SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI, MAAF ZAHIR BATIN DARI CMK SEISI KELUARGA | SEBARANG ADUAN DAN PERTANYAAN BOLEH PM 0 1 2 - 3 8 5 4 4 0 0 (CMK)

Sindrom 'Nafi' Dah Tak Laku, Tindakan Lulus Lesen Pembalakan Di Hutan Simpan Kekal (HSK) Jadi Punca Banjir Lumpur Ragut Nyawa Sebenarnya !

Selepas beberapa siri pendedahan dibuat tentang banjir lumpur paling dasyat yang melanda kawasan Bentong, Karak, Lanchang dan Mentakab baru-baru ini gara-gara pengondolan hutan secara besar-besaran yang berlaku, nampaknya Kerajaan Pahang seolah-olah terdiam kaku tanpa jawapan penafian segera terhadap isu ini. 


Jika sebelum ini, bila ada saja banjir lumpur dan  kayu balak bergelimpangan atas jalaraya, begitu cepat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) keluarkan kenyataan menafikan ia ada kaitan dengan kawasan pembalakan, walaupun perkara itu disahkan oleh saintis. 

Contohnya ketika banjir pada Januari 2021 lalu, Kerajaan Pahang begitu cepat menafikan ia ada kaitan dengan pembalakan. Mereka mendakwa hujan lebat luar biasa hampir serentak di seluruh negeri itu punca sebenar banjir teruk yang melanda ketika itu.

Bagaimanapun pada masa sama, kerajaan negeri mengakui aktiviti pembalakan masih menjadi sumber ekonomi negeri tetapi ia dilakukan secara terkawal. 

Mungkin ketika itu penafian diterima kerana tiada kematian akibat banjir yang melanda. 

Namun kini, selepas beberapa kematian dan kehilangan nyawa berlaku dalam banjir kali ini, ia seolah-olah menutup terus mulut-mulut pihak berkuasa daripada memberi sebarang kenyataan rasmi. 

Targedi bermula pada Ahad 19 Disember lalu, apabila beberapa laluan di Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT)1 ditutup akibat tanah runtuh serta banjir. Biar pun pada awalnya ada pihak menafikan berita ini, namun akhirnya mereka terpaksa mengiyakannya. 

Kemudian viral pula berita 16 orang mangsa hanyut bersama empat kenderaan akibat dibawa arus deras ketika melalui Jambatan Telemong. Ia kemudiannya dinafikan oleh pihak polis Bentong dan bomba Pahang. 

Namun kenyataan itu kemudian disangkal oleh ahli keluarga mangsa. Mereka mendakwa ia benar-benar berlaku dan bukan berita tidak benar seperti yang didakwa oleh pihak berkuasa. 

Kenyataan ahli keluarga mangsa dibuat susulan dakwaan Ketua Polis Daerah Bentong, Superinten Zaiham Mohd Kahar, yang meminta orang ramai berhenti menyebarkan mesej tular kejadian itu, bagi mengelak kegusaran terutamanya dalam situasi genting yang sedang berlaku kini.


Kenyataan tersebut juga disokong oleh Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Pahang), Ismail Abdul Ghani yang mengesahkan tiada kejadian itu berlaku dan tidak menolak kemungkinan ia dilakukan pihak tidak bertanggungjawab dengan menggunakan gambar lama yang tidak berkaitan dengan banjir ketika itu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Pahang), Ismail Abdul Ghani 

Akibat penafian itu, tiada tindakan pantas dilakukan untuk menyelamat mangsa dan akhirnya lima orang maut, seorang masih hilang. Manakalah 10 lagi selamat. 


Sedangkan mangsa sempat WhatsApp dan menghubungi ahli keluarga untuk dimaklumkan kepada pihak berkuasa ketika kejadian tersebut. Malah, ada dakwaan ahli keluarga, beberapa mangsa terpaksa bergayut pada pokok dalam keadaan air deras selama beberapa jam. 


Saya adalah antara individu terawal yang memainkan isu ini di media sosial terutama facebook, Instagram, twitter dan Youtube. Ini kerana salah seorang ahli keluarga mangsa juga adalah sahabat baik saya. Sehingga artikel ini ditulis, seorang lagi mangsa masih belum ditemui. Itu belum termasuk lagi mangsa yang dihanyutkan arus deras di sebuah chalet dekat Janda Baik. Seorang mangsa dijumpa lepas dua hari kejadian seperti dilapor media. 


Persoalan mula timbul, benarkah banjir yang berlaku ini ialah banjir biasa atau fenomena 'kepala air' seperti di dakwa. Ketika kejadian, sudah banyak video yang tular dengan jelas menunjukkan sisa-sisa kayu balak bergelimpangan di sepanjang sungai. Maka itulah dipercayai, keempat-empat kenderaan yang hanyut bukan sahaja dipukul arus deras malahan juga kayu-kayu balak yang menghentam di atas jambatan. 


Berbagai bukti telah didedahkan bagi menunjukkan banjir lumpur yang dasyat itu adalah akibat kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) yang telah digondolkan untuk dijadikan 'Ladang Hutan'. 

Saya mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dalam insiden banjir kali ini. Tambahan pula sebelum ini sudah beberapa kali saya menggesa kerajaan hentikan projek 'Ladang Hutan', terutamanya dikawasan yang berisiko. Malah, bagi saya projek ini jelas menguntungkan orang politik kerajaan dengan menggunakan proksi dan kroni mereka untuk memohon. Saya pernah dedahkan perkara ini. 




Malah, bagi saya projek 'Ladang Hutan' hanyalah helah untuk mengeluarkan kayu balak dan menanam pokok komersial seperti kelapa sawit dan durian musang king sebenarnya. Ia jelas lari daripada matlamat 'Ladang Hutan' yang dinyatakan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) sendiri sebenarnya. 

Mereka hanya tahu meluluskan dan tidak menyiasat apa yang terjadi. Sedangkan ada tertera fungsi seksyen 'Ladang Hutan' ialah menanam spesies-spesies pokok ubatan dan herba, pokok hutan untuk landskap perhutanan bagi tujuan perlindungan dan sebagainya. Bukannya kelapa sawit atau musang king. 


Apa yang menghairankan saya ialah dalam masa JPNP berbangga dengan usaha pemuliharaan dan pemeliharaan hutan di seluruh negeri Pahang, namun dalam. masa yang sama kelulusan kawasan baharu di buat di kawasan yang berisiko. 


Antaranya kawasan hutan tanah tinggi berhampiran tadahan hujan, berdekatan kawasan perkampungan dan kawasan tanah adat orang asli. Inilah yang menimbulkan kemarahan dan dibantah oleh rakyat.



Malah, pihak yang memohon dan mendapat kelulusan pula biasanya 'proksi dan kroni' pemimpin politik setempat. 


Saya pernah menyiasat beberapa lesen yang diluluskan kepada pihak yang berkenaan terutamanya yang melibatkan Hutan Simpan Kekal (HSK). Ternyata, hampir keseluruhannya adalah orang politik yang rapat dengan pemimpin setempat. Itu belum termasuk hutan-hutan yang diceroboh secara haram yang menjadi tradisi sejak zaman berzaman di negeri Pahang. 

Paling menarik pada 21 November lalu iaitu sebulan sebelum banjir lumpur dasyat berlaku baru-baru ini, Kerajaan Pahang umum menambah seluas 696.2 hektar untuk menjadikan keseluruhan Hutan Simpan Kekal (HSK) yang kini berjumlah 1.6 juta hektar, sejak 2018. Jumlah itu adalah 57 peratus daripada keseluruhan kawasan hutan yang terdapat di negeri ini.


Namun, apa yang didedahkan oleh akhbar arus perdana New Straits Times (NST) pada Isnin, 27 Disember lalu yang memetik kenyaaan ADUN Sabai, D.Kamache sungguh mengejutkan. 


Ternyata ada pembalakan yang dilakukan di atas puncak bukit. Longgokan sisa dan kayu balak yang sudah ditebamg kelihatan amat jelas sekali dari udara. 


Mungkin inilah punca utama banjir lumpur dasyat yang berlaku baru-baru ini. 


Melihat kepada keadaan kayu balak itu, saling tak tumpah sama dengan yang hanyut dan menyebabkan beberapa nyawa rakyat yang tidak berdosa menjadi korban. 

Terjah Lokasi Bersama Wartawan Tua

Tanggal 26 Disember (Ahad) lalu, saya telah menerjah lokasi kejadian bersama sahabat aktivis alam sekitar, Khadir Ahmad A.K.A Wartawan Tua. 


Kami bermula di Kampung Batu Kapor, Mentakab kemudian ke Lanchang untuk melihat pula situasi di sana. 


Kami sempat meninjau Hutan Simpan Lakum yang juga dipercayai ada kawasan pembalakan yang diluluskan. 


Kelihatan dari jauh puncak bukit-bukau yang sudah ditarah dan digondolkan. 


Kami kemudian ke Taman Lanchang Indah dan sampai di Jambatan Sungai Telemong sekitar jam 6.00 petang. 


Selepas membuat rakaman dan mengambil foto-foto berkaitan, kami terus bergerak ke Kampung Baru Sungai Perdak, yang dapat dilihat dengan jelas kayu balak menghentam kediaman penduduk di situ.


Pada 28 Disember (Selasa) saya turun sekali lagi ke Karak. Kali ini saya mahu melihat dengan jelas situasi di Kampung Tanjung, berhampiran jambatan ke Pekan Karak dari arah Temerloh. 


Saya sempat melawat dan menghulurkan sumbangan wang tunai kepada salah seorang mangsa yang ditemui di lokasi terbabit. 


Sungguh mengejutkan, agak dasyat juga di sini. Ada 17 rumah penduduk, empat daripadanya ranap, runtuh dan musnah dilanggar serta dihanyutkan arus deras. 


Sebelum ini, media hanya memaparkan kes rumah runtuh dan hanyut ini di Hulu Langat, Selangor sahaja. Rupanya di Pahang juga ada kes yang sama sebenarnya. 

Sindrom Penafian Kini Sudah Tidak Laku

Dengan rentetan apa yang berlaku dalam banjir lumpur kali ini, ternyata sindrom penafian yang selama ini digunakan untuk mengelirukan rakyat sudah tidak laku lagi. 

Malah, ia tidak relevan dengan senario yang terjadi baru-baru ini. Justeru semua pihak bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan. Pihak yang meluluskan lesen dan kontraktor pembalakan yang gagal menjalankan kerja mengikut syarat dan peraturan yang telah ditetapkan. 

Usahlah lepas tangan atas apa yang berlaku. Saya juga sekali lagi menyeru agar projek 'ladang hutan' dikawasan berisiko harus dihentikan serta merta jika benar pemimpin yang ada hari ini prihatin nasib rakyat. 

Tak perlu buat muka sedih dan menangis melihat rakyat yang kehilangan harta benda dan segalanya. Ini kerana, gara-gara kerakusan kamu mengejar kemewahan menyebabkan hamba rakyat menjadi mangsa. Cukuplah dengan apa yang sudah berlaku. Fikirkanlah soal rakyat, bukan menjaga tembolok beberapa kerat pemimpin dan tauke-tauke balak semata-mata. Kembalilah ke pangkal jalan !. ~CMK

0 Komen Artikel Ini: