SELAMAT DATANG KE BLOG PERIBADI BLOGGER CUCUMATKILAU (CMK)

Iftar Di Atas Padang, Sampai Bila Situasi Begini Mahu Terus Di Kekalkan Agaknya


Susulan teguran ikhlas kami di laman facebook berkenaan isu iftar Ramadan, berbuka puasa di padang MPK berhadapan Masjid Negeri Sultan Hj Ahmad Shah I Kuantan semalam, maka ramai netizen yang memberi komen positif dan negatif atas isu berkenaan.

Secara amnya, memang acara ini menjadi satu produk pelancongan yang menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara. Namun dek kerana lokasi padang berkenaan betul-betul berhadapan dengan masjid maka cerita sebaliknya pula timbul.

Isu pakaian yang menjolok mata serta tidak menutup aurat, lelaki berseluar pendek, bertempuk tampar, bergaul bebas serta menunjukkan adengan yang tidak sepatutnya berlaku di bulan Ramadan, depan masjid pula memang sudah kerap kali berlaku.

Saban tahun ia diperkatakan oleh umat Islam, namun senarionya tetap sama. Tidak berubah malah terkadang lebih memualkan sebenarnya.

Namun, isu besar yang menjadi bualan semua pihak ialah tatkala selepas waktu berbuka dan ketika solat jemaah Maghrib diadakan di dalam masjid, namun ramai yang ambil tidak kisah atau pun cakna kewajipan fardu yang lebih utama itu.

Waktu Maghrib singkat, tidak macam waktu-waktu lain. Justeru, selepas jemaah habis solat Maghrib kelihatan masih ramai yang bersantai, melepak dan tidak langsung mengambil berat soal yang lebih utama iaitu Solat Maghrib. 

Mahu dikatakan solat atas padang, tidak mungkin sebab keadaan tidak mengizinkan. Mahu pihak jabatan agama Islam sediakan tapak untuk solat berserta paip air, lagi tidak mungkin kerana lokasi padang hanya 50 meter dari masjid negeri. Akhirnya apa saja yang mahu dilakukan tidak mungkin terjadi dan ramailah yang tidak menganggap Solat Maghrib itu lebih utama untuk dilakukan.

Memang ada segelintir yang meluru ke arah masjid untuk bersolat  (berdasarkan kepada kesesakan di tempat mengambil air sembahyang). Namun, jumlahnya hanya sekitar 20% hingga 30% daripada jumlah mereka yang berada atas padang. Itupun kepada mereka yang datang bersama keluarga masing-masing sebenarnya.

Namun, majoriti anak-anak muda langsung tidak cakna dan menganggap mereka berada di depan masjid, sedangkan mereka sama-sama berbuka puasa dan ternyata adalah "muslim" berdasarkan pandangan mata kasar.

Inilah yang menggusarkan, malah ada yang berada atas padang hingga masuk pula waktu Isyak. Bukankah ia jelas dapat disaksikan dihadapan mata. Soal ada yang mengatakan di rumah pun ada yang tak laksanakan tanggungjawab itu. Di rumah berbeza kerana ia bersifat individu, namun di atas padang dengan "pesta berbuka puasa mega", ia memang kelihatan janggal dan boleh mencemarkan kesucian agama Islam itu sendiri.

Mungkin benar, ada pihak yang mengatakan keadaan ini berlaku kerana tapak Bazar Ramadan Mahkota Square bersebelahan dengan padang terbabit. Ada logik, kerana ia memudahkan orang ramai beli makanan dan kemudian melepak terus atas padang. Namun, sesuatu yang perlu dititikberatkan ialah lokasi di depan masjid itu yang harus diambilkira.

Inilah yang perlu diberi perhatian. Adalah lebih elok hanya tapak expo Aidil Fitri sahaja dikekalkan di lokasi, sebaliknya Bazar Ramadan dipindahkan ke kawasan lain yang lokasinya agak jauh dari kawasan masjid. Lagi pun kesesakan jalanraya di sepanjang Jalan Mahkota dan Jalan Bukit Ubi melalui kawasan tersebut agak kritikal dan menganggu orang lain yang mahu membuat urusan. 

Pihak penganjur perlu melakukan perubahan jika mahu melihat Islam itu dipandang suci dan mulia. Jika tidak, sudah pasti adengan-adengan yang tidak sepatutnya dapat kita lihat saban tahun. Namun, sampai bila situasi ini harus dikekalkan? Adakah hingga kiamat?. Pihak berkuasa agama perlu mengambil perhatian terhadap perkara ini. Jangan hanya mencari jalan di atas kertas semata-mata. 

Benar, ada kuliah yang dibuat sebelum waktu berbuka puasa, namun apa guna ketika kuliah ada anak-anak muda yang tak tutup aurat, bergaul bebas lelaki dan perempuan, bergelak ketawa serta bertepuk tampar sesama mereka. Malah berbagai insiden yang tidak wajar dapat disaksikan jika tidak diberi perhatian sewajarnya terhadap isu ini. Cakna Demi Islam.

MOHD SHUKRI B MOHD
RAMLI @ JAMALUDDIN
(Blogger Cucumatkilau)
Penyelaras NGO
Angkatan Pembela Rakyat
[  A N G K A R A ]


http://angkaraterjah.blogspot.my/


0 Komen Artikel Ini: