Susulan laluan masuk ke premis Tanah Aina Fareena Cafe & Restaurant ditutup oleh Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) baru-baru ini, saya menggesa pemiliknya, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil bertabah atas musibah yang berlaku ke atasnya.
Walau pun tindakan tersebutr menimbulkan kemarahannya kerana hanya itu sahaja laluan masuk untuk pelanggan ke restorannya, namun inilah takdir yang beliau harus hadapi di bulan Ramadan Al-Mubarak ini sebenarnya
Saya mengikuti kes tersebut sejak dari awal lagi dan tidak mahu ia dijadikan polemik bagi menyalahkan Kerajaan Negeri Pahang sepenuhnya dalam isu ini.
Sebenarnya kes ini sudah bermula sejak dua tahun lalu, apabila Puan Sri Shariffa Sabrina yang ketika itu merupakan Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Raub atas tiga atas tiga pertuduhan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran yang sah,
Menurutnya pertuduhan pertama, Puan Sri Shariffa Sabrina didakwa melakukan kesalahan tanpa kebenaran yang sah menduduki tanah kerajaan di Lot 26148, GM4135, Mukim Bentong iaitu kawasan Tanah Aina Fareena Cafe & Restaurant di Bentong.
Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa melakukan kesalahan tanpa kebenaran yang sah menduduki tanah kerajaan di Lot 1053, PM0053, Mukim Ulu Dong iaitu kawasan Tanah Aina Fahad Glamping Resort di Raub pada jam 2 petang, 10 Jun tahun lalu.
Manakala pertuduhan ketiga pula, Puan Sri Shariffa Sabrina didakwa melakukan kesalahan tanpa kebenaran yang sah menduduki tanah kerajaan di Lot 10061, GM1572, Mukim Tras iaitu kawasan yang ketika ini didiami Tanah Aina Farrah Soraya Exclusive Eco Resort, Raub.
Maknanya disini, tindakan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Pahang bukanlah tergesa-gesa kerana beliau sepatutnya sudah tahu dan mengambil tindakan memperbetulkan keadaan termasuk mencari alternatif jika berhadapan dengan kemungkinan seperti hari ini.
Dua tahun lamanya, sepatutnya beliau sudah melakukan sesuatu. Namun sikap sambil lewa dan menganggap berada di pihak yang benar menyebabkan dia terpaksa berhadapan dengan tindakan tegas.
Saya juga amat rapat dengan Puan Sri Shariffa Sabrina, justeru saya menggesa beliau mengemukakan rayuan seperti disarankan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang tidak pernah menghalang warganegara Malaysia terutama rakyat Pahang untuk berbuat demikian.
Apa pun saya mempersoalkan tindakan Pengurus Tanah Aina Fareena Cafe & Restaurant, Syarifah Sheila Syed Mustafa yang mendakwa tindakan tersebut seolah-olah mahu menutup periuk nasi orang Melayu setelah dilihat berjaya menghidupkan kawasan hutan berkenaan.
Syarifah Sheila juga ada berkata, jika benar kafe berkenaan melanggar peruntukan undang-undang mengapa kerajaan negeri tidak bertindak sejak dulu lagi.
Saya nak bagi tahu, sebagai sahabat..undang-undang tetap undang-undang. Jika enam tahun lalu diambil tindakan sudah pasti mereka langsung tak boleh cari makan. Selama enam tahun dah banyak keuntungan dibuat oleh pihak terbabit sebenarnya.
Jika Kerajaan Pahang zalim, sudah pasti dua tahun lepas sudah diambil tindakan tegas, bukannya hari ini. Namun atas timbang rasa maka operasi Tanah Aina Fareena Cafe & Restaurant dibiarkan.
Namun, tindakan diambil dengan menutup laluan masuk ke tempat parkir dan satu lagi laluan masuk ke restoran menggunakan batu konkrit kerana mengambil kira undang-undang berkaitan tanah yang telah ditetapkan.
Sesiapa sahaja menceroboh tanah kerajaan, sewajarnya diambil tindakan agar tidak wujud sikap double standard.
Saya juga terkejut dengan kenyataan Syarifah Sheila yang mendakwa, penggunaan tanah parkir itu dibuat selepas pengurusan Tanah Aina mendapat persetujuan mulut dengan pihak berkuasa tempatan Bentong enam tahun lalu.
Agak pelik, hanya persetujuan mulut maka Tanah Aina boleh gunakan tanah kerajaan?. Sedangkan orang lain tidak berpeluang untuk berbuat demikian. Ini bermakna sudah ada sikap tolak ansur antara kerajaan dengan pihak terbabit sebelum ini.
Makanya, tidak perlulah diperbesarkan isu berkenaan. Ternyata kesalahan yang dilakukan itu adalah jelas iaitu menggunakan tanah kerajaan untuk dijadikan parkir. Bayangkan kalau saya yang berbuat demikian, sudah pastilah sejak awal lagi sudah diambik tindakan tegas oleh pihak kerajaan. Ini tidak adil untuk rakyat yang lain.
Malah saya turut difahamkan Tanah Aina Fareena Cafe & Restaurant ada membuat permohonan untuk mendapatkan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) untuk tanah yang digunakan sebagai laluan dan tempat parkir kenderaan sejak Mac 2022, namun sehingga kini tiada kelulusan diberikan dan masih menunggu jawapan.
Bagi saya, Tanah Aina sudah beroperasi lebih awal dan seharusnya perkara itu telah diselesaikan. Mac 2022 adalah waktu yang sama Puan Sri Shariffa Sabrina didakwa di Mahkamah Sesyen Raub atas pertubuhan menceroboh tanah kerajaan.
Kenapa bila sudah didakwa baru mahu memohon TOL, kenapa tidak lakukan lebih awal ketika mendapat kerjasama yang baik daripada pihak Majlis Perbandaran Bentong (MPB) dan mendapat lesen serta membayar cukai yang diperlukan tanpa masalah sejak awal-awal operasi perniagaan itu dibuka?.
Kenapa bila sudah didakwa, baru mahu bertindak?. Sepatutnya ia diusahakan lebih awal agar tidak menyusahkan pihak terbabit. Soal sudah ada tempahan untuk bulan Ramadan seperti yang didakwa maka saya rasa ia boleh saja dibatalkan secara terhormat. Tambahan pula isu ini sudah menjadi tular dan pasti pelanggan terbabit juga mengikutinya dan tahu masalah yang melanda, bukannya segaja dibatalkan.
Saya menasihatkan Puan Sri Shariffa Sabrina agar tidak bermain sentimen kononnya Kerajaan Pahang mahu bermusuh dengan beliau dan sengaja menzaliminya.
Apa yang berlaku adalah berlandaskan undang-undang dan saya juga bimbang jika dibiarkan maka lebih ramai lagi penceroboh akan mengambil kesempatan kerana melihat kes ini. Bermuhasabahlah dan cari jalan penyelesaian yang terbaik dengan pihak Kerajaan Pahang, bukan dengan membuat tuduhan dan dakwaan liar yang tidak berasas.
Sebagai seorang aktivis yang sama-sama berjuang dengan beliau dulu, maka tindakan terbaik ialah mengemukan rayuan secara rasmi dan berbincang ke arah kebaikan negeri Pahang pada masa akan datang. Salam perjuangan leluhur. ~ CMK