Nama sebenar saya ialah Mohd Shukri Mohd Ramli. Saya hanyalah seorang aktivis masyarakat yang sering mengangkat isu-isu rakyat di negeri Pahang Khasnya dan Malaysia amnnya. Saya kerap mengeluarkan kenyataan panas dan kontroversi berkaitan sesuatu isu sejak sekian lama.
Saya mula menulis blog pada 5 Disember 1998 iaitu ketika zaman reformasi selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Awalnya saya menggunakan nama pena DanielMS, namun bermula pada 1999 saya menukarkannya kepada Blogger Cucumatkilau. Mungkin sebab dapat ilham dan aura perjuangan.
Dulu-dulua saya sering membuat tulisan keras dan kritis. Ini menyebabkan ramai pihak mengganggap saya adalah musuh mereka terutamanya parti pemerintah. Sebenarnya saya bersuara untuk kepentingan rakyat. Saya tidak mahu berlaku terlalu banyak ketirisan dan penyelewengan di dalam sistem pentadbiran negeri khasnya dan negara amnya.
Sebelum terjebak dengan dunia blogger dan aktivis saya sebenarnya pernah menjadi penjawat awam dengan Kerajaan Negeri Pahang di Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa (kini PlanMalaysia) bermula pada 1 Julai 1995 hingga 31 Oktober 2003.
Namun saya meletakkan jawatan pada bulan yang sama dengan perletakkan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia, iaitu Oktober 2003. Cuma saya awal bulan, Tun Mahathir hujung bulan.
Saya juga banyak terlibat dengan aktiviti kebajikan dan sosial dan kini menjadi Pengelaras NGO Angkatan Pembela Rakyat (Angkara) yang banyak mengangkat isu-isu rakyat dengan lebih lantang dan berani.
Sejak dari kecil lagi, saya memang seorang pengkritik. Saya akan menegur sekiranya ada kesilapan dan kesalahan yang dilakukan oleh semua pihak. Tidak kira siapa mereka. Bagi saya bila kita berjuang, kena berani dan hanya perlu takutkan Allah bukannya manusia.
Prinsip perjuangan saya jelas "biar kalah bertanding, asalkan jangan tewas berjuang" dan "biar kalah bermaruah, jangan menang merasuah". Maka tidak peliklah saya sering berhadapan dengan kekalahan setiap kali bertanding pilihanraya. Bagi saya, apa guna menang jika kita gagal mengangkat isu rakyat dan mengejar keuntungan serta kekayaan peribadi, kroni dan proksi yang berlimpah ruah.
Kehidupan umpama roda, ada masa kita di atas dan ada masa kita dibawah. Justeru, kita kena fikirkan soal rakyat lebih daripada kepentingan peribadi masing-masing. Saya amat benci mana-mana pihak yang menjadikan perjuangan dan politik untuk membina kekayaan serta empayar perniagaan mereka. Orang berjuang kena berada pada landasan yang betul dan tidak boleh hidup dalam kemewahan, kerana ia akan menjadi fitnah terhadap diri sendiri akhirnya.
0 Komen Artikel Ini:
Catat Ulasan