebelah paginya. 


Ini bermakna biar pun MB tiada tapi beliau telah arahkan pihak terbabit segera ke lokasi bagi memberi bantuan awal kepada mangsa yang terlibat. 


Difahamkan sebanyak 500 pek makanan dan bantuan lain seperti selimut, tuala dan air mineral yang diselaraskan oleh Kerajaan Negeri diagihkan kepada mangsa terlibat.  Malahan, bantuan kecemasan RM1,000 juga telah pun disalurkan oleh kerajaan pusat. 


Makanya, tidak menjadi halangan langsung ada atau tiada seseorang pemimpin ketika sesuatu musibah melanda. Soalnya kenapa ia harus dijadikan isu oleh Zunar? Apakah motif beliau sebenarnya. Sepatutnya pihak yang mempersoalkan isu ini ialah saya dan beberapa aktivis alam sekitar yang lain.

Sebabnya, kami tahu mana yang bersifat spekulasi semata-mata untuk meraih simpati daripada rakyat. Ia juga bertujuan untuk menjatuhkan nama baik mana-mana pemimpin dalam sesuatu isu.

Saya sendiri banyak menegur selama ini, tapi ia lebih menjurus kepada kerajaan itu sendiri dan bukan individu atau pemimpin tertentu.

 Semoga dengan penjelasan saya ini, dapatlah mengubah persepsi rakyat tentang isu 'keberadaan' Menteri Besar Pahang ketika banjir kilat di Janda Baik baru-baru ini. Harap Zunar membaca tulisan saya ini. 

0 Komen Artikel Ini: