SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI, MAAF ZAHIR BATIN DARI CMK SEISI KELUARGA | SEBARANG ADUAN DAN PERTANYAAN BOLEH PM 0 1 2 - 3 8 5 4 4 0 0 (CMK)

Tasik Chini Kekal Status Rizab Biosfera UNESCO, Tahniah Pemangku Raja Dan Menteri Besar Pahang Atas Keprihatinan Terhadap Alam Sekitar

 

Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Hj Wan Rosdy Wan Ismail dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah  atas segala keprihatinan, daya usaha dan komitmen yang konsisten ke arah memulihara dan memelihara kelestarian Tasik Chini telah membolehkan ia kekal status Tapak Rizab Biosfera di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Keputusan ini sesuatu yang dinanti dan cukup mengejutkan ramai pihak terutamanya para aktivis dan pihak pembangkang di negeri ini.

Saya antara individu yang lantang bersuara isu pencemaran Tasik Chini sejak sekian lama, malah kemuncaknya ketika kempen Pilihan Raya Kecil DUN Chini pada Julai 2020.

Pada PRK Chini saya bertanding tiga penjuru atas tiket bebas. Biar pun tewas, namun isu pencemaran Tasik Chini telah saya mainkan dengan baik hingga Kerajaan Pahang mengarahkan semua aktiviti berkaitan guna tanah terutamanya perlombongan dihentikan sementara.

Selepas PRK Chini ramai pihak mula bersuara termasuk aktivis-aktivis lain, dan para netizen di media sosial. 

Media sekali lagi menyiarkan berita kemusnahan dan kerosakan alam sekitar Tasik Chini. Ramai yang mahu melihat UNESCO menarik balik status Tapak Rizab Biosfera yang diperolehi pada tahun 2009 itu. 

Selepas itu, Pemangku Raja Pahang sendiri telah mencemar duli mengadakan lawatan mengejut di Tasik Chini pada 13 Jun 2021.

Baginda kemudian telah menitahkan supaya kawasan Hutan Simpan Chini, Pekan seluas 4,600 hektar ditambah kepada 6,000 hingga 7,000 hektar bertujuan memelihara khazanah alam di kawasan itu.

Baginda juga berkenan meneliti laporan Menteri Besar Pahang, berhubung aktiviti perlombongan, tindakan pemulihan dan pemeliharaan yang telah dijalankan kerajaan negeri.

Malah, baginda juga bersetuju dengan langkah Kerajaan Negeri  Pahang tidak lagi mengeluarkan sebarang kelulusan (perlombongan) baharu sejak 2019 selain turut menyarankan agar aktiviti perlombongan di kawasan Tasik Chini dihentikan.

Kemudian pada 14 Jun, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Dato' Sri Mohd Sharkar Shamsudin yang kini merupakan Speaker DUN Pahang telah memaklumkan kerajaan negeri komited memulihkan Tasik Chini bagi memastikan kelestarian alam sekitar tasik itu terus terpelihara.

Beliau turut memaklumkan pada 13 Mac 2019, Kerajaan Negeri Pahang bersetuju mewartakan Taman Negeri Tasik Chini seluas 4,600 hektar sebagai Hutan Simpan Chini bagi memastikan kawasan hutan itu dipelihara dan diuruskan dengan baik selari dengan Dasar Perhutanan Negara.

Sharkar turut mendakwa memang tidak dinafikan masih terdapat kegiatan perlombongan di Tasik Chini, namun ia bukan baharu seperti ditularkan dan kawasan lombong sedia ada tidak termasuk dalam Hutan Simpanan Kekal.

Operasi perlombongan itu dikenakan syarat tambahan ketat bagi memastikan tiada pencemaran daripada aktiviti berkenaan. Malah, beliau turut mendakwa Laporan EIA juga perlu disediakan oleh pihak berkenaan. 

Selepas itulah berbagai usaha dilakukan termasuk program Kempen tanaman 100 juta pokok pada September 2022 dan lain-lain kempen oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.

Jabatan Perikanan Negeri Pahang pula melepaskan lebih 96,500 benih ikan ke Tasik Chini. Empat spesies ikan air tawar yang dilepaskan ke tasik semula jadi itu ialah lampam sungai, baung, sebarau dan terbol. 

Usaha Kerajaan Negeri Pahang pimpinan Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail itu akhirnya membuahkan hasil dan UNESCO kekalkan status Tasik Chini sebagai Tapak Rizab Biosfera.

Terbaiklah Pemangku Raja Pahang dan Menteri Besar Pahang atas sikap prihatin terhadap pemuliharaan serta pemeliharan khazanah alam yang haeus dinikmati oleh generasi akan datang itu. #CMK

0 Komen Artikel Ini: